Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

TATIANA : KISAH SERANGAN HARIMAU SIBERIA DI SAN FRANCISCO ZOO


     Pada malam Krismas 25 Disember 2007, San Francisco Zoo bertukar menjadi panik dan cemas apabila seekor harimau Siberia betina bernama Tatiana telah keluar dari kandang lalu menyerang tiga orang remaja lelaki. Serangan itu mengorbankan nyawa seorang mangsa iaitu Carlos Eduardo Sousa Jr., 17 tahun dan mencederakan dua rakannya. Tatiana akhirnya terpaksa ditembak mati oleh polis. 

     Tatiana bukan harimau asing di zoo tersebut. Dilahirkan di Denver Zoo pada tahun 2003, Tatiana dipindahkan ke San Francisco pada tahun 2005 sebagai tambahan tarikan bagi pengunjung. Tatiana merupakan seekor harimau Siberia (Panthera tigris altaica) yang besar dan gagah. Tatiana telah menjadi harimau yang paling mendapat perhatian utama dalam kawasan pameran harimau. Cuma di sebalik semua itu, Tatiana pernah terlibat dalam satu serangan sebelum ini yang hampir meragut nyawa seorang pekerja zoo.

     Pada 22 Disember 2006 yakni setahun sebelum tragedi Krismas itu, Tatiana telah menyerang penjaga zoo yang sedang menjalankan tugas memberi makan. Penjaga tersebut ialah Lori Komejan, seorang wanita berpengalaman yang telah berkhidmat di zoo itu sejak tahun 1997. Ketika kejadian, Lori cuba mengambil sekeping daging yang jatuh berhampiran palang kandang. Tanpa disangka, Tatiana menarik tangan Lori ke dalam kandang lalu melakukan gigitan hingga menyebabkan kecederaan parah pada lengan kanan dan tangan kirinya. Lori mengalami kerosakan tisu yang serius dan memerlukan beberapa siri pembedahan pemulihan. Insiden itu dilaporkan kepada pihak berkuasa dan siasatan mendapati zoo tidak mematuhi beberapa garis panduan keselamatan asas. Walau bagaimanapun, pihak pengurusan zoo ketika itu meletakkan kesalahan kepada kesilapan manusia dan bukannya tingkah laku harimau.


     Walaupun kejadian itu sepatutnya menjadi peringatan, tiada tindakan konkrit diambil untuk menambah baik keselamatan jangka panjang. Dinding kandang Tatiana misalnyabhanya setinggi 12.5 kaki (sekitar 3.8 meter), jauh lebih rendah daripada piawaian minimum 16 kaki yang dicadangkan oleh Persatuan Zoo dan Akuarium Amerika Syarikat. Malangnya kelemahan itu dibiarkan sehingga akhirnya membawa padah.

     Setahun kemudian, pada hari Krismas 2007, Tatiana sekali lagi menjadi tajuk utama. Ketika itu, Carlos Sousa Jr. bersama dua rakannya yang bernama Paul Dhaliwal dan Kulbir Dhaliwal telah mengunjungi zoo tersebut di mana mereka menghabiskan masa di sekitar kawasan pameran harimau. Menurut siasatan dan laporan media, ketiga-tiga pemuda itu dipercayai melakukan provokasi Tatiana termasuk dengan melempar batu kecil, menunjukkan gerakan tangan dan menjerit ke arah kandang.


     Tatiana yang kemungkinan besar sudah tertekan atau berasa terancam berjaya melompat keluar dari kandang mengatasi ketinggian hampir empat meter dan ruang parit kering selebar tiga meter. Harimau itu menyerang Carlos terlebih dahulu dan menyebabkan kecederaan parah di bahagian leher dan tengkuk. Carlos mati di tempat kejadian akibat pendarahan dan kecederaan trauma tumpul. Selepas itu, Tatiana mengejar Paul dan Kulbir yang melarikan diri ke dalam kafe zoo. Mereka berjaya menyelamatkan diri dan menghubungi 911. Tatiana yang masih berada berhampiran akhirnya ditembak mati oleh polis bagi mengelakkan serangan lebih lanjut.

     Kejadian ini menyebabkan pelbagai pihak terutama pihak media mempertikaikan banyak aspek keselamatan zoo termasuk tindakan susulan selepas serangan ke atas Lori Komejan setahun sebelum itu. Wartawan dan penyiasat menyatakan bahawa pihak zoo sepatutnya telah mengenal pasti Tatiana sebagai haiwan berisiko tinggi atau sekurang-kurangnya meningkatkan sistem keselamatan di kawasan kandang. Keluarga Carlos Sousa kemudian menyaman zoo atas kecuaian dan pihak zoo mencapai penyelesaian luar mahkamah.

     Dalam tempoh beberapa bulan selepas kejadian, Zoo San Francisco melakukan rombakan besar-besaran dengan meninggikan dinding kandang harimau, memperketat prosedur kawalan dan menukar beberapa dasar keselamatan pengunjung dan pekerja. Namun ia tetap dianggap oleh banyak pihak sebagai tindakan lewat yang hanya muncul selepas nyawa manusia melayang.

Catat Ulasan for "TATIANA : KISAH SERANGAN HARIMAU SIBERIA DI SAN FRANCISCO ZOO"