Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH KEMATIAN NGERI DR. CARRIE O'CONNOR

     Pada 14 September 2020, satu kejadian ngeri yang mengorbankan nyawa seorang ahli akademik telah berlaku di Boston, Massachusetts, Amerika Syarikat. Mangsa dikenali sebagai Dr. Carrie O’Connor, seorang pensyarah bahasa Perancis berusia 38 tahun yang berkhidmat di Boston University. Dia baru sahaja berpindah ke sebuah unit kediaman di bangunan apartmen tiga tingkat di 1140 Commonwealth Avenue, Allston. Kejadian tersebut berlaku ketika dia sedang membawa masuk barangan ke dalam apartmen baharunya.

     Menurut laporan siasatan oleh pihak berkuasa dan kenyataan yang diberikan oleh penghuni lain, kejadian berlaku ketika Dr. O’Connor menggunakan lif lama bangunan tersebut untuk mengangkat sebuah kotak berat yang mengandungi meja kayu antik. Lif di bangunan itu merupakan jenis lama yang menggunakan sistem pintu manual dan beroperasi dengan bantuan sistem kawalan tali, bukan lif moden dengan sensor automatik. Ketika mangsa cuba memasukkan kotak tersebut ke dalam lif, satu kegagalan teknikal telah berlaku.

     Siasatan awal menunjukkan bahawa kotak kayu tersebut telah mengganggu fungsi mekanisme keselamatan lif. Lif tersebut sepatutnya hanya bergerak selepas semua pintu ditutup sepenuhnya termasuk pintu dalaman dan pintu lipat. Namun dipercayai bahawa berat kotak tersebut di mana apabila ditolak ke dalam ruang lif telah menyebabkan gangguan pada sensor pintu. Lif mula bergerak ke bawah secara tiba-tiba ketika Carrie masih berada di ambang pintu hingga menyebabkannya tersepit antara lantai lif dan struktur bangunan. Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah akibat tekanan yang kuat dan meninggal dunia di tempat kejadian.

     Pihak bomba dan paramedik tiba ke lokasi beberapa minit selepas menerima panggilan kecemasan. Apabila mereka sampai, mangsa telah pun disahkan meninggal dunia. Pegawai perubatan mengesahkan kematian berpunca daripada trauma tumpul yang serius akibat dihimpit oleh struktur mekanikal lif. Kejadian ini turut disaksikan oleh beberapa penghuni lain termasuk seorang lelaki yang berada berhampiran kawasan lif ketika kejadian berlaku. Menurut lelaki berkenaan, mangsa ada meminta bantuan untuk membawa kotak itu dan beliau sempat membantu menekan butang lif sebelum kejadian berlaku. Saksi menyatakan bahawa kejadian itu berlaku pada masa yang sangat singkat dan mengejutkan.


     Pasukan penyiasat daripada Occupational Safety and Health Administration (OSHA) dan jabatan bangunan bandar Boston turut menjalankan siasatan terhadap keadaan lif di bangunan tersebut. Hasil siasatan mendapati bahawa lif tersebut sudah berusia dan sistem keselamatannya tidak menepati piawaian lif moden. Walaupun tiada pelanggaran serius yang jelas, siasatan menekankan bahawa ciri-ciri keselamatan pada lif jenis lama sangat bergantung pada penggunaan yang betul serta kesedaran pengguna mengenai fungsi pintu dalaman dan pintu lipat. Sistem kawalan lif tersebut membolehkan lif bergerak walaupun pintu dalaman tidak ditutup sepenuhnya yang menjadi faktor utama dalam insiden ini.

     Difahamkan juga bahawa beberapa penghuni bangunan itu sebelum ini pernah membuat aduan berhubung operasi lif berkenaan. Walau bagaimanapun, tiada tindakan drastik atau penggantian sistem dilaporkan dilakukan oleh pihak pengurusan bangunan. 

     Sementara itu, Boston University yakni tempat Dr. Carrie O’Connor mengajar telah mengeluarkan kenyataan rasmi menyatakan rasa dukacita atas pemergiannya. Rakan sekerja dan pelajar kelas menggambarkan Dr. Carrie O'Connor sebagai seorang pendidik yang berdedikasi, berpengetahuan luas dan sangat disukai oleh pelajar. Dia memiliki pengalaman luas dalam bidang pengajaran bahasa Perancis dan kebudayaan selain aktif dalam program-program akademik dan pertukaran pelajar antarabangsa.

Catat Ulasan for "KISAH KEMATIAN NGERI DR. CARRIE O'CONNOR"