Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH MISTERI KEHILANGAN DAN PENEMUAN JARYD ATADERO


     Pada pagi 2 Oktober 1999, seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun iaitu Jaryd Atadero hilang secara misteri di kawasan Big South Trail yang terletak dalam hutan belantara Taman Negara Roosevelt, kira-kira 80 kilometer dari bandar Fort Collins, Colorado, Amerika Syarikat. Hingga pada hari ini, kehilangan Jaryd kekal sebagai satu misteri yang tidak pernah terungkai sepenuhnya.

     Jaryd tinggal bersama bapanya yang bernama Allyn Atadero dan kakaknya, Josallyn di sebuah pusat penginapan kecil yang dimiliki dan dikendalikan oleh bapanya sendiri. Pada hari kejadian, rakan keluarga menawarkan untuk membawa kedua-dua anak Allyn menyertai mereka dalam satu perjalanan mendaki ringan bersama kumpulan dewasa dan beberapa kanak-kanak lain. Allyn yang ketika itu sibuk di tempat kerja bersetuju dengan syarat bahawa anak-anaknya akan sentiasa dipantau. Dia bagaimanapun tidak menyangka keputusan itu bakal mengubah hidupnya selama-lamanya.

     Menurut laporan, kumpulan itu telah memulakan pendakian mereka pada awal pagi dengan menempuh laluan hutan yang berbukit-bukit, berpaya dan berhampiran sungai. Big South Trail bukanlah laluan yang terlalu ekstrem bagi orang dewasa namun bagi kanak-kanak kecil seperti Jaryd, ia boleh menjadi sangat mencabar dan berbahaya. Ketika berhenti rehat di satu kawasan, beberapa orang dewasa dalam kumpulan itu dikatakan membiarkan kanak-kanak bebas bergerak dan bermain termasuk Jaryd yang aktif dan periang. Dalam sekelip mata, Jaryd telah berjalan mendahului kumpulan dewasa memasuki laluan yang lebih jauh ke hadapan.

    Tidak lama kemudian, kumpulan itu mula menyedari bahawa Jaryd telah hilang daripada pandangan mereka. Pada awalnya, mereka menyangka dia hanya berada tidak jauh di hadapan atau menyorok. Namun setelah lebih 15 minit berlalu tanpa sebarang tanda, kebimbangan mula timbul. Mereka segera cuba mencari di sekitar kawasan dengan memanggil nama Jaryd berulang kali tetapi tiada jawapan yang diterima. Keadaan mula menjadi panik apabila masa terus berlalu dan tiada sebarang petunjuk tentang ke mana Jaryd pergi.

     Pihak berkuasa segera dimaklumkan dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan dengan pantas. Ia menjadi antara operasi pencarian terbesar dalam sejarah Colorado ketika itu. Berpuluh-puluh pasukan penyelamat termasuk helikopter, anjing pengesan, pakar mendaki serta sukarelawan dari seluruh kawasan digerakkan. Operasi pencarian di kawasan pergunungan itu dilakukan di setiap sudut melalui udara dan darat. Walau bagaimanapun, pencarian selama berminggu-minggu itu tidak menemui sebarang kesan Jaryd. Tiada kasut, tiada pakaian, tiada jejak kaki seolah-olah dia telah lenyap begitu sahaja tanpa jejak.

    Kawasan di mana Jaryd hilang merupakan hutan tebal yang terletak pada altitud tinggi. Ia dipenuhi hidupan liar seperti beruang, serigala selain mempunyai struktur muka bumi yang berbahaya yakni tebing curam, jurang dalam dan sungai deras. Terdapat spekulasi bahawa Jaryd mungkin telah diserang haiwan buas atau terjatuh ke dalam jurang. Cuma ketiadaan darah, cebisan pakaian atau kesan pergelutan menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan.

     Lebih memilukan di mana sepanjang tempoh pencarian, Allyn tidak pernah meninggalkan lokasi kejadian. Dia berharap anaknya itu akan ditemui hidup-hidup atau sekurang-kurangnya dapat mengetahui apa sebenarnya yang berlaku. Namun selepas lebih dua minggu tanpa sebarang hasil, pihak berkuasa menamatkan operasi rasmi pencarian. 

     Empat tahun kemudian iaitu pada 6 Jun 2003, satu penemuan mengejutkan telah berlaku. Sekumpulan pendaki yang sedang menjelajah kawasan pergunungan terpencil tidak jauh dari lokasi kehilangan asal telah menemui beberapa barangan peribadi dan cebisan rangka manusia. Di antara penemuan tersebut ialah sehelai baju-T Mickey Mouse, seluar sukan biru, sebelah kasut Reebok, tulang betis dan tengkorak kecil. Barang-barang itu berada di kawasan lereng yang sangat curam dan sukar diakses berjarak hampir 500 meter dari laluan denai asal.


     Ujian DNA kemudian mengesahkan bahawa sisa tulang itu memang milik Jaryd Atadero. Apa yang lebih mengelirukan ialah keadaan barangan yang dijumpai. Kasut Reebok milik Jaryd masih berada dalam keadaan hampir sempurna tanpa kesan gigitan atau kerosakan ketara walaupun telah berada di luar selama empat tahun. Pakar juga hairan bagaimana kasut kanak-kanak boleh kekal utuh sedangkan kawasan itu mengalami salji, hujan lebat dan perubahan suhu ekstrem setiap tahun. Seluar sukan yang ditemui pula dalam keadaan seperti dipotong atau terkoyak secara rapi bukannya hancur seperti biasa akibat gigitan haiwan liar atau pereputan.

     Pihak koroner tidak dapat menentukan punca kematian dengan tepat kerana rangka yang dijumpai terlalu sedikit untuk dilakukan analisis lengkap. Tiada kesan kecederaan jelas pada tulang dan lokasi mayat menimbulkan persoalan besar. Adakah Jaryd sampai ke situ sendiri? Atau dia dibawa oleh seseorang?

     Kejadian itu mencetuskan pelbagai teori. Ada yang percaya bahawa Jaryd mungkin diserang haiwan liar dan dibawa ke kawasan tinggi itu walaupun bukti fizikal tidak menyokong teori tersebut. Ada juga yang mencadangkan kemungkinan campur tangan manusia iaitu penculikan dan pembunuhan sebelum mayatnya ditinggalkan di tempat lain. Malah terdapat teori yang lebih pelik seperti gangguan makhluk liar atau unsur mistik namun tiada bukti sahih bagi menyokong andaian itu. Pihak berkuasa akhirnya menutup kes itu tanpa menyatakan punca kematian secara rasmi.

     Sementara itu, Allyn Atadero tidak pernah berhenti memperjuangkan keadilan dan mencari jawapan. Dia menulis sebuah buku berjudul Missing: When the Son of Man Is Missing yang menceritakan perjuangan peribadinya sebagai seorang bapa yang kehilangan anak dalam keadaan misteri.

Catat Ulasan for "KISAH MISTERI KEHILANGAN DAN PENEMUAN JARYD ATADERO"