Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

BEKAS FINALIS MISS UNIVERSE MENINGGAL DUNIA AKIBAT TERLANGGAR RUSA

     RUSIA – Kseniya Sergeyevna Alexandrova, wanita berusia 30 tahun yang juga merupakan seorang model dan bekas finalis pertandingan ratu cantik Miss Universe tahun 2017 dilaporkan meninggal dunia pada 12 Ogos 2025 selepas lebih sebulan bertarung nyawa akibat kecederaan parah yang dialaminya dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan perlanggaran dengan seekor rusa besar. 

     Menurut laporan media tempatan, kejadian itu berlaku pada 5 Julai 2025 di kawasan berhampiran bandar Rzhev, wilayah Tver Oblast, Rusia. Pada hari kejadian, Kseniya sedang dalam perjalanan pulang bersama suaminya dengan menaiki kereta jenis Porsche Panamera. Suaminya yang memandu dilaporkan berada dalam keadaan sedar dan terkawal sehinggalah seekor rusa besar tiba-tiba melompat ke atas jalan. Haiwan liar tersebut terus melanggar cermin hadapan kenderaan dengan impak yang sangat kuat sehingga kaca pecah dan menembusi ruang dalaman kereta.

     Kseniya yang duduk di bahagian penumpang hadapan menerima hentaman paling serius. Dia dilaporkan mengalami trauma otak teruk dan kecederaan dalaman akibat serpihan kaca serta impak daripada tubuh rusa tersebut. Sementara itu, suaminya hanya mengalami cedera ringan. Pasangan itu segera dikejarkan ke hospital namun Kseniya dipindahkan ke Sklifosovsky Research Institute for Emergency Medicine di Moscow kerana kecederaannya terlalu parah dan memerlukan rawatan intensif.

     Sepanjang lebih sebulan selepas kemalangan, Kseniya dirawat rapi oleh pasukan perubatan. Walaupun beberapa prosedur dilakukan termasuk rawatan neurosains untuk merawat kecederaan otak traumatik di mana keadaannya dilaporkan tidak pernah stabil sepenuhnya. Akhirnya, pada 12 Ogos 2025, pihak hospital mengesahkan bahawa Kseniya telah meninggal dunia akibat komplikasi kecederaan yang dialaminya.

    Agensi Kseniya, Modus Vivendis mengeluarkan kenyataan rasmi menyifatkan Kseniya sebagai seorang wanita berbakat, berkarisma dan penuh inspirasi. “Dia bukan sahaja seorang model dan ratu cantik, tetapi juga seorang insan yang berhati mulia serta sentiasa membawa kebaikan kepada orang di sekelilingnya."

     Organisasi Miss Universe turut memberikan penghormatan dengan menyiarkan rakaman kenangan penyertaannya pada tahun 2017 selain menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dan peminat. Mereka menyifatkan keanggunan, kecantikan dan semangat Kseniya sebagai sesuatu yang akan terus dikenang selamanya.

     Kseniya sebelum ini dikenali bukan hanya kerana kejayaan dalam dunia peragaan tetapi juga kerana pencapaiannya dalam bidang akademik. Dia berkelulusan dalam bidang kewangan dari Plekhanov Russian University of Economics pada 2016, melanjutkan pengajian media di High School of Cinema and Television Ostankino pada 2020 dan memperoleh ijazah psikologi dari Moscow Pedagogical State University pada 2022. Dia turut berkhidmat sebagai ahli psikologi dan terapis psikodrama selain aktif dalam dunia penyiaran televisyen. Pemergian Kseniya turut mendapat perhatian kerana berlaku hanya beberapa bulan selepas dia melangsungkan perkahwinan dengan suaminya pada Mac 2025.

Catat Ulasan for "BEKAS FINALIS MISS UNIVERSE MENINGGAL DUNIA AKIBAT TERLANGGAR RUSA"