Kisah Jennifer Strange: Pertandingan Minum Air Kosong yang Meragut Nyawa

Pada awal tahun 2007, satu pertandingan radio yang dianjurkan di Sacramento, California, Amerika Syarikat telah meragut nyawa seorang wanita muda meninggal dunia akibat komplikasi kesihatan yang berpunca daripada pertandingan tersebut. Jennifer Strange iaitu seorang ibu berusia 28 tahun kehilangan nyawanya selepas menyertai pertandingan yang kelihatan tidak berbahaya pada mulanya.
Pertandingan yang diberi nama Hold Your Wee for a Wii dianjurkan oleh stesen radio tempatan KDND 107.9 The End sebagai sebahagian daripada promosi yang bertujuan menarik perhatian pendengar. Waktu itu, konsol permainan video Nintendo Wii baru dilancarkan dan sangat sukar didapati di pasaran sekali gus menjadikannya hadiah yang sangat diidamkan oleh ramai orang. Konsep pertandingan ini mudah di mana peserta perlu meminum air dalam jumlah yang banyak tanpa membuang air kecil. Peserta yang mampu bertahan paling lama tanpa ke tandas akan memenangi konsol Wii.

Jennifer yang juga merupakan ibu kepada tiga orang anak menyertai pertandingan ini dengan harapan dapat membawa pulang hadiah tersebut untuk menggembirakan anak-anaknya. Dalam pertandingan tersebut, setiap peserta diberikan botol air berukuran 240 ml (8 auns) dan diminta untuk meminumnya secara berkala. Jennifer dipercayai telah meminum hampir dua liter air dalam tempoh masa yang singkat. Rakaman audio semasa pertandingan berlangsung menunjukkan bahawa para penyampai radio berseloroh dan mempersendakan peserta yang kelihatan mula menunjukkan tanda-tanda ketidakselesaan termasuk Jennifer yang mengadu pening kepala dan loya.
Apa yang lebih mengejutkan, seorang jururawat pernah menelefon ke stesen radio tersebut semasa pertandingan sedang dijalankan dan memberi amaran bahawa peserta boleh mengalami komplikasi kesihatan serius seperti keracunan air hingga boleh menyebabkan kematian. Malangnya, amaran tersebut tidak diendahkan. Para DJ di udara malah bergurau mengenai kemungkinan seseorang mati akibat minum terlalu banyak air dan terus menjalankan pertandingan seperti biasa. Tidak ada sebarang langkah keselamatan diambil dan tiada pegawai perubatan disediakan semasa acara tersebut.

Beberapa jam selepas meninggalkan pertandingan, Jennifer ditemui tidak sedarkan diri di rumahnya. Dia kemudiannya disahkan meninggal dunia akibat hiponatremia yakni satu keadaan perubatan di mana kadar natrium (garam) dalam darah jatuh ke paras yang terlalu rendah akibat pengambilan air yang berlebihan. Keadaan ini menyebabkan sel-sel dalam tubuh termasuk sel otak membengkak dan seterusnya menyebabkan tekanan dalam tengkorak yang membawa maut.
Pada tahun 2009, selepas perbicaraan panjang, mahkamah telah memutuskan bahawa KDND bertanggungjawab atas kematian Jennifer. Juri mengarahkan stesen radio tersebut membayar pampasan sebanyak USD 16.5 juta kepada keluarga mangsa. Mahkamah juga diberitahu bahawa pihak stesen radio telah mengabaikan amaran berulang daripada pendengar dan pakar kesihatan tentang bahaya pertandingan tersebut.
Akibat daripada insiden ini juga, seramai sepuluh orang kakitangan KDND termasuk tiga orang DJ utama telah dipecat. Tidak lama selepas itu, lesen penyiaran stesen radio tersebut ditarik balik dan KDND 107.9 The End ditutup secara rasmi pada tahun 2017, tepat satu dekad selepas kejadian tersebut berlaku.
Catat Ulasan for "Kisah Jennifer Strange: Pertandingan Minum Air Kosong yang Meragut Nyawa"