KISAH MAYAT DI BAWAH KATIL BILIK MOTEL BERNOMBOR 222

Pada awal Mac 2010, sebuah motel bajet di Memphis, Tennessee menerima beberapa aduan pelik daripada pelanggan yang menyewa sebuah bilik bernombor 222. Mereka mengadu tentang bau busuk seolah-olah ada bangkai haiwan atau sesuatu yang mati di dalam bilik tersebut. Bau yang menyengat itu cukup untuk membuatkan penyewa berasa mual dan tidak selesa. Meskipun bilik itu telah dibersihkan beberapa kali, bau itu tidak pernah hilang sepenuhnya. Pihak pengurusan motel bagaimanapun tidak mengesyaki apa-apa yang serius dan bilik itu terus disewakan kepada pelanggan baharu seperti biasa.



Segalanya berubah apabila seorang pekerja pembersihan motel yang bertugas mengadu kepada pengurus bahawa bau dalam bilik itu sudah semakin kuat dan tidak normal. Pengurus kemudian memutuskan untuk membuat pemeriksaan lebih teliti. Ketika bingkai katil logam diangkat, mereka menemui sesuatu yang sangat mengejutkan iaitu mayat seorang wanita dalam keadaan reput, dibalut plastik, tersembunyi di ruang bawah katil. Mayat tersebut telah berada di situ selama berminggu-minggu dan bilik itu pula telah disewakan sekurang-kurangnya lima kali sejak mayat tersebut berada di sana. Penemuan menggemparkan itu akhirnya membawa kepada identiti mangsa yang dikenal pasti sebagai Sony Millbrook, seorang wanita berusia 29 tahun yang telah dilaporkan hilang sejak 27 Januari 2010.

Sony Millbrook merupakan seorang ibu kepada lima orang anak. Dia tinggal sementara di motel tersebut bersama pasangannya, LaKeith Moody. Pada hari dia dilaporkan hilang, Sony tidak muncul untuk menjemput anak-anaknya dari sekolah, sesuatu yang sangat luar biasa kerana dia dikenali sebagai seorang ibu yang bertanggungjawab. Keluarganya mula risau dan membuat laporan polis. Mereka juga maklum bahawa hubungan Sony dengan Moody penuh dengan keganasan dan penderaan. Sony pernah memberitahu beberapa orang rakan dan ahli keluarga bahawa dia pernah dicekik, diugut dan dikurung oleh pasangannya. Dia juga pernah memberi amaran bahawa sekiranya sesuatu berlaku kepadanya, Moody pasti tahu sebabnya.
Apabila laporan kehilangan dibuat, pihak polis pergi ke motel tersebut untuk siasatan. Namun mereka hanya bercakap dengan kakitangan kaunter dan tidak membuka bilik Sony untuk diperiksa. Ini merupakan satu kecuaian besar dalam siasatan awal. Pihak pengurusan motel pula telah mengosongkan bilik tersebut kerana Sony gagal menjelaskan bayaran sewa. Barang-barangnya dikeluarkan dan ada yang diambil oleh keluarga. Bilik itu kemudiannya disewakan semula seperti biasa tanpa sesiapa menyedari bahawa mayat Sony sebenarnya masih berada di bawah katil.

Bau busuk mula dikesan oleh penyewa pada awal Februari. Beberapa pelanggan telah membuat aduan tetapi tiada pemeriksaan menyeluruh dilakukan. Kakitangan hanya menukar cadar dan membersihkan permukaan bilik namun tidak pernah mengangkat katil atau membuka bingkai logam yang menutup ruang bawahnya. Mayat Sony terus mereput di situ sementara bilik itu disewa bergilir-gilir oleh orang awam yang tidak tahu menahu tentang kejadian yang tersembunyi di bawah mereka tidur.
Setelah mayat ditemui pada 15 Mac 2010, pihak forensik mengesahkan bahawa ia adalah mayat Sony Millbrook. Waktu itu, tubuhnya sudah dalam keadaan reput teruk dan hampir tidak dapat dikenal pasti tanpa bantuan rekod perubatan dan DNA. Polis segera menjalankan siasatan penuh dan tumpuan segera diberikan kepada individu terakhir yang bersama mangsa tidak lain tidak bukan LaKeith Moody. Hasil siasatan mendapati bahawa Moody telah menggunakan kad faedah makanan milik Sony untuk membuat pembelian dan pengeluaran wang beberapa hari selepas wanita itu hilang. Rakaman CCTV menunjukkan Moody berada di kedai serbaneka berdekatan menggunakan kad tersebut secara terang-terangan.

Berbekalkan bukti itu, Moody ditahan dan didakwa atas tuduhan membunuh Sony Millbrook. Perbicaraan berlangsung pada tahun 2014 dan pihak pendakwa berjaya membuktikan bahawa Moody bukan sahaja terlibat secara langsung dalam kematian Sony tetapi juga bertanggungjawab menyembunyikan mayat mangsa di bawah katil dengan niat untuk menghapuskan bukti. Siasatan forensik menunjukkan bahawa Sony telah dicekik hingga mati dipercayai dibunuh ketika sedang cuba meninggalkan hubungan yang penuh penderaan. Motif pembunuhan dikaitkan dengan keganasan rumah tangga yang berlarutan di mana Moody sering mengugut dan mencederakan Sony serta niat untuk terus menggunakan kad faedah makanan milik mangsa selepas kematiannya. Dia bertindak membalut mayat dalam plastik dan menyembunyikannya di bawah katil motel berharap agar jenayah itu tidak dapat dikesan. Mahkamah akhirnya menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa parol kepada LaKeith Moody.
Catat Ulasan for "KISAH MAYAT DI BAWAH KATIL BILIK MOTEL BERNOMBOR 222"