Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Wanita Perancis Dibayar Selama 20 Tahun Tanpa Bekerja, Kini Saman Syarikat Atas Alasan Diskriminasi


     PERANCIS– Seorang wanita menjadi tumpuan media selepas mendedahkan bahawa dia dibayar gaji penuh selama hampir dua dekad tanpa diberikan sebarang tugasan kerja oleh majikannya. Namun jauh daripada berasa beruntung, wanita ini mendakwa pengalaman tersebut memberi kesan buruk yang mendalam terhadap kesihatan mentalnya. Laurence Van Wassenhove, 55 tahun, kini mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat gergasi telekomunikasi Orange (dahulunya dikenali sebagai France Telecom atas dakwaan diskriminasi dan gangguan mental di tempat kerja.

     Laurence mula bekerja di France Telecom pada tahun 1993 sebagai seorang setiausaha. Dia dilantik ke jawatan tersebut dengan penyesuaian khusus memandangkan dia menghidap hemiplegia iaitu kelumpuhan separuh badan dan juga epilepsi. Bagi tempoh awal perkhidmatannya, syarikat menyediakan tugas dan suasana kerja yang disesuaikan dengan keperluannya. Segala kelengkapan dan sokongan diberikan agar dia mampu menyumbang kepada operasi harian syarikat.

     Namun pada tahun 2002, Laurence memohon untuk dipindahkan ke wilayah lain dan permohonan tersebut diluluskan. Di pejabat barunya, kemudahan serta penyesuaian yang pernah diberikan tidak lagi disediakan. Keadaan ini menjejaskan keupayaan Laurence untuk bekerja secara normal. Pihak perubatan syarikat kemudian mengisytiharkan bahawa Laurence tidak layak dari segi kesihatan untuk melaksanakan tugasan di jawatan tersebut.

     Sejak penilaian itu, Laurence mendakwa dia tidak lagi diberikan sebarang tugasan rasmi. Walaupun terus menerima gaji bulanan penuh, Laurence tidak diminta hadir ke pejabat, tidak dibekalkan kerja dari rumah malah tidak dimasukkan dalam mana-mana projek syarikat. Situasi ini berlanjutan selama kira-kira 20 tahun hingga menjadikannya seolah-olah pekerja tanpa peranan.

     Laurence menjelaskan bahawa keadaan ini bukan satu keistimewaan, sebaliknya satu bentuk pengasingan yang menekan jiwa. “Dibayar di rumah tanpa bekerja bukanlah satu kelebihan. Ia amat sukar untuk ditanggung,” katanya.

     Laurence menggambarkan bahawa ketiadaan kerja bukan sahaja membuatnya berasa terputus hubungan dengan masyarakat tetapi turut menjejaskan harga diri dan makna hidupnya. Menurut Laurence, pekerjaan bukan sekadar sumber pendapatan tetapi juga simbol pengiktirafan sosial dan keterlibatan dalam komuniti. Beliau menegaskan bahawa individu kelainan upaya seperti dirinya memerlukan peluang pekerjaan yang bermakna untuk merasakan diri mereka dihargai. Kehilangan peranan di tempat kerja menjadikan dirinya berasa dipinggirkan secara beransur-ansur sehingga menjejaskan kesihatan mentalnya.

     Laurence pernah cuba menyelesaikan isu ini secara dalaman dan melalui saluran rasmi. Pada tahun 2015, dia membuat aduan kepada pihak berkuasa kerajaan Perancis serta badan anti-diskriminasi. Walau bagaimanapun, aduan tersebut tidak membawa kepada penyelesaian. Pada tahun 2023, peguam Laurence mengemukakan permintaan rasmi kepada pihak Orange supaya menyediakan jawatan baharu yang sesuai dengan keadaannya atau memberikan pampasan yang setimpal. Namun tiada maklum balas konkrit diterima daripada pihak syarikat.

     Akhirnya pada tahun 2024, Laurence memfailkan saman terhadap Orange atas tuduhan gangguan mental dan diskriminasi pekerjaan. Dia mendakwa syarikat sengaja membiarkannya terperangkap dalam keadaan tidak produktif selama bertahun-tahun di mana keadaan tersebut adalah satu bentuk penderaan psikologi terselindung.

Catat Ulasan for "Wanita Perancis Dibayar Selama 20 Tahun Tanpa Bekerja, Kini Saman Syarikat Atas Alasan Diskriminasi"