KISAH KEMATIAN CALLEB SCHWAB YANG MENGERIKAN

Pada 7 Ogos 2016, satu kejadian ngeri telah berlaku di Schlitterbahn Waterpark, Kansas City, Amerika Syarikat. Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun iaitu Caleb Thomas Schwab yang juga merupakan anak kepada seorang ahli politik Kansas, Scott Schwab meninggal dunia ketika menaiki gelongsor air Verruckt yang pada waktu itu diiktiraf sebagai gelongsor air tertinggi di dunia oleh Guinness World Records.
Verruckt dibuka kepada umum pada tahun 2014 dengan ketinggian mencecah 51 meter (168 kaki) yakni bersamaan bangunan 17 tingkat. Gelongsor ini direka untuk memberi pengalaman ekstrem kepada pengunjung di mana penunggang akan menuruni gelongsor curam kemudian mendaki semula bukit kedua sebelum turun ke kolam penamat. Cuma di sebalik popularitinya, terdapat laporan awal yang menunjukkan kebimbangan mengenai aspek keselamatan reka bentuknya. Reka bentuk Verruckt tidak melibatkan pasukan jurutera profesional secara menyeluruh tetapi sebaliknya dibangunkan lebih kepada idea kreatif untuk memecahkan rekod dunia.

Beberapa pekerja taman tema dan pengunjung sebelum ini mendakwa pernah mengalami kejadian bahaya seperti bot melayang dari landasan dan penunggang terhentak kuat pada jaring penahan. Menurut laporan, sekurang-kurangnya 13 orang telah cedera sebelum insiden Caleb termasuk patah tulang dan kecederaan muka.
Pada pagi 7 Ogos 2016, Caleb bersama keluarganya mengunjungi Schlitterbahn untuk menikmati percutian hujung minggu. Sebagai sebahagian daripada promosi khas, mereka menerima pas masuk percuma. Caleb menaiki Verruckt bersama dua orang wanita dewasa yang tidak dikenali. Ketika bot yang mereka naiki meluncur dengan kelajuan tinggi, sesuatu yang tidak dijangka berlaku. Semasa mendaki bukit kedua, bot tersebut melayang dari trek hingga melepasi paras keselamatan. Caleb yang duduk di bahagian hadapan terhantuk pada jaring keselamatan yang disokong dengan struktur logam. Impak tersebut terlalu kuat sehingga menyebabkan kepala Caleb terputus di tempat kejadian. Kedua-dua penumpang wanita turut mengalami kecederaan serius pada muka dan leher akibat hentaman.

Saksi yang berada di kawasan gelongsor melaporkan mereka terdengar bunyi hentakan yang kuat diikuti jeritan panik. Seorang pengunjung yang berada dalam barisan menunggu giliran menyatakan dia melihat bot penumpang melayang dan Caleb terlempar. Pihak pengurusan taman tema segera menutup Verruckt serta-merta pada hari yang sama dan kawasan tersebut dipagar untuk siasatan.
Siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa mendedahkan bahawa reka bentuk Verruckt melanggar banyak piawaian keselamatan industri. Ketinggian, kelajuan dan sudut gelongsor menghasilkan daya graviti yang terlalu tinggi menyebabkan bot berpotensi melayang jika berat penumpang tidak seimbang. Ujian dalaman sebelum pembukaan juga pernah menunjukkan kegagalan sistem brek dan kawalan kelajuan. Malah seorang penjaga pantai yang terlibat dalam ujian awal pernah mengalami kemalangan apabila bot yang dinaikinya terhempas ke dinding konkrit di hujung gelongsor.

Pada Mac 2018, juri besar mendakwa beberapa individu termasuk pengasas bersama Schlitterbahn iaitu Jeff Henry dan pereka Verruckt, John Schooley atas tuduhan seperti pembunuhan darjah kedua, meletakkan nyawa kanak-kanak dalam bahaya dan pelanggaran keselamatan. Namun pada Februari 2019, seorang hakim membatalkan semua dakwaan jenayah tersebut kerana menganggap sebahagian bukti yang digunakan adalah tidak sah di sisi undang-undang.
Keluarga Caleb bagaimanapun menerima pampasan sivil hampir USD 20 juta daripada pihak Schlitterbahn dan syarikat-syarikat berkaitan. Ini merupakan antara penyelesaian kewangan terbesar dalam sejarah kes kemalangan taman tema. Selepas kejadian ini, negeri Kansas memperkenalkan undang-undang baharu yang lebih ketat untuk mengawal selia taman tema dan gelongsor air.
Catat Ulasan for "KISAH KEMATIAN CALLEB SCHWAB YANG MENGERIKAN"