KES PEMBUNUHAN KEJAM KARYA LISTYANTI PERTIWI

Karya Listiyanti Pertiwi atau lebih mesra dikenali sebagai Tiwi, merupakan seorang penjawat awam di Badan Pusat Statistik (BPS) Halmahera Timur, Maluku Utara, Indonesia. Wanita berusia sekitar 30 tahun ini berasal dari Magelang, Jawa Tengah dan dikenali rakan-rakannya sebagai seorang yang peramah, rajin serta disenangi di tempat kerja. Kehidupannya yang normal bagaimanapun berubah menjadi tragedi ngeri pada pertengahan Julai 2025 apabila dia menjadi mangsa pembunuhan kejam oleh rakan sekerjanya sendiri.
Menurut siasatan polis, suspek dikenal pasti sebagai Aditya Hanafi, 27 tahun yang juga merupakan merupakan rakan sepejabat Tiwi. Motif utama pembunuhan ini berpunca daripada penolakan Tiwi untuk meminjamkan wang sebanyak kira-kira Rp30 juta (sekitar RM9000) kepada Aditya yang ketika itu terdesak untuk melangsaikan hutang akibat ketagihan judi dalam talian atau judi online. Penolakan itu dipercayai mencetuskan kemarahan Aditya sehingga dia merancang untuk mendapatkan wang tersebut dengan cara paksa.

Kronologi kejadian bermula pada 18 Julai 2025 iaitu hari terakhir Tiwi hadir ke pejabat dan merekodkan kehadiran. Keesokan harinya, 19 Julai, Aditya bertindak memasuki rumah dinas Tiwi di Desa Soagimalaha, Kecamatan Kota Maba dengan menggunakan kunci pendua. Sewaktu berada di dalam rumah, Aditya menerpa ke arah Tiwi lalu mengikat tangan dan kakinya serta melakukan serangan seksual. Tidak berhenti di situ, dia memaksa Tiwi menyerahkan kata laluan dan nombor PIN akaun banknya. Suspek kemudian memindahkan sejumlah wang yang dianggarkan sekitar Rp89 juta (sekitar RM27 000) daripada akaun Tiwi termasuk membuat pinjaman atas nama mangsa.
Bagi mengelakkan Tiwi membuat laporan, Aditya bertindak kejam dengan membekap wajahnya menggunakan bantal sehingga mangsa tidak dapat bernafas lalu meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat Tiwi dibiarkan terbaring di rumah sewanya itu tanpa sebarang tindakan susulan daripada suspek. Pada 21 Julai, Aditya cuba mengaburi rakan sekerja di mana dia berpura-pura memaklumkan bahawa Tiwi mengambil cuti dengan hantar mesej daripada telefon mangsa untuk mengelakkan kecurigaan. Namun gaya bahasa dan cara menaip mesej tersebut mula menimbulkan syak dalam kalangan rakan-rakan mangsa.

Selepas beberapa hari Tiwi tidak muncul di pejabat dan tidak dapat dihubungi, pihak berkuasa mula mengambil tindakan. Pada 31 Julai 2025, polis bertindak memecahkan pintu rumah tersebut. Penemuan mereka mengejutkan dengan mayat Tiwi ditemui berada dalam keadaan reput teruk sehingga bahagian kepala menjadi tengkorak. Keadaan ini menunjukkan mangsa telah meninggal dunia sejak lebih seminggu sebelumnya. Mayatnya kemudian dibawa pulang ke kampung halaman di Magelang dan dikebumikan pada 2 Ogos 2025.

Selepas hampir seminggu diburu polis yakni pada 5 Ogos 2025, Aditya akhirnya menyerah diri. Dalam siasatan lanjut, polis menemui dua telefon bimbit milik Tiwi yang telah dibuang suspek di lokasi berasingan, satu di kawasan jurang dan satu lagi di semak berhampiran Ternate yang dipercayai bagi menghapuskan bukti. Polis turut menemui bukti kukuh lain termasuk rekod pemindahan wang serta pinjaman yang dibuat atas nama mangsa.
Berdasarkan hasil siasatan, Aditya didakwa mengikut Pasal 340 atau Pasal 339 serta Pasal 338 subsider Pasal 351 ayat 3 KUHP kerana pembunuhan berencana, pembunuhan dan penganiayaan yang menyebabkan kematian. Jika sabit kesalahan, dia berdepan hukuman maksimum mati atau penjara seumur hidup atau sekurang-kurangnya 20 tahun penjara.
Catat Ulasan for "KES PEMBUNUHAN KEJAM KARYA LISTYANTI PERTIWI"