Kisah Karen Julieth Ojeda Rodriguez: Pembunuh Upahan Wanita Menakutkan di Colombia

Karen Julieth Ojeda Rodriguez digelar sebagai La Muneca yang bermaksud Anak Patung dalam bahasa Sepanyol. Gelaran itu mungkin kedengaran lembut tetapi hakikatnya ia merujuk kepada seorang wanita muda berusia 23 tahun yang disifatkan sebagai salah seorang pembunuh upahan paling ditakuti di rantau Santander, Colombia.
Karen berasal dari Barrancabermeja, sebuah bandar industri minyak yang terkenal dengan sejarah konflik dan aktiviti jenayah. Dia membesar dalam persekitaran yang tidak stabil di mana kewujudan geng terancang dan perebutan kuasa di jalanan bukanlah perkara asing. Walaupun dikatakan menamatkan pendidikan menengah, masa depannya berubah drastik ketika berusia 18 tahun. Pada usia semuda itu, Karen memilih jalan gelap dengan menyertai dunia jenayah terancang.
Sebagai anggota geng, Karen tidak mengambil masa yang lama untuk menjadi seorang yang digeruni. Dia cepat menonjol kerana memiliki keberanian, disiplin serta ketepatan dalam menggunakan senjata api. Kelebihan ini membuatkan namanya semakin dikenali dalam kalangan rakan sejenayah. Karen kemudian diangkat sebagai orang kanan kepada John Jairo Fernandez Portala yang lebih dikenali dengan gelaran Marihuano. Lelaki itu merupakan ketua kumpulan jenayah bernama Los de la M, sebuah organisasi yang mengawal aktiviti haram seperti pengedaran dadah, pemerasan dan pembunuhan upahan. Walaupun Marihuano sedang menjalani hukuman penjara, kekuasaannya tidak terjejas kerana dia menggunakan Karen sebagai wakil yang menjalankan arahan di luar penjara. Hubungan Karen dengan Marihuano juga dikatakan lebih daripada sekadar rakan sekerja kerana mereka dipercayai menjalin hubungan peribadi yang erat.

Sepanjang aktivitinya, Karen memainkan peranan penting dalam mengatur operasi jenayah di Barrancabermeja, Bucaramanga, Piedecuesta dan dipercayai juga di Cucuta. Dia digambarkan sebagai seorang wanita yang dingin, tegas dan licik dengan keupayaan untuk menukar penampilan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. Kadang-kala Karen mewarnakan rambutnya atau mengubah gaya berbusana bagi mengaburi pihak polis dan musuh. Wajahnya yang menarik membuatkan media sering membandingkannya dengan watak Rosario Tijeras, seorang pembunuh wanita terkenal dalam fiksyen televisyen Latin. Namun tidak seperti watak drama, Karen adalah realiti kejam dunia jenayah.
Antara tuduhan paling berat yang dikaitkan dengannya ialah pembunuhan terhadap bekas teman lelakinya sendiri iaitu Deyvy Jesus Garcia Palomino yang digelar Orejas. Mangsa dibunuh dalam satu serangan hendap pada Julai 2024. Menurut laporan siasatan, Karen dipercayai mengatur pertemuan yang kelihatan seperti perbincangan damai tetapi sebenarnya ia adalah perangkap untuk menghapuskan lelaki itu.
Akhirnya, karier gelap Karen terhenti pada 2 Disember 2024. Pihak berkuasa Colombia berjaya menahannya dalam satu operasi khas di Barrancabermeja. Semasa ditahan, Karen ditemui bersama seorang lelaki yang dikenali sebagai Leopoldo dan seorang remaja bawah umur. Lebih mengejutkan, dia sedang membawa dua laras senjata api iaitu sepucuk revolver dan pistol kaliber 9mm. Senjata itu menjadi bukti utama yang mengukuhkan dakwaan pihak polis bahawa Karen masih aktif menjalankan kegiatan berbahaya sehingga saat terakhir sebelum penangkapannya.

Penahanan Karen dianggap sebagai satu kejayaan besar oleh pihak berkuasa tempatan kerana dia dilabel sebagai pembunuh upahan paling ditakuti di Santander. Polis menyatakan bahawa pengaruh Karen sangat kuat bukan sahaja kerana peranannya dalam kumpulan Los de la M tetapi juga kerana sifatnya yang mampu menanamkan rasa takut dalam kalangan orang awam. Maka dengan tertangkapnya Karen, pihak berkuasa berharap dapat melemahkan jaringan jenayah yang selama ini mencengkam wilayah berkenaan dengan kekerasan dan pemerasan.
Karen menghadapi pelbagai tuduhan serius termasuk pembunuhan terancang, pemilikan senjata api secara haram serta penglibatan dalam organisasi jenayah terancang. Proses perundangan sedang berjalan dan beliau ditempatkan dalam tahanan sementara menunggu perbicaraan penuh.
Catat Ulasan for "Kisah Karen Julieth Ojeda Rodriguez: Pembunuh Upahan Wanita Menakutkan di Colombia"