Netflix Dedahkan Poster Rasmi dan Tarikh Tayangan Siri Monster: The Ed Gein Story

Platform penstriman Netflix akhirnya mengumumkan secara rasmi tayangan musim ketiga siri antologi popular Monster yang kali ini akan menampilkan kisah pembunuh berantai terkenal Amerika Syarikat iaitu Ed Gein. Siri terbaharu ini yang diberi judul Monster: The Ed Gein Story dijadualkan menemui penonton di seluruh dunia bermula 3 Oktober 2025. Bersama-sama pengumuman tersebut, Netflix turut memperlihatkan poster rasmi yang menampilkan suasana seram, muram dan berinspirasikan filem-filem klasik yang diinspirasikan daripada jenayah Gein.
Siri ini dibawakan oleh penerbit terkenal Ryan Murphy yang sebelum ini mencetus fenomena menerusi Monster: The Jeffrey Dahmer Story pada 2022 dan Monster: The Menendez Brothers pada 2024. Bagi musim ketiga, fokus diberikan kepada kisah benar Ed Gein, seorang lelaki dari Wisconsin yang dikenali sebagai The Butcher of Plainfield. Pada era 1950-an, Gein ditangkap selepas kegiatan mengorek kubur dan menggunakan mayat untuk menghasilkan barangan peribadi termasuk pakaian serta hiasan rumah terbongkar. Kejadian ngeri ini kemudiannya menjadi inspirasi kepada beberapa karya seram Hollywood seperti Psycho, The Texas Chain Saw Massacre dan The Silence of the Lambs.
Barisan pelakon siri ini turut mendapat perhatian ramai. Charlie Hunnam diumumkan sebagai pelakon utama yang akan membawakan watak Ed Gein. Pelakon berpengalaman Laurie Metcalf pula akan memegang watak Augusta yakni ibu Gein yang berperanan besar dalam membentuk keperibadian anaknya. Turut serta ialah Tom Hollander sebagai pengarah legenda Alfred Hitchcock dan Olivia Williams sebagai Alma Reville, isteri Hitchcock.

Ryan Murphy menjelaskan bahawa siri kali ini tidak akan menekankan semata-mata kepada keganasan grafik atau unsur berdarah tetapi lebih kepada aspek psikologi. Fokusnya adalah untuk menyoal sama ada seorang pembunuh bersiri itu lahir secara semula jadi atau terbentuk akibat persekitaran, trauma serta hubungan keluarga. Penekanan terhadap hubungan Gein dengan ibunya dijangka menjadi nadi utama kepada siri ini.
Monster: The Ed Gein Story bakal menjadi kesinambungan kepada format antologi Monster yang membawa kisah jenayah benar paling kontroversi dalam sejarah Amerika. Selepas Ed Gein, dilaporkan musim keempat akan menampilkan kisah Lizzie Borden yang juga merupakan seorang lagi watak jenayah berprofil tinggi. Siri ini sekali gus mengukuhkan kedudukan Monster sebagai antara francais true crime paling berpengaruh di Netflix ketika ini. Bacaan terdahulu tentanng kisah Ed Gein boleh baca di sini : KISAH ED GEIN : Psikopat Kanibal Paling Gila
Catat Ulasan for "Netflix Dedahkan Poster Rasmi dan Tarikh Tayangan Siri Monster: The Ed Gein Story"