KISAH KEMATIAN LUCY MORGAN AKIBAT KEPALA TERTUSUK BATANG RAKET

Sukan badminton sering kali dianggap sebagai aktiviti santai dan menyeronokkan,l terutama apabila dimainkan bersama keluarga dalam suasana percutian yang tenang. Namun bagi sebuah keluarga dari New Jersey, Amerika Syarikat, percutian mereka di negeri Maine bertukar menjadi sebuah tragedi yang tidak akan dilupakan seumur hidup apabila seorang anak kecil mereka maut dalam satu kejadian luar jangka yang membabitkan raket badminton.
Kejadian menyayat hati itu berlaku pada 1 Jun 2024 ketika keluarga Lucy Morgan, seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun sedang menikmati percutian di sebuah pondok tepi tasik di Limerick, Maine. Dalam suasana santai dan penuh keceriaan itu, Lucy sedang duduk berhampiran kawasan permainan apabila abangnya yang berusia 10 tahun sedang bermain badminton. Dalam satu hayunan, raket badminton yang digunakan oleh abangnya secara tiba-tiba patah. Bahagian logam daripada kepala raket tersebut tercabut dan melayang ke arah Lucy lalu menembusi tengkoraknya dengan kelakuan tinggi hingga mengakibatkan kecederaan otak yang sangat parah.
Lucy segera kehilangan kesedaran serta-merta selepas terkena serpihan logam itu. Dia dikejarkan ke hospital tempatan di Sanford sebelum dipindahkan secara kecemasan menggunakan helikopter ke Maine Medical Center di Portland. Di sana, pasukan perubatan menjalankan pembedahan kraniotomi kecemasan bagi mengurangkan tekanan pada otaknya dan mengeluarkan sebahagian tulang tengkorak. Meskipun segala usaha telah dilakukan, keadaan Lucy terus merosot. Beberapa hari kemudian, pihak hospital mengesahkan bahawa Lucy mengalami kematian fungsi otak sepenuhnya. Pada 5 Jun 2024, dia disahkan meninggal dunia.

Pemergian Lucy meninggalkan kesan mendalam kepada keluarganya yakni bapanya, Jesse, ibunya, Bethany dan tiga orang adik-beradik lain. Keluarga Morgan berkongsi pengalaman dan kesedihan mereka secara terbuka melalui blog keluarga mereka termasuk menceritakan kenangan tentang Lucy yang digambarkan sebagai seorang anak yang ceria, penyayang, kreatif serta aktif dalam pelbagai aktiviti seperti melukis, bermain bola, dan menari. Kehilangan mendadak itu menjadi satu kehilangan yang sangat besar buat mereka.
Susulan kejadian itu, satu kempen kutipan dana awam melalui GoFundMe telah dilancarkan untuk membantu keluarga Morgan menampung kos perubatan dan pengurusan mayat. Sambutan orang ramai amat luar biasa di mana kutipan dana mencecah lebih daripada USD 130 000 dalam masa beberapa hari. Majlis peringatan untuk Lucy telah diadakan pada 15 Jun 2024 dan disiarkan secara langsung agar rakan serta keluarga jauh dapat memberikan penghormatan terakhir.
Catat Ulasan for "KISAH KEMATIAN LUCY MORGAN AKIBAT KEPALA TERTUSUK BATANG RAKET"