KRONOLOGI KES KEMATIAN ADIK RAYA YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN

Pada 22 Julai 2025 bertempat di Sukabumi, Jawa Barat, Indonesia, seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang dikenali sebagai Raya telah meninggal dunia dunia akibat infeksi cacing gelang atau askariasis.
Raya lahir dan dibesarkan di Kampung Padangenyang, Desa Cianaga, Kecamatan Kabandungan, Kabupaten Sukabumi. Dia merupakan anak kedua daripada pasangan Udin (32 tahun) dan Endah (38 tahun). Keluarga ini hidup dalam keadaan serba kekurangan, tinggal di rumah panggung yang diperbuat daripada kayu. Keadaan rumah yang sempit, beralaskan tanah serta akses air bersih yang terhad menjadikan persekitaran mereka mudah terdedah kepada penyakit berjangkit. Lebih memburukkan keadaan, kedua-dua ibu bapa Raya mengalami gangguan mental (ODGJ) yang menyebabkan mereka sukar menguruskan kehidupan seharian dan menjaga anak-anak dengan sempurna.
Keadaan kesihatan Raya mula merosot pada 13 Julai 2025. Dia menunjukkan simptom-simptom serius seperti muntah berulang, demam tinggi, badan lemah dan kehilangan selera makan. Ibunya iaitu Endah yang juga menghadapi masalah mental tidak mampu menyediakan penjagaan dan perhatian yang diperlukan. Bapanya, Udin yang bekerja sebagai buruh harian tidak dapat menampung kos rawatan perubatan yang mahal.

Relawan dari Rumah Teduh, sebuah organisasi sosial yang aktif di Sukabumi mengetahui keadaan Raya dan lalu berusaha membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan perubatan. Mereka berdepan pelbagai kesulitan termasuk kekangan kewangan dan birokrasi di pihak berkuasa tempatan. Semasa perjalanan mendapatkan rawatan, keadaan Raya semakin kritikal. Ketika tiba di Instalasi Gawat Darurat (IGD) RSUD R. Syamsudin SH, Kota Sukabumi, doktor mendapati Raya mengalami syok hipovolemik iaitu kekurangan cairan yang serius dan perlu segera mendapatkan rawatan intensif.
Setelah pemeriksaan lanjut, doktor mengesahkan Raya menghidap askariasis, sejenis infeksi yang disebabkan oleh cacing gelang Ascaris lumbricoides. Cacing ini biasanya hidup di dalam tanah dan memasuki tubuh manusia melalui makanan atau minuman yang tercemar dengan telur cacing. Larva cacing akan bergerak melalui saluran pencernaan, paru-paru dan akhirnya menyebar ke seluruh tubuh. Keadaan Raya amat serius kerana jumlah cacing yang terlalu banyak telah menyebar ke organ-organ penting, termasuk paru-paru, hati dan otak. Dalam prosedur rawatan awal, lebih daripada satu kilogram cacing gelang dikeluarkan dari tubuhnya dengan beberapa cacing mencapai panjang sehingga 15 cm.

BbRaya dirawat di ruang rawatan intensif kanak-kanak (PICU). Walaupun diberikan ubat anti-cacing dan rawatan sokongan, cacing yang telah menyerang pelbagai organ menyebabkan tubuhnya tidak mampu pulih. Doktor menyatakan bahawa jumlah cacing yang banyak serta penyebaran ke organ vital menyebabkan rawatan menjadi sangat sukar. Keadaan fizikal Raya semakin merosot dari hari ke hari, tubuhnya lemah dan tenaga hidupnya berkurangan dengan drastik. Selepas sembilan hari perjuangan untuk bertahan, Raya menghembuskan nafas terakhir pada pukul 22 Julai 2025.
Kisah Raya menarik perhatian selepas video yang menunjukkan cacing keluar dari hidungnya menjadi viral di media sosial. Ramai pengguna media sosial melahirkan rasa simpati dan marah terhadap keadaan kesihatan masyarakat pedalaman yang kurang diberi perhatian. Beberapa tokoh masyarakat termasuk Dedi Mulyadi mengulas kejadian ini menyeru pihak berkuasa serta masyarakat untuk meningkatkan perhatian terhadap isu kesihatan, pendidikan dan sanitasi di kawasan terpencil.
Catat Ulasan for "KRONOLOGI KES KEMATIAN ADIK RAYA YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN"