Kisah Tilly Smith: Kanak-Kanak 10 Tahun yang Menyelamatkan Ramai Nyawa Ketika Tsunami 2004

Pada pagi 26 Disember 2004, satu kejadian bencana alam yang paling dahsyat dalam sejarah moden iaitu gempa bumi dasar laut berkekuatan 9.1 magnitud telah berlaku di luar pantai barat Sumatra, Indonesia. Gempa ini mencetuskan siri gelombang tsunami besar yang membadai lebih 14 negara di sekitar Lautan Hindi hingga mengorbankan lebih 230,000 nyawa. Ketika bencana alam ini melanda, ramai manusia berada dalam keadaan panik dan tidak tahu apa yang sedang berlaku. Namun di sebalik kekalutan itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia hanya 10 tahun menjadi penyelamat kepada puluhan nyawa di sebuah pantai di Thailand. Nama kanak-kanak itu ialah Tilly Smith, pelajar sekolah rendah dari Surrey, England.
BTilly Smith dan keluarganya sedang bercuti di Mai Khao Beach, Phuket, Thailand yakni sebuah kawasan pantai yang cantik dan menjadi tumpuan pelancong asing. Ketika mereka bersiar-siar di sepanjang pantai pada pagi tersebut, Tilly menyedari sesuatu yang ganjil. Air laut secara tiba-tiba mula menyurut jauh ke tengah dan membentuk buih-buih putih yang kelihatan aneh. Orang ramai pada masa itu masih terpinga-pinga. Malah ada yang menganggap fenomena itu sebagai pemandangan menarik untuk diabadikan dalam gambar. Namun tidak bagi Tilly. Apa yang dilihatnya serta-merta mengingatkannya terhadap satu pelajaran yang baru sahaja diajarkan oleh gurunya, Clare Hallet dalam kelas Geografi beberapa minggu sebelum percutian itu.

Dalam pelajaran tersebut, Tilly dan rakan-rakannya ditunjukkan video dokumentari tentang tsunami yang pernah berlaku di Hawaii pada tahun 1946. Mereka turut diajar tentang tanda-tanda awal berlakunya tsunami. Antaranya ialah air laut yang tiba-tiba menyurut dengan cepat dan kemunculan buih-buih ganjil di permukaan air. Ketika menyaksikan sendiri perubahan laut di hadapannya, Tilly mula panik dan menjerit kepada ibu bapanya:, “Tsunami! Akan berlaku tsunami!”
Ibu Tilly yang bernama Penny Smith pada awalnya tidak mengambil serius kata-kata anak kecil itu. Cuma apabila melihat betapa serius dan yakin Tilly memberikan amaran, mereka mula mempercayainya. Bapa Tilly segera bertindak dengan memaklumkan pihak hotel dan pengawal keselamatan. Tanpa berlengah, pihak keselamatan memulakan usaha memindahkan para pelancong dari kawasan pantai ke dalam bangunan hotel yang lebih tinggi. Sebahagian besar daripada mereka dibawa ke tingkat dua lobi hotel yang terletak di kawasan lebih selamat.

Beberapa minit selepas semua orang berjaya meninggalkan pantai, gelombang besar tsunami melanda dengan kekuatan luar biasa. Pantai yang tadi dipenuhi pelancong tiba-tiba ditenggelami oleh air laut yang deras. Namun yang menakjubkan, tiada seorang pun yang terkorban di pantai Mai Khao pada hari itu. Kesemua yang berada di situ berjaya diselamatkan dan ini adalah hasil daripada tindakan pantas seorang kanak-kanak berusia 10 tahun yang menggunakan ilmu geografi yang dipelajarinya di sekolah.
Tindakan berani dan pantas Tilly Smith mendapat liputan meluas media antarabangsa di mana dia digelar Angel of the Beach oleh akhbar-akhbar Britain dan antarabangsa. Banyak pihak memuji keberanian serta ketegasan Tilly dalam menyuarakan amaran walaupun pada ketika itu dia hanyalah seorang kanak-kanak yang bercuti bersama keluarga. Keberanian Tilly telah menyelamatkan kira-kira 100 nyawa manusia.

Tilly turut menerima pelbagai penghargaan atas tindakannya. Pada bulan September 2005, dia dianugerahkan Thomas Gray Special Award oleh Marine Society & Sea Cadets di United Kingdom. Anugerah ini diberikan kepada individu yang menunjukkan keberanian luar biasa dalam situasi kecemasan. Bukan itu sahaja, Tilly turut dipilih sebagai Child of the Year oleh pembaca majalah kanak-kanak Mon Quotidien di Perancis. Malah, sebuah planet kecil bernama 20002 Tillysmith dinamakan sempena namanya sebagai satu bentuk penghormatan astronomi atas sumbangannya.
Pada bulan November 2005, Tilly dijemput menghadiri Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai pengurangan risiko bencana di mana dia berpeluang bertemu dengan bekas Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton yang ketika itu bertindak sebagai Utusan Khas PBB untuk pemulihan tsunami. Dalam ucapannya, Tilly menyeru agar semua kanak-kanak di seluruh dunia diberikan pendidikan tentang tanda-tanda awal bencana alam seperti tsunami, gempa bumi dan sebagainya agar mereka tahu bagaimana untuk bertindak menyelamatkan diri dan orang lain.
Catat Ulasan for "Kisah Tilly Smith: Kanak-Kanak 10 Tahun yang Menyelamatkan Ramai Nyawa Ketika Tsunami 2004"