Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Arunachalam Muruganantham: Lelaki Di Sebalik Revolusi Tuala Wanita Murah

     Pada tahun 1998 bertempat di sebuah daerah luar bandar di Tamil Nadu, India, seorang lelaki miskin bernama Arunachalam Muruganantham telah memulakan sebuah perjalanan yang akan mengubah bukan sahaja hidupnya tetapi juga nasib jutaan wanita miskin di negaranya. Muruganantham bukanlah seorang saintis, bukan pemegang ijazah tinggi dan bukan juga seorang usahawan berjaya ketika itu. Dia hanya seorang lelaki biasa yang bekerja sebagai tukang besi dan buruh binaan demi menyara keluarga. 

     Segalanya bermula apabila Muruganantham mendapati isterinya iaitu Shanthi menggunakan kain buruk sebagai pengganti tuala wanita ketika datang haid. Apabila ditanya, Shanthi menjelaskan bahawa dia terpaksa berbuat demikian kerana harga tuala wanita yang dijual di pasaran terlalu mahal untuk keluarga mereka. Perkara ini mengejutkan Muruganantham. Baginya, adalah sesuatu yang tidak masuk akal bahawa seorang wanita perlu memilih antara makanan dan keperluan kebersihan asas seperti tuala wanita. Lebih memeranjatkan, apabila Muruganantham bertanya kepada beberapa wanita lain di kampung, dia mendapati bahawa ramai daripada mereka juga melakukan perkara yang sama dengan menggunakan kain terpakai, surat khabar serta daun kering semata-mata untuk menampung darah haid.

     Menyedari betapa seriusnya isu ini, Muruganantham mengambil keputusan untuk mencipta tuala wanita yang lebih murah dan boleh diakses oleh wanita miskin. Cuma cabaran yang dihadapinya amat besar. Dia tidak mempunyai pengetahuan dalam bidang biologi, perubatan, mahupun kejuruteraan perubatan. Lebih menyukarkan, Muruganantham tidak mendapat sokongan daripada masyarakat sekeliling. Pada peringkat awal, dia cuba menghasilkan tuala wanita secara manual menggunakan kapas serta kain tetapi produknya sering bocor dan tidak menyerap dengan baik. Bagi menguji keberkesanannya, Muruganantham memerlukan maklum balas daripada pengguna wanita namun tiada siapa yang sanggup mencubanya kerana isu tabu dan malu yang mendalam terhadap topik haid.

     Apabila tiada siapa mahu membantu, Muruganantham mengambil langkah luar biasa. Dia mencipta sendiri sejenis uterus tiruan menggunakan bahan getah dan darah haiwan yang dimasukkan ke dalam botol. Botol ini disambungkan ke seluar dalamnya dan darah itu akan mengalir keluar untuk mensimulasikan keadaan sebenar haid. Menerusi cara ini, Muruganantham sendiri menguji produk ciptaannya. Tindakannya yang pelik itu mencetuskan pelbagai reaksi negatif. Penduduk kampung mula menganggap Muruganantham gila. Orang ramai menjauhinya dan keluarganya sendiri mula berasa malu. Akhirnya, ibunya meninggalkannya dan isterinya turut membawa diri. Muruganantham menjadi bahan ejekan dan cemuhan tetapi dia tetap meneruskan perjuangannya.

     Setelah hampir lima tahun menjalani penyelidikan, melakukan pelbagai eksperimen dan mengalami berpuluh-puluh kegagalan, akhirnya Muruganantham berjaya mencipta sejenis mesin mudah yang mampu menghasilkan tuala wanita yang bersih, berkualiti dan murah. Kos pengeluaran sehelai tuala wanita melalui mesinnya hanya sekitar dua hingga tiga rupee yakni jauh lebih rendah berbanding produk komersial yang mahal. Apa yang lebih mengagumkan, mesin ciptaannya boleh dikendalikan oleh sesiapa sahaja termasuk wanita yang tidak berpelajaran tinggi.

     Walaupun berjaya mencipta mesin itu, Muruganantham menolak tawaran daripada syarikat besar yang mahu membeli hak cipta ciptaannya. Baginya, tujuan utama ciptaan itu bukanlah untuk mengaut keuntungan tetapi untuk membantu wanita miskin mendapatkan akses kepada kebersihan haid yang lebih baik. Maka dia memilih untuk membekalkan mesin tersebut kepada wanita di kawasan luar bandar dan melatih mereka untuk mengendalikannya sendiri. Melalui cara ini, wanita bukan sahaja mendapat tuala wanita yang murah dan selamat digunakan bahkan mereka turut dapat menjana pendapatan sendiri melalui penjualan produk itu dalam komuniti mereka.

     Usaha Muruganantham telah membuka mata banyak pihak. Dia mula dijemput untuk berkongsi kisahnya dalam pelbagai forum dan program di seluruh dunia. Mesin ciptaannya kini digunakan di lebih 27 negeri di India dan telah tersebar ke lebih 25 negara lain termasuk di benua Afrika. Pada tahun 2014, majalah TIME telah menyenaraikan nama Arunachalam Muruganantham dalam senarai 100 individu paling berpengaruh di dunia, sebaris dengan tokoh-tokoh terkemuka lain. Kisah hidupnya juga telah diangkat ke layar perak dalam filem Bollywood bertajuk Pad Man yang ditayangkan pada tahun 2018 dengan pelakon terkenal Akshay Kumar memegang watak utamanya.


Catat Ulasan for "Kisah Arunachalam Muruganantham: Lelaki Di Sebalik Revolusi Tuala Wanita Murah"