Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH JEREMY EVANS : Lelaki yang Terselamat dari Serangan Ganas Beruang Grizzly


     Pada 24 Ogos 2017, Jeremy Evans iaitu seorang pemburu berusia 39 tahun dari Alberta, Kanada memulakan aktiviti berburu seorang diri di kawasan terpencil pegunungan Alberta Rockies. Jeremy merupakan seorang pemburu berpengalaman. Walaupun dia biasa dengan alam liar, dirinya tidak pernah menyangka bahawa hari itu akan menjadi hari yang hampir meragut nyawanya.

     Semasa melakukan aktiviti memburu itu, Jeremy terserempak dengan seekor anak beruang coklat. Naluri alam liar memberitahunya bahawa ibu beruang itu yakni beruang betina dewasa beremungkinan besar berada di kawasan sekitar untuk melindungi anaknya. Tidak lama kemudian, beruang coklat betina muncul dari semak berdekatan. Serangan berlaku dengan pantas dan ganas. Beruang itu menggigit sebelum mencakar Jeremy, merobek bahagian kiri wajahnya termasuk kulit kepala, telinga dan kumisnya.

     Dalam kekalutan dan kesakitan yang luar biasa, Jeremy cuba melawan dan melarikan diri. Beruang itu menyeretnya beberapa meter hingga menyebabkan luka-luka parah di tubuhnya. Namun serangan itu tidak berterusan tanpa henti. Pada satu masa, beruang tersebut berhenti menyerang kerana mungkin terganggu atau beralih perhatian kepada lingkungan sekitarnya. Dalam tempoh singkat itu, Jeremy menggunakan tenaga terakhirnya untuk bergerak, merangkak dan berpindah ke kawasan lebih selamat.

     Jeremy yang berada dalam keadaan cedera parah dan hampir putus asa menyedari bahawa dirinya mungkin tidak akan selamat. Pada waktu ini, dia sempat mengambil telefon bimbitnya dan menghantar mesej perpisahan kepada isterinya, Joyce. Selain itu, Jeremy juga menulis beberapa perkataan terakhir di atas sekeping kertas kecil yang ada bersamanya dengan tangan yang lemah dan penuh darah. Nota ringkas itu hanyalah ungkapan cinta dan ucapan selamat tinggal kepada keluarga seolah-olah sebagai persediaan jika mesej di telefon tidak sempat dibaca.


     Walaupun hampir putus asa, Jeremy menemui sedikit kekuatan daripada kejadian sederhana iaitu lagu Baby Shark yang bermain dari telefon bimbitnya dan kenangan tentang keluarganya. Ini memberinya semangat untuk terus bertahan hidup. Maka dengan penuh tekad, dia perlahan-lahan merangkak dan berjalan menuruni bukit meskipun setiap langkah menyakitkan kerana luka-lukanya yang teruk.

     Jeremy akhirnya berjaya sampai ke kereta yang diparkir jauh dari lokasi serangan. Walaupun tubuhnya cedera parah dan kehilangan banyak darah, dia memandu sejauh 22 kilometer untuk mendapatkan pertolongan perubatan. Sampai di hospital, doktor mendapati kecederaannya sangat kritikal. Dia menjalani lima pembedahan besar dan 15 prosedur minor untuk membaiki wajahnya, merawat luka parah serta memulihkan fungsi fizikal yang terjejas akibat serangan. Proses pemulihan memakan masa lima minggu termasuk rawatan untuk trauma psikologi dan pemulihan fizikal.

     Selepas sembuh, Jeremy menulis buku berjudul Mauled: Lessons Learned from a Grizzly Bear Attack yang menceritakan setiap detik serangan, perjuangan untuk bertahan hidup dan proses pemulihan yang panjang. Buku ini menekankan kekuatan mental, ketabahan dan sokongan keluarga dalam menghadapi trauma yang hampir meragut nyawa.

     Kini Jeremy Evans aktif sebagai penceramah motivasi di mana dia berkongsi kisahnya untuk menginspirasi orang lain menghadapi cabaran hidup dengan keberanian. Dia juga berusaha mengumpul dana sebanyak $5 juta untuk penyelidikan PTSD, kondisi psikologi yang sering dialami oleh mangsa trauma berat. 

Catat Ulasan for "KISAH JEREMY EVANS : Lelaki yang Terselamat dari Serangan Ganas Beruang Grizzly"