Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH KEMATIAN NGERI ROMAN PIROZEK JR.

     Pada 5 September 2013, satu kejadian ngeri telah berlaku di Taman Calvert Vaux, Brooklyn, New York yang melibatkan seorang pemuda berusia 19 tahun bernama Roman Pirozek Jr. Dia dikenali dalam kalangan komuniti peminat helikopter kawalan jauh (RC helicopter) sebagai seorang yang sangat mahir, berpengalaman dan gemar melakukan aksi-aksi berisiko tinggi. Sejak kecil, Roman menunjukkan minat yang mendalam terhadap hobi inim Dia bahkan sering memuat naik video demonstrasi kemahirannya di laman YouTube. Aksi Roman sering mendapat perhatian kerana dia berani menerbangkan helikopter model besar pada jarak yang amat dekat dengan dirinya sendiri.

     Pada hari kejadian, Roman berada di taman tersebut bersama beberapa rakan penghobi lain untuk menerbangkan sebuah model helikopter berkuasa tinggi jenis T-Rex 700N DFC. Helikopter kawalan jauh ini merupakan model profesional bersaiz besar dengan panjang bilah pemutar utama mencecah kira-kira 1.2 meter dan diperbuat daripada gentian karbon yang sangat kuat. Model ini menggunakan enjin bahan bakar nitro yang mampu mencapai kelajuan bilah sehingga ratusan kilometer sejam selain hanya sesuai dikendalikan oleh individu yang benar-benar berpengalaman. Menurut penerbitan Business Insider, model seperti ini dihasilkan untuk penggemar dewasa yang mahir kerana ia mempunyai kuasa, kelajuan dan risiko kecederaan yang sangat tinggi.

     Ketika itu, Roman sedang melakukan aksi 3D flying iaitu satu bentuk kawalan ekstrem yang melibatkan pergerakan akrobatik, pusingan terbalik dan gerakan pantas pada jarak dekat. Dalam dunia peminat RC heli, aksi sebegini menjadi tanda kemahiran tertinggi tetapi juga membawa risiko kematian sekiranya berlaku sedikit sahaja kesilapan. Beberapa saksi di lokasi melihat Roman membuat pusingan pantas sebelum helikopter tersebut tiba-tiba hilang kawalan. Menurut pakar, kejadian seperti ini boleh berpunca daripada kegagalan mekanikal, ketidakseimbangan bilah atau gangguan pada sistem kawalan radio.

     Dalam beberapa saat, helikopter itu meluncur ke arah Roman dan bilah pemutarnya mengenai kepalanya dengan kelajuan tinggi. Impaknya amat dahsyat di mana bilah gentian karbon yang berputar laju itu menyebabkan kecederaan parah di bahagian tengkorak dan Roman rebah di tempat kejadian. Rakan-rakannya segera menghubungi pihak kecemasan namun paramedik yang tiba tidak dapat menyelamatkan nyawanya. Dia disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan teruk di kepala.

     Kematian Roman Pirozek Jr. mendapat liputan meluas di media antarabangsa. Menurut laporan ABC News, kes sebegini sangat jarang berlaku. Malah di Amerika Syarikat, kejadian ini dipercayai hanya kematian kedua yang pernah dilaporkan akibat kemalangan helikopter kawalan jauh. Seorang juruterbang RC berpengalaman bernama Whey Roberts menyatakan bahawa walaupun seseorang itu berkemahiran tinggi, bahaya tetap wujud kerana model ini mempunyai kuasa setara dengan mesin pemotong rumput yang terbang di udara.

Catat Ulasan for "KISAH KEMATIAN NGERI ROMAN PIROZEK JR."