Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Irma Bule: Penyanyi Dangdut yang Mati Dipatuk Ular Tedung


     Irmawati atau lebih dikenali dengan nama pentasnya Irma Bule merupakan seorang penyanyi dangdut yang berasal dari Karawang, Jawa Barat, Indonesia. Irma bukan sahaja dikenali kerana suara dan persembahannya yang menghiburkan tetapi juga kerana satu kelainan yang membezakannya daripada penyanyi lain di mana dia sering menjadikan ular berbisa sebagai sebahagian daripada pertunjukan pentasnya. Seekor ular yang dililit di leher atau dibawa ke pentas menjadi identiti unik yang membuatkan penonton terpegun. 

     Pada malam 3 April 2016, Irma dijemput untuk membuat persembahan di sebuah majlis perkahwinan di Kampung Dawuan, Kecamatan Lemahabang, Karawang. Acara itu meriah dengan kehadiran penduduk setempat yang ingin menyaksikan persembahan artis dangdut kesayangan mereka. Seperti biasa, pihak pengiring menyediakan seekor ular untuk dipertontonkan bersama Irma di atas pentas. Namun kali ini ular yang digunakan bukan sekadar hiasan, tetapi seekor ular kobra atau tedung yang masih berbisa. Tidak seperti ular jinak atau yang sudah dibuang bisa, ular tersebut masih berpotensi mendatangkan bahaya kepada sesiapa yang mengendalikannya.

     Ketika sedang rancak menghiburkan penonton, Irma secara tidak sengaja terpijak ekor ular tedung itu. Tindakan tersebut mengejutkan ular lalu ia menyerang sebagai bentuk pertahanan diri. Tanpa sempat dielak, ular tersebut mematuk paha Irma. Penonton yang menyaksikan kejadian itu terkejut tetapi sebahagian besar menyangka ia hanyalah sebahagian daripada gimik persembahan. Irma sendiri meskipun sudah digigit tidak terus berhenti menyanyi. Dia cuba menenangkan keadaan dan meneruskan persembahan seolah-olah tiada apa yang berlaku.


     Irma sempat bertahan selama hampir 45 minit selepas digigit. Dia masih mampu menyanyi dan berinteraksi dengan penonton namun perlahan-lahan racun berbisa itu mula menunjukkan kesannya. Kobra atau tedung diketahui menghasilkan racun jenis neurotoxin, iaitu racun yang menyerang sistem saraf hingga menyebabkan kelumpuhan otot, kesukaran bernafas dan akhirnya boleh membawa maut dalam masa singkat jika rawatan tidak segera diberikan. Walaupun ada rakan dan penonton yang menyarankan Irma untuk berhenti dan mendapatkan rawatan perubatan, dia menolak kerana bimbang akan mengecewakan penganjur majlis serta para tetamu. Ada juga yang mendakwa Irma pernah berkata dia sudah biasa digigit ular sebelum ini.

     Beberapa ketika kemudian, tubuh Irma mula menunjukkan tanda-tanda kritikal. Dia kelihatan pucat, berpeluh, dan mula muntah di atas pentas. Saat racun mula menyerang tubuhnya, Irnma tiba-tiba rebah dan mengalami sawan di hadapan penonton. Ketika itulah orang ramai mula panik dan sedar bahawa kejadian itu bukanlah lakonan atau sekadar hiburan. Irma segera dibawa ke hospital terdekat dalam keadaan tidak sedarkan diri. Usaha untuk menyelamatkannya bagaimanapun tidak berhasil. Doktor mengesahkan bahawa Irma meninggal dunia akibat bisa ular kobra yang menyerang sistem saraf dan merosakkan fungsi tubuhnya.

      Jenazah Irma dibawa pulang ke kampung halamannya di Desa Dawuan Timur, Karawang sejurus selepas selesai proses di hospital. Suasana di rumah keluarganya bertukar pilu dengan tangisan ahli keluarga, sanak saudara dan jiran tetangga yang masih terkejut dengan berita mendadak itu. Irma yang masih berusia sekitar 29 tahun ketika itu pergi meninggalkan seorang suami dan tiga orang anak yang masih kecil.


Catat Ulasan for "Kisah Irma Bule: Penyanyi Dangdut yang Mati Dipatuk Ular Tedung"