BROOKE HOGAN DEDAH SEBAB SEBENAR TOLAK HARTA PUSAKA HULK HOGAN

AMERIKA SYARIKAT– Anak perempuan kepada mendiang lagenda gusti dunia Hulk Hogan iaitu Brooke Hogan akhirnya tampil menjelaskan kepada umum sebab sebenar mengapa dia tidak menerima sebarang bahagian daripada harta pusaka bapanya yang dianggarkan bernilai lebih USD25 juta (sekitar RM118 juta). Pengakuan tersebut dibuat hanya beberapa minggu selepas kematian mengejut Hulk Hogan pada 24 Julai lalu akibat serangan jantung di rumahnya di Clearwater, Florida.
Dalam satu temu bual eksklusif yang disiarkan oleh beberapa portal berita utama Amerika Syarikat, Brooke Hogan, 37 tahun, mendedahkan bahawa keputusan untuk tidak menerima pusaka bapanya adalah atas permintaan dirinya sendiri yang dibuat sejak tahun 2023 yakni jauh sebelum kematian bintang WWE itu.
Menurut Brooke, keputusan tersebut dibuat ketika dia berada dalam fasa penting kehidupan baru iaitu mendirikan rumah tangga dan sedang hamil anak kembar. Waktu itu, Brooke menjelaskan dia lebih memilih untuk menjaga keharmonian rumah tangga dan tidak mahu terlibat dalam sebarang konflik keluarga yang mungkin timbul selepas pemergian bapanya.
“Saya sendiri yang minta untuk dikeluarkan daripada wasiat bapa saya. Bukan kerana kami bergaduh atau saling membenci tetapi kerana saya sudah tidak lagi mempercayai persekitaran yang membelenggu beliau pada ketika itu,” ujar Brooke dalam kenyataan yang dipetik oleh People Magazine. “Bagi saya, keamanan jiwa dan keselamatan keluarga baru saya jauh lebih penting berbanding wang.”
Brooke juga menzahirkan kebimbangan terhadap pengaruh pihak ketiga yang menurutnya semakin kuat mendekati bapanya sejak perkahwinan Hulk Hogan dengan isteri ketiga, Sky Daily pada Ogos 2023. Perkahwinan tersebut juga menjadi antara punca dia mula mengambil langkah menjauhkan diri selain tidak hadir ke majlis pernikahan itu walaupun dijemput. Brooke sebelum ini telah menyuarakan kebimbangan terhadap latar belakang Sky yang dikaitkan dengan kepercayaan Scientology.

Tambah menarik, menurut laporan Page Six, suami Brooke iaitu Steve Oleksy turut menjelaskan bahawa keputusan itu bukan hanya soal harta. Katanya, sebahagian besar kekayaan Hulk Hogan datang daripada pampasan saman terhadap laman web Gawker berhubung penyiaran video seks yang turut menyentuh secara langsung maruah Brooke sebagai anak apatah lagi kerana video tersebut melibatkan hubungan sulit antara Hulk Hogan dan bekas isteri sahabat Brooke sendiri.
“Wang itu datang dengan harga yang besar, termasuk harga maruah anaknya sendiri,” ujar Steve Oleksy yang menyentuh trauma yang dialami isterinya akibat skandal tersebut.
Walaupun tidak menerima bahagian dalam wasiat rasmi Hulk Hogan, Brooke tetap dinamakan sebagai penerima manfaat dalam polisi insurans hayat ibu bapanya. Dana daripada polisi ini dikatakan akan digunakan oleh Brooke untuk menyara pendidikan dan masa depan anak-anaknya.
Sementara itu, reaksi umum terhadap pendedahan Brooke agak bercampur. Ada yang memuji keikhlasan dan kematanganya dalam membuat keputusan berani itu namun tidak kurang juga ada yang melahirkan rasa simpati kerana dia terpaksa melepaskan hak yang sepatutnya dimiliki sebagai anak kandung tunggal perempuan Hulk Hogan.
Hingga kini, pihak keluarga Hulk Hogan termasuk isterinya Sky Daily belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas terhadap pendedahan Brooke tersebut. Namun kenyataan Brooke ini secara tidak langsung memadamkan spekulasi liar yang timbul sebelum ini mengenai kononnya dia dipinggirkan atau dibuang oleh bapanya daripada senarai pewaris.
Catat Ulasan for "BROOKE HOGAN DEDAH SEBAB SEBENAR TOLAK HARTA PUSAKA HULK HOGAN"