Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Netflix Umum Musim Baharu 'Monster' : Kisah Lizzie Borden


    AMERIKA SYARIKAT - Siri antologi jenayah popular Netflix iaitu Monster yang diterbitkan oleh Ryan Murphy dan Ian Brennan dilaporkan akan kembali dengan musim keempat yang memfokuskan kepada salah satu kes pembunuhan paling kontroversi serta misteri dalam sejarah Amerika Syarikat, kes Lizzie Borden.

    Menurut beberapa sumber industri hiburan termasuk What's On Netflix, TheWrap dan Variety, musim terbaru siri ini dijangka memulakan penggambaran sekitar musim luruh 2025 dengan lokasi penggambaran berpusat di Los Angeles. Meskipun Netflix masih belum mengumumkan tarikh tayangan rasmi atau senarai pelakon, perancangan awal menunjukkan bahawa musim ini akan mengangkat kembali kisah penuh teka-teki yang telah menginspirasi pelbagai filem, novel dan budaya pop selama lebih satu abad.

     Lizzie Borden merupakan seorang wanita Amerika Syarikat yang menjadi tajuk utama pada tahun 1892 selepas didakwa membunuh bapa dan ibu tirinya dengan kapak di kediaman mereka di Fall River, Massachusetts. Pembunuhan ini berlaku pada 4 Ogos 1892 dan menggemparkan rakyat AS pada ketika itu kerana tertuduhnya adalah seorang wanita yang berasal dari keluarga berada serta terkenal di komuniti tempatan.

     Perbicaraan Lizzie Borden mendapat perhatian dan penuh sensasi dengan media massa memberikan liputan besar-besaran. Lizzie akhirnya dibebaskan oleh juri pada tahun 1893 kerana kekurangan bukti kukuh namun ramai yang masih mempercayai bahawa dia bersalah. Pembebasannya mencetuskan pelbagai teori dan spekulasi yang berterusan hingga pada hari ini.


    Musim keempat Monster ini dijangka akan memberi tumpuan kepada pelbagai aspek yang lebih mendalam termasuk hubungan Lizzie dengan ahli keluarganya, tekanan masyarakat terhadap wanita pada era Victoria serta isu ketidaksamaan jantina dalam sistem keadilan jenayah. Berbeza dengan musim-musim terdahulu yang memfokuskan kepada pembunuh bersiri seperti Jeffrey Dahmer dan pasangan Menendez, musim ini akan meneroka sisi jenayah yang tidak pernah diselesaikan secara sah selain memberikan ruang naratif yang lebih luas serta penuh misteri.

     Apa yang menarik, Monster kali ini akan membawa penonton menyelami persekitaran sejarah abad ke-19, sesuatu yang belum pernah dilakukan dalam musim-musim sebelumnya. Ini dijangka akan memberikan cabaran besar kepada pasukan produksi dari segi reka bentuk set, kostum dan naratif.

     Lizzie Borden sebelum ini telah diangkat dalam pelbagai bentuk media. Antaranya filem Lizzie lakonan Chloe Sevigny dan Kristen Stewart pada tahun 2018 serta siri mini The Lizzie Borden Chronicles lakonan Christina Ricci pada tahun 2015. Namun versi daripada Ryan Murphy dijangka membawa pendekatan yang lebih psikologi, dramatik dan menekankan isu-isu sosial yang relevan dengan zaman moden.


     Siri Monster sebelum ini berjaya meraih pujian dan kontroversi terutama musim pertama yang memfokuskan kepada Jeffrey Dahmer sehingga mendapat lebih 1 bilion tontonan di seluruh dunia. Musim ketiga yang dijangka tayang akhir tahun ini akan memfokuskan kepada Ed Gein, pembunuh bersiri yang turut menjadi inspirasi kepada watak-watak ikonik seperti Norman Bates dalam Psycho.

     Jika kejayaan siri ini berterusan, musim keempat mengenai Lizzie Borden dijangka menjadi antara musim paling berimpak dengan perpaduan antara fakta sejarah, naratif dramatik dan persoalan moral yang kekal relevan. Penonton bukan sahaja akan dibawa menyelami peristiwa berdarah di Fall River tetapi juga diminta mempersoalkan apakah makna sebenar keadilan dalam kes yang masih tidak terjawab selama lebih 130 tahun. Bacaan artikel terdahulu tentang kes Lizzie Borden boleh dibaca di sini : Kisah Lizzie Borden - Misteri Kapak Berdarah di Fall River

Catat Ulasan for "Netflix Umum Musim Baharu 'Monster' : Kisah Lizzie Borden"