Kisah Karanbir Cheema: Alergi Keju yang Berakhir dengan Kematian

Pada hari kejadian, seorang pelajar telah melontarkan sepotong kecil keju ke arah Karan yang mengenai bahagian belakang lehernya. Tindakan itu dipercayai dilakukan secara bergurau atau sebagai usikan namun kesannya amat luar biasa. Hanya dalam beberapa minit, Karan mula menunjukkan tanda-tanda reaksi alergi yang teruk di mana kulitnya menjadi merah, gatal dan bengkak. Dia juga mula menggaru leher dengan kuat dan pernafasannya menjadi semakin sukar. Rakan-rakan serta guru segera menyedari sesuatu yang tidak kena dan memanggil bantuan kecemasan.

Kakitangan sekolah yang terlatih cuba membantu. Mereka memberikan inhaler untuk melegakan asma dan antihistamin untuk mengawal alergi. Walau bagaimanapun, keadaan Karan terus merosot dengan pantas. EpiPen miliknya digunakan tetapi malangnya ia didapati sudah melepasi tarikh luput. Pasukan paramedik tiba dan segera mengambil alih rawatan. Mereka memberikan dos adrenalin, melakukan CPR dan menggunakan defibrillator ketika Karan menunjukkan tanda-tanda anafilaksis yang semakin kritikal. Dia kemudian dibawa ke Great Ormond Street Hospital. Pasukan perubatan berusaha keras menyelamatkan nyawanya.
Selepas tiba di hospital, Karan diletakkan dalam keadaan koma. Doktor memantau keadaannya dengan teliti tetapi kerosakan yang dialami akibat reaksi alergi itu terlalu parah. Sepuluh hari selepas kejadian yakni pada 9 Julai 2017, keluarganya terpaksa membuat keputusan paling sukar dalam hidup mereka iaitu menarik balik sokongan hayat. Karan meninggal dunia pada usia yang masih muda hingga meninggalkan kesedihan mendalam kepada keluarganya dan rakan-rakan sekolah.
Siasatan kematian yang dijalankan kemudiannya mendedahkan bahawa kes ini adalah amat jarang berlaku. Dr. Adam Fox, seorang pakar pediatrik alergi yang terkenal di United Kingdom menyatakan bahawa anafilaksis yang berpunca daripada sentuhan kulit dengan bahan alergen tanpa dimakan atau dihiduadalah sesuatu yang hampir tidak pernah direkodkan. Cuma dalam kes Karan, pendedahan tersebut sudah cukup untuk mencetuskan reaksi alergi maut berkemungkinan kerana keadaannya yang amat sensitif terhadap protein susu.

Laporan koroner turut mendedahkan beberapa kelemahan dalam pengurusan risiko alergi di sekolah tersebut. Antaranya, tiada sistem yang konsisten untuk memeriksa tarikh luput ubat-ubatan penting seperti EpiPen, pelan tindakan alergi tidak disampaikan secara jelas dan menyeluruh kepada semua guru dan tahap kesedaran pelajar tentang bahaya alergi yang teruk masih rendah. Malah ada pelajar yang tidak memahami bahawa usikan menggunakan makanan boleh membawa maut kepada individu tertentu.
Pada 10 Mei 2019, koroner mengeluarkan Laporan Pencegahan Kematian pada masa hadapan yang mencadangkan sekolah meningkatkan kesedaran tentang bahaya alergi, membuat audit stok ubat secara berkala, memastikan dua EpiPen yang sah sentiasa tersedia, melatih guru bertindak segera dan melaksanakan pelan tindakan alergi standard bersama hospital serta keluarga.
Catat Ulasan for "Kisah Karanbir Cheema: Alergi Keju yang Berakhir dengan Kematian"