Kisah Helen Davey : Wanita yang Mati Akibat Dihimpit Katil Gas Lift

Tempat tidur jenis ottoman gas-lift merupakan katil dengan sistem angkat berengsel yang membolehkan pengguna membuka bahagian tilam ke atas untuk menyimpan barang di bawahnya. Ia dilengkapi dengan sistem penyokong hidraulik atau piston gas yang sepatutnya menampung berat tilam apabila diangkat. Namun dalam kes Helen, sistem sokongan tersebut gagal berfungsi secara tiba-tiba. Ketika kejadian, Helen dipercayai sedang cuba mengambil sesuatu dari ruang simpanan di bawah katil tersebut apabila penutup katil secara mengejut jatuh ke bawah dan menindih bahagian lehernya lalu menyebabkannya terperangkap dalam posisi yang sangat berbahaya. Menurut laporan bedah siasat, Helen meninggal dunia akibat asfiksia posisi yakni keadaan di mana seseorang tidak dapat bernafas disebabkan kedudukan tubuh yang tidak normal atau terperangkap.
Lebih menyedihkan, kejadian itu disaksikan oleh anak perempuan Helen sendiri iaitu Elizabeth yang baru berusia 19 tahun. Remaja itu baru sahaja pulang dari janji temu di salon apabila dia menemui ibunya dalam keadaan terperangkap dan tidak sedarkan diri. Elizabeth cuba sedaya upaya mengangkat kembali tilam berat itu dengan menggunakan kaki dan tangannya tetapi tidak berjaya. Dia kemudian cuba melakukan bantuan pernafasan kecemasan dan segera menghubungi perkhidmatan kecemasan. Malangnya, pasukan paramedik yang tiba di lokasi hanya mampu mengesahkan bahawa Helen telah pun meninggal dunia.

Kes kematian Helen mendapat perhatian kerana ia berkaitan keselamatan perabot moden yang semakin popular terutama katil jenis gas-lift yang banyak digunakan di rumah-rumah sebagai penyelesaian penjimatan ruang. Koroner senior, Jeremy Chipperfield yang mengetuai inkues kematian Helen secara rasmi mengklasifikasikan kematian itu sebagai kemalangan yang tidak disengajakan. Dia turut mengeluarkan amaran rasmi kepada kerajaan British menerusi satu dokumen khas dikenali sebagai Prevention of Future Death yang bertujuan untuk mencadangkan langkah pencegahan supaya kematian serupa tidak berulang.
Dalam laporannya, Chipperfield menegaskan bahawa sistem mekanikal pada katil seperti itu mempunyai potensi bahaya yang tinggi sekiranya berlaku kegagalan pada piston gas atau sistem penguncinya. Dia turut menyeru supaya pihak berkuasa memperkenalkan garis panduan keselamatan yang lebih ketat terhadap produk seperti ini termasuk keperluan ujian piawaian dan label amaran yang lebih jelas kepada pengguna. Tambahan pula, dia menyarankan agar mana-mana pengguna yang memiliki katil jenis gas-lift supaya menyemak semula produk mereka bagi memastikan ia selamat digunakan terutamanya jika ia telah lama dibeli atau tidak pernah disenggara.
Catat Ulasan for "Kisah Helen Davey : Wanita yang Mati Akibat Dihimpit Katil Gas Lift "