Kisah Dr. Xiao Fei : Skandal Perubatan Terbesar China Tahun 2025

Pada April 2025, satu skandal besar telah menggegarkan dunia perubatan negara China. Watak utamanya ialah Dr. Xiao Fei, seorang pakar bedah toraks terkenal yang memegang jawatan Associate Chief Physician di China-Japan Friendship Hospital di Beijing. Dia bukan sahaja dikenali sebagai pakar dalam pembedahan paru-paru dan dada malah turut berperanan sebagai penyelia pascasiswazah di Peking Union Medical College. Kerjayanya yang cemerlang dibina sejak tahun 2012 di mana dia bermula sebagai pegawai perubatan sehingga dilantik ke jawatan tinggi dalam masa yang singkat. Namun, reputasi yang dibina selama bertahun-tahun Xiao Fei itu musnah dalam sekelip mata apabila kehidupan peribadinya terdedah kepada umum.
Segala-galanya bermula apabila isterinya iaitu Dr. Gu Xiaoya yang juga merupakan seorang doktor menghantar surat aduan rasmi kepada Jawatankuasa Disiplin Parti Komunis di hospital pada 18 April 2025. Surat tersebut mengandungi dakwaan serius bahawa Xiao Fei telah menjalinkan hubungan sulit dengan beberapa wanita dalam perkhidmatan perubatan. Menurut Dr. Gu, hubungan ini telah bermula sejak sekitar 2019 yang melibatkan Shi Yuhui, seorang ketua jururawat dan Dong Xiying, seorang doktor residen di hospital yang sama. Lebih mengejutkan, Gu mendakwa hubungan tersebut mengakibatkan beberapa kehamilan dan keguguran.
Namun pendedahan paling mengejutkan ialah tuduhan bahawa Xiao Fei meninggalkan bilik pembedahan selama 40 minit ketika sedang menjalankan pembedahan besar pada 5 Julai 2024. Pesakit yang sudah dibius ditinggalkan tanpa pengawasan doktor dengan hanya ditemani jururawat dan pasukan pembantu. Menurut aduan itu, Xiao Fei dilaporkan berada bersama Dong Xiying di luar bilik bedah ketika pesakit berada dalam keadaan kritikal. Tindakan ini dianggap melanggar etika perubatan dan berpotensi mengancam nyawa pesakit.

Pendedahan Dr. Gu ini segera menjadi tular di platform media sosial China seperti Weibo dan WeChat hingga mengundang ribuan komen daripada netizen yang meluahkan rasa marah, kecewa dan jijik terhadap perbuatan tersebut. Ramai yang berpendapat kes ini bukan sekadar masalah rumah tangga tetapi ia juga adalah isu serius dalam integriti profesional perubatan di negara itu. Netizen menuntut agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas demi menjaga maruah profesion perubatan.
Hanya beberapa hari selepas pendedahan itu, pihak pengurusan China-Japan Friendship Hospital mengumumkan bahawa mereka telah menjalankan siasatan dalaman. Pada 27 April 2025, pihak hospital mengesahkan bahawa dakwaan Dr. Gu adalah benar. Xiao Fei didapati bersalah kerana melanggar peraturan etika dan disiplin kerja termasuk salah laku moral, hubungan tidak wajar dengan staf hospital serta kecuaian profesional. Hukuman disiplin dijatuhkan dengan Xiao Fei dipecat daripada jawatannya selain digugurkan keahlian daripada Parti Komunis China.

Tidak lama kemudian, Suruhanjaya Kesihatan Negara turut mengumumkan bahawa mereka akan menjalankan siasatan rasmi terhadap Xiao Fei, pasukan pembedahan toraks hospital tersebut serta institusi berkaitan. Siasatan ini bertujuan memastikan segala kesalahan diuruskan mengikut undang-undang serta menilai semula prosedur kawalan disiplin di hospital-hospital utama di seluruh China.
Dalam kenyataan balasnya kepada media, Xiao Fei mengakui bahawa dia memang mempunyai masalah peribadi yang menjejaskan rumah tangganya. Dia bagaimanapun menafikan tuduhan kecuaian dalam pembedahan. Menurut Xiao Fei, tindakan meninggalkan bilik bedah pada hari kejadian hanyalah untuk berehat sebentar akibat keletihan fizikal dan mental. Dia juga menegaskan bahawa pesakit tersebut selamat dan pulih sepenuhnya selepas pembedahan. Walau bagaimanapun, alasan itu tidak dapat meredakan kemarahan orang ramai yang melihat perbuatannya sebagai pengkhianatan terhadap amanah seorang doktor.
Catat Ulasan for "Kisah Dr. Xiao Fei : Skandal Perubatan Terbesar China Tahun 2025 "