Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH KEMATIAN NGERI ROCIO CORTES NUNEZ DALAM LIF HOSPITAL


     Pagi Ahad, 13 Ogos 2017 sepatutnya menjadi hari yang bermakna bagi Rocio Cortes Nunez iaitu seorang wanita muda berusia 25 tahun dari Dos Hermanas, sebuah kawasan pinggir bandar Seville, Sepanyol. Hari itu dia telah dijadualkan menjalani pembedahan untuk melahirkan anak ketiganya secara Caesarean. Sebagai seorang ibu muda kepada dua orang anak perempuan, kelahiran ini bukanlah pengalaman pertama baginya. Walau bagaimanapun, setiap kelahiran tetap istimewa dan Rocio tidak sabar menimang cahaya mata baharu yang bakal menyertai keluarganya. Malangnya, kegembiraan itu bertukar menjadi mimpi ngeri. Hanya beberapa minit selepas bersalin, Rocio meninggal dunia dalam satu kemalangan ngeri.

     Pada pagi kejadian, Rocio dimasukkan ke Hospital Universitario Virgen de Valme di Seville untuk menjalani pembedahan Caesarean. Prosedur itu berlangsung seperti yang dirancang. Dia berjaya melahirkan seorang bayi perempuan dalam keadaan selamat dan doktor mengesahkan bahawa kedua-dua ibu serta anak berada dalam keadaan stabil. Namun ketika Rocio masih belum sedar sepenuhnya akibat kesan ubat bius, dia dibaringkan di atas pengusung dan dibawa keluar dari bilik pembedahan oleh kakitangan hospital. Mereka bersedia untuk memindahkannya ke wad pemulihan di tingkat lain menggunakan lif.


     Ketika pengusungnya sedang ditolak masuk ke dalam lif, kejadian pun berlaku. Lif itu tiba-tiba mula bergerak secara automatik sebelum pengusung dimasukkan sepenuhnya ke dalam ruang lif. Tanpa sebarang amaran, pintu lif tertutup rapat dan lif terus naik ke atas. Dalam sekelip mata, tubuh Rocio yang berada di tengah-tengah antara ruang luar dan dalam lif di mana dia tersepit serta terhimpit kuat di antara bingkai pintu dan struktur lif. Bahagian atas badannya hancur serta-merta akibat tekanan dan kekuatan mekanikal lif yang bergerak. Rocio meninggal dunia di tempat kejadian dalam keadaan amat mengerikan dan menyayat hati.

     Kejadian itu berlaku dalam keadaan yang sangat pantas dan di luar jangkaan sesiapa. Seorang jururawat yang membantu menolak pengusung bersama Rocio berjaya melarikan diri dari lif saat terakhir dan terselamat secara fizikal tetapi mengalami trauma berat selepas menyaksikan detik kematian tersebut. Jeritan kakitangan hospital kedengaran di seluruh koridor. Lif tersebut terkandas antara dua tingkat bangunan dan usaha menyelamat mengambil masa hampir dua jam. Pasukan bomba yang tiba di lokasi terpaksa menjalankan operasi menyelamat yang rumit untuk mengeluarkan mayat RocĂ­o yang tersepit dengan teruk di dalam ruang sempit antara lif dan struktur dinding bangunan. Pada masa yang sama, ibu kepada Rocio yang sedang menunggu untuk melihat cucu barunya rebah sebaik saja diberitahu bahawa anaknya telah meninggal dunia. 

     Siasatan awal mendapati bahawa lif yang digunakan pada waktu kejadian baru sahaja diselenggara pada pagi yang sama oleh seorang juruteknik. Menurut rekod, lif tersebut mengalami kerosakan teknikal sebelum itu dan panggilan penyelenggaraan telah dibuat. Cuma setelah pembaikan dilakukan, lif tersebut diaktifkan semula untuk kegunaan tanpa menjalani ujian keselamatan penuh. Tiada sebarang tanda atau notis diberikan kepada kakitangan hospital bahawa lif itu tidak selamat digunakan. Lebih membimbangkan, pengaktifan semula lif dilakukan tanpa pengesahan bertulis atau ujian kelayakan operasi yakni satu kecuaian serius dari segi protokol keselamatan.

     Pihak pengurusan hospital dan syarikat penyelenggaraan saling menuding jari. Juruteknik yang bertugas pula mendakwa bahawa dia masih belum selesai sepenuhnya membaiki lif tersebut dan tidak tahu bahawa ia sudah mula digunakan. Kekeliruan antara pihak penyelenggaraan dan pengurusan hospital menyebabkan kematian seorang ibu kepada tiga anak. Kegagalan sistem komunikasi dan prosedur keselamatan menjadi faktor utama kejadian ini.


     Keluarga Rocio terutama ibu dan pasanganya menuntut keadilan. Mereka menyifatkan kematian Rocio sebagai akibat kecuaian yang tidak boleh diterima. Peguam keluarga mengemukakan saman terhadap hospital dan syarikat penyelenggaraan atas dasar kecuaian profesional manakala siasatan jenayah turut dijalankan oleh pihak berkuasa. Sementara itu, bayi perempuan yang dilahirkan oleh Rocio dilaporkan dalam keadaan sihat dan dibesarkan oleh ahli keluarga terdekat.

Catat Ulasan for "KISAH KEMATIAN NGERI ROCIO CORTES NUNEZ DALAM LIF HOSPITAL"