KISAH KEJATUHAN TIGER WOODS : Skandal Wanita yang Menghancurkan Segalanya

Segala-galanya bagaimanapun berubah secara dramatik pada hujung tahun 2009. Pada 27 November 2009, media melaporkan bahawa Tiger Woods telah mengalami kemalangan kecil berhampiran rumahnya di Windermere, Florida. Keretanya terbabas dan melanggar pokok serta pili bomba. Pada awalnya, berita itu kelihatan seperti kemalangan biasa namun butiran lanjut yang kemudiannya muncul telah menimbulkan tanda tanya besar. Dilaporkan bahawa isterinya ketika itu iaitu Elin Nordegren telah memecahkan cermin kereta dengan kayu golf untuk mengeluarkan Tiger Woods dari kenderaan tersebut. Penjelasan itu mencetuskan spekulasi kerana kelihatan janggal dan tidak masuk akal bagi ramai pihak apatah lagi kemalangan berlaku sekitar jam 2:30 pagi di hadapan rumah mereka sendiri tanpa sebab yang jelas.

Tidak lama kemudian, laporan media mula membongkar kisah sebenar di sebalik kemalangan itu. Portal National Enquirer mendedahkan bahawa Tiger Woods dipercayai terlibat dalam hubungan sulit dengan seorang wanita bernama Rachel Uchitel, seorang pengurus kelab malam dan tokoh sosialit di New York. Selepas itu, wanita demi wanita mula tampil ke hadapan di mana masing-masing mendakwa pernah menjalin hubungan seksual dengan Tiger Woods yakni kebanyakannya semasa dia masih berkahwin dengan Elin. Dalam masa kurang daripada sebulan, lebih daripada belasan wanita tampil memberikan kenyataan termasuk pelayan bar, pelakon filem dewasa, model dan pekerja kelab eksklusif. Beberapa media turut mendedahkan kandungan mesej teks dan emel yang dihantar oleh Tiger kepada wanita-wanita tersebut dengan nada yang menjijikkan serta penuh rayuan seksual.
Pendedahan tersebut telah menggoncang dunia sukan antarabangsa. Pada satu ketika, Tiger Woods menjadi sasaran utama media tabloid termasuk TMZ, People dan US Weekly yang menerbitkan laporan eksklusif hampir setiap hari tentang wanita-wanita yang terlibat, perincian hubungan mereka termasuk lokasi pertemuan dan tempoh hubungan sulit itu.

Kesannya begitu mendalam terhadap kehidupan peribadi Tiger Woods. Elin Nordegren, seorang wanita kelahiran Sweden yang dikenali sebagai pendiam dan sederhana tidak mampu lagi menahan malu serta pengkhianatan yang bertubi-tubi. Selepas beberapa percubaan untuk memperbaiki hubungan, dia akhirnya memfailkan penceraian pada Ogos 2010. Penyelesaian perceraian mereka dianggarkan berjumlah lebih USD 100 juta sekali gus menjadikannya antara perceraian selebriti paling mahal dalam sejarah sukan. Elin mendapatkan hak penjagaan utama anak-anak mereka manakala Tiger Woods dilaporkan mengalami kemurungan dan menjalani rawatan psikologi serta rawatan ketagihan seks di pusat pemulihan Gentle Path di Mississippi.
VvKejatuhan Tiger Woods tidak terhenti pada aspek peribadi. Penaja utama seperti Gatorade, AT&T, Accenture, Tag Heuer dan Gillette menarik diri daripada menajanya. Sebahagian kontrak ditamatkan serta-merta manakala sebahagian lagi tidak diperbaharui. Kerugian kewangan Tiger Woods dianggarkan mencecah ratusan juta dolar dalam tempoh beberapa bulan. Penurunan mendadak dalam nilai pasaran imejnya turut memberi kesan kepada PGA Tour dan industri golf itu sendiri kerana kehadiran Tiger Woods selama ini telah menarik pelabur dan penonton.

Dari segi prestasi sukan pula, Tiger Woods mengalami kejatuhan drastik. Antara 2010 hingga 2017, dia gagal memenangi sebarang kejohanan Major, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini sejak awal kerjayanya. Masalah kecederaan juga mula menghantuinya termasuk beberapa pembedahan belakang dan lutut yang membataskan kemampuan fizikalnya. Pada tahun 2014 dan 2015, Tiger Woods terpaksa menarik diri daripada beberapa kejohanan kerana kesakitan yang tidak tertanggung. Dalam tempoh itu, ramai yang percaya bahawa kerjaya Tiger Woods telah pun berakhir.
Namun dalam diam, Tiger Woods berusaha bangkit. Dia menjalani rawatan pemulihan secara intensif, memperbaiki hubungan dengan anak-anaknya dan cuba membina semula kekuatan mental serta fizikal. Selepas bertahun-tahun tidak disangka akan kembali, Tiger Woods mengejutkan dunia sekali lagi apabila dia menjuarai The Masters pada tahun 2019, kejuaraan Major ke-15 dalam kerjayanya. Kemenangan ini berlaku selepas hampir 11 tahun tanpa sebarang gelaran Major dan disambut dengan tepukan gemuruh serta air mata oleh para peminat dan pengulas sukan di seluruh dunia. Ia dianggap sebagai antara comeback paling dramatik dan luar biasa. Tiger Woods sendiri dilihat menangis dan para pemain muda dalam kejohanan itu memberinya penghormatan yang tinggi.

Cuma cabaran tidak berhenti di situ. Pada tahun 2021, Tiger Woods sekali lagi menjadi tajuk utama apabila terlibat dalam kemalangan kereta yang serius di California. Kenderaannya terbabas dan terbalik di lebuh raya hingga menyebabkan kecederaan parah pada kaki kanan dan buku lali. Doktor terpaksa memasukkan batang besi dan skru untuk menyelamatkan kakinya. Kejadian ini sekali lagi menguji ketabahan Tiger Woods dan walaupun tidak pasti sama ada dirinya akan kembali bertanding secara kompetitif, dia tetap dianggap sebagai seorang pemain golf yang hebat.
Catat Ulasan for "KISAH KEJATUHAN TIGER WOODS : Skandal Wanita yang Menghancurkan Segalanya"