Kisah Sunil Tripathi: Hilang, Difitnah dan Ditemui Tidak Bernyawa

Namun di sebalik pencapaian akademik dan keperibadian yang disenangi ramai, Sunil berhadapan dengan cabaran besar dalam hidupnya. Beberapa bulan sebelum kehilangannya, dia mengalami kemurungan yang semakin teruk. Keadaan ini menyebabkan Sunil mengambil cuti sementara daripada universiti untuk memberi tumpuan kepada rawatan kesihatan mental dan proses pemulihan. Keluarganya sentiasa berada di sisinya selain cuba memberi sokongan penuh agar dia kembali pulih.

Pada 16 Mac 2013, sekitar awal pagi, Sunil meninggalkan apartmennya di Providence, Rhode Island tanpa membawa dompet, telefon bimbit atau kunci. Rakaman kamera keselamatan menunjukkan dia keluar dari bangunan tetapi selepas itu tiada sebarang petunjuk ke mana dia pergi. Kehilangannya menimbulkan kebimbangan besar memandangkan Sunil tidak pernah hilang tanpa khabar sebelum ini.
Keluarga dan rakan-rakan segera melancarkan usaha mencari. Mereka mengedarkan poster dengan wajah Sunil, menghubungi pihak berkuasa tempatan dan membuat kempen di media sosial untuk mendapatkan maklumat daripada orang awam. Pihak polis turut memulakan pencarian namun selepas beberapa hari, tiada sebarang petunjuk jelas ditemui. Penduduk setempat di Providence juga turut membantu dalam usaha pencarian ini.

Sebulan selepas kehilangan Sunil, satu tragedi besar melanda Amerika Syarikat. Pada 15 April 2013, pengeboman berlaku di garisan penamat Maraton Boston hingga mengorbankan tiga orang dan mencederakan lebih daripada 260 yang lain. Pada 18 April 2013, pihak berkuasa mendedahkan imej dua suspek pengeboman yang diambil daripada rakaman CCTV. Kedua-dua suspek dilihat memakai topi dan membawa beg sandang besar. Tidak lama selepas imej itu disiarkan, perbincangan di forum dalam talian terutamanya di Reddit mula memuncak. Sekumpulan pengguna forum tersebut cuba membantu pihak berkuasa dengan mengenal pasti suspek melalui gambar yang dikeluarkan tetapi usaha itu berubah menjadi fitnah berbahaya.
Salah seorang pengguna forum mendakwa bahawa salah satu suspek kelihatan mirip dengan Sunil Tripathi yang ketika itu masih dilaporkan hilang. Tuduhan itu pantas merebak di media sosial seperti Twitter dan Facebook. Ramai netizen mula menuduh keluarga Sunil menyembunyikan kebenaran. Nama Sunil menjadi tular di internet, dikaitkan dengan pengeboman walaupun pihak polis tidak pernah menamakannya sebagai suspek.

Keluarga Tripathi yang ketika itu sedang berjuang mencari Sunil mula menerima panggilan telefon dan mesej bernada ancaman daripada individu yang percaya bahawa Sunil terlibat dalam pengeboman tersebut. Kempen pencarian yang pada awalnya bertujuan membantu menemui Sunil bertukar menjadi medan kecaman. Walaupun beberapa rakan dan pihak berkuasa cuba menjelaskan bahawa tuduhan tersebut tidak berasas, fitnah yang tersebar begitu pantas sehingga sukar dibendung.
Hinggalah pada 23 April 2013, pencarian Sunil berakhir dengan berita yang menyedihkan. Mayatnya ditemui terapung di Sungai Seekonk yang tidak jauh dari kawasan dia dilihat kali terakhir. Pihak berkuasa mengesahkan identitinya dan menyatakan bahawa kematiannya adalah akibat bunuh diri. Tiada sebarang kaitan antara Sunil dan pengeboman Maraton Boston seperti yang didakwa di media sosial. Keluarga Tripathi kemudian menerbitkan dokumentari bertajuk Help Us Find Sunil Tripathi pada tahun 2015. Dokumentari ini menceritakan kisah hidup Sunil, detik-detik kehilangan dan bagaimana fitnah di internet menambah penderitaan mereka.
Catat Ulasan for "Kisah Sunil Tripathi: Hilang, Difitnah dan Ditemui Tidak Bernyawa"