Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Pelakon dan Model Pakistan, Humaira Asghar, Ditemui Mati Sendirian di Rumah Sewa


     PAKISTAN— Pelakon dan model terkenal iaitu Humaira Asghar ditemui tidak bernyawa di dalam sebuah apartmen sewaan mewah di Defence Housing Authority (DHA) Phase VI, Karachi. Penemuan itu mengejutkan ramai pihak kerana mayatnya dijumpai dalam keadaan sudah mereput dipercayai telah meninggal dunia hampir sebulan sebelum disedari.

    BHumaira Asghar, 32 tahun sebelum itu dilaporkan telah tidak muncul di khalayak ramai atau kemas kini media sosial sejak pertengahan Jun. Keadaan ini menimbulkan kebimbangan kecil di kalangan pengikutnya namun tiada laporan kehilangan rasmi dibuat. Penemuan mayatnya hanya berlaku selepas pemilik apartmen yang menyedari penyewa tidak membayar sewa sejak tahun 2024 memohon kepada pihak mahkamah untuk mendapatkan kebenaran membuka kediaman tersebut. Setelah mendapat perintah rasmi, pihak berkuasa tempatan bersama polis bertindak memecah masuk ke unit tersebut pada pagi 8 Julai 2025.

     Menurut jurucakap polis Karachi Selatan, mereka menemui tubuh Humaira dalam keadaan reput teruk di mana dia dipercayai telah meninggal dunia antara 15 hingga 35 hari sebelum penemuan. Mayatnya ditemui dalam bilik tidur apartmen berkenaan dan pintu rumah didapati berkunci dari dalam tanpa sebarang tanda pecah masuk, kekacauan atau keganasan.

     “Keadaan rumah adalah teratur dan tiada bukti fizikal menunjukkan sebarang unsur jenayah. Semua barangan milik peribadi berada di tempat asal. Kediaman juga tidak menunjukkan tanda-tanda diceroboh. Berdasarkan siasatan awal, kami tidak menjumpai sebarang elemen mencurigakan,” kata seorang pegawai penyiasat yang enggan dikenali.

     Mayat Humaira kemudian dihantar ke unit forensik Hospital Jinnah untuk bedah siasat. Hingga setakat ini, punca kematian belum diumumkan secara rasmi tetapi pihak berkuasa mengesyaki kematian disebabkan faktor kesihatan atau sebab semula jadi. Ujian toksikologi turut dijalankan sebagai langkah berhati-hati untuk menolak kemungkinan lain.

     Humaira Asghar bukanlah nama asing dalam industri hiburan Pakistan. Dia mula mencipta nama menerusi filem Jalaibee (2015) dan kemudian membintangi pelbagai drama bersiri popular seperti Ehsan Faramosh dan Guru. Pada tahun 2022, namanya kembali menjadi sebutan apabila menyertai program realiti televisyen Tamasha Ghar, versi Pakistan bagi format Big Brother. Selain berlakon, Humaira juga aktif sebagai pelukis dan pencipta kandungan digital,dengan lebih 700,000 pengikut di Instagram. Dia dikenali kerana gaya hidup bebas, karya seni berani serta personaliti yang lantang dan progresif sekali gus menjadikan dirinya antara figura kontroversi di media sosial.

     Beberapa bulan sebelum kematiannya, Humaira dilaporkan telah mengurangkan aktiviti awam dan menghadkan interaksi dalam talian. Tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh keluarga terdekatnya sehingga kini. Namun menurut sumber terdekat industri, Humaira telah menjalani kehidupan agak bersendirian dan menolak beberapa tawaran kerja dalam tempoh kebelakangan ini. Berita pemergian Humaira ini mendapat liputan meluas bukan sahaja di Pakistan malah turut dilaporkan media antarabangsa seperti The Sun dan India Times.

Catat Ulasan for "Pelakon dan Model Pakistan, Humaira Asghar, Ditemui Mati Sendirian di Rumah Sewa"