Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH KEMATIAN NGERI AMANDA GALLAGHER


     Pada 26 Oktober 2024, satu kejadian ngeri telah berlaku hingga meragut nyawa seorang wanita di lapangan udara Cook Airfield berhampiran Wichita, Kansas, Amerika Syarikat. Mangsa, Amanda Gallagher merupakan seorang jurugambar profesional berusia 37 tahun yang cukup dikenali dalam komuniti sukan lasak khususnya aktiviti terjunan udara (skydiving). Kejadian ini berlaku ketika Amanda sedang menjalankan tugas merakam gambar-gambar penerjun udara bagi dokumentasi dan promosi. Namun dalam sekelip mata, suasana yang penuh semangat bertukar menjadi detik menyayat hati apabila Amanda dilanggar bilah pesawat yang sedang berputar ketika berada di darat.

     Menurut laporan rasmi dan kenyataan daripada pihak berkuasa tempatan, kejadian berlaku sewaktu pesawat tersebut baru sahaja mendarat dan sedang bersedia menerima kumpulan penerjun berikutnya. Amanda dipercayai sedang berjalan mundur mungkin untuk mendapatkan sudut rakaman terbaik namun secara tidak sedar telah melangkah terlalu hampir dengan pesawat. Bilah pesawat tersebut yang masih berpusing laju telah mengenai bahagian tubuh Amanda dengan impak yang cukup dahsyat. Dia rebah serta-merta akibat kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di hospital tidak lama selepas itu.


     Kejadian ini mengejutkan ramai pihak terutama komuniti penerjun udara dan jurugambar sukan lasak. Amanda bukan sahaja dikenali kerana bakatnya dalam fotografi malah disayangi kerana perwatakannya yang ceria, penuh semangat dan sentiasa menyokong rakan-rakan dalam industri. Dia sering terlibat dalam pelbagai acara udara dan telah menghasilkan banyak dokumentasi visual yang mengagumkan. Pihak Air Capital Drop Zone yakni tempat Amanda melakukan tugasan ketika itu menyifatkan kehilangan Amanda sebagai satu kehilangan besar kepada dunia skydiving dan fotografi sukan.

     Siasatan awal oleh Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mendapati bahawa kawasan operasi pesawat sememangnya mempunyai prosedur keselamatan ketat. Walau bagaimanapun, kemungkinan kecuaian individu serta kurangnya kesedaran situasi ketika bertugas menyumbang kepada kemalangan ini. Walaupun pihak pengurusan telah menyediakan zon larangan dan garis panduan keselamatan di sekitar pesawat kejadian tersebut membuktikan bahawa risiko tetap wujud apabila pergerakan individu tidak sepenuhnya tertumpu pada persekitaran mereka lebih-lebih lagi apabila terlalu fokus dalam kerja seperti mengambil gambar.


     Keluarga Amanda kemudiannya menubuhkan sebuah kempen kutipan dana atas talian (GoFundMe) bagi membantu urusan pengebumian serta memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang. Dalam halaman tersebut, Amanda digambarkan sebagai seorang yang berani, penuh kasih sayang dan sangat mencintai pekerjaannya. Mereka menyatakan bahawa Amanda meninggal dunia ketika sedang melakukan apa yang paling dia sukai iaitu merakam detik indah dalam sukan yang mencabar. Kutipan tersebut juga menerima sokongan luar biasa daripada rakan-rakan, kenalan industri dan orang awam yang tersentuh dengan kejadian menyedihkan itu.

     Rakan-rakan Amanda turut berkongsi kenangan mereka melalui media sosial dan media tempatan. Ramai yang menggambarkannya sebagai seorang yang sentiasa positif, ringan tulang membantu orang lain dan tidak pernah gentar mencuba perkara baru. Malah beberapa rakannya menyatakan bahawa Amanda sering menjadi sumber inspirasi kepada jurugambar wanita muda yang baru ingin menceburi bidang fotografi sukan ekstrem.



Catat Ulasan for "KISAH KEMATIAN NGERI AMANDA GALLAGHER "