Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH KERSTIN GURTNER YANG MATI AKIBAT DIBIARKAN KESEJUKAN BERSENDIRIAN

      Pada 18 Januari 2025, seorang wanita berusia 33 tahun bernama Kerstin Gurtner telah dibiarkan keseorangan dalam keadaan tenat berhampiran puncak Grossglockner iaitu gunung tertinggi di Austria. Kejadian ini berakhir dengan kematian Gurtner akibat kesejukan melampau. 

      Pada hari kejadian, Kerstin Gurtner dan pasangannya iaitu Thomas Plamberger telah memilih untuk melakukan pendakian di Grossglockner pada musim sejuk, satu tindakan yang amat mencabar walaupun bagi pendaki berpengalaman. Gunung tersebut mempunyai ketinggian melebihi 3700 meter dan terkenal dengan suhu yang boleh menjunam jauh di bawah paras beku, angin yang sangat kuat serta laluan ais yang licin.

      Menurut laporan media Austria, Plamberger jauh lebih berpengalaman dalam pendakian berbanding Gurtner. Wanita itu difahamkan tidak mempunyai banyak pengalaman mendaki di kawasan pergunungan tinggi pada musim sejuk. Keadaan cuaca pada malam kejadian dikatakan semakin buruk di mana angin kuat, kesejukan ekstrem dan jarak penglihatan yang hampir hilang. Walaupun kebiasaannya pendaki akan berhenti di pondok perlindungan gunung apabila cuaca berubah, pasangan ini meneruskan pendakian sehingga lewat malam. Keputusan inilah yang menjadi antara persoalan utama pihak pendakwa dalam siasatan.


      Menjelang kira-kira jam 2 pagi, Gurtner dilaporkan menunjukkan tanda-tanda kelesuan melampau, kekeliruan dan pergerakan yang semakin perlahan akibat kesejukan. Keadaan ini merupakan petanda awal penurunan suhu badan yang boleh membawa maut. Ketika itu mereka berada kurang lebih 150 hingga 160 kaki dari puncak namun jarak tersebut sangat sukar ditempuhi dalam cuaca ekstrem. Pendakwa mendakwa Plamberger telah meninggalkan Gurtner di kawasan lapang yang tidak terlindung, tanpa selimut kecemasan, tanpa beg tidur dan tanpa usaha menarik atau mengheret mangsa ke lokasi yang lebih selamat seperti kawasan berbatu yang boleh mengurangkan tiupan angin. Dia kemudian turun seorang diri untuk mencari bantuan. Namun persoalan besar muncul yakni mengapa Plamberger tidak segera menghubungi penyelamat, dan mengapa masa yang diambil terlalu lama sebelum bantuan diminta?

     Laporan turut menyatakan bahawa kamera peninjau dari kawasan pendakian merakam dua cahaya pada mulanya yang diyakini lampu kepala pasangan. Tidak lama kemudian hanya satu cahaya kelihatan bergerak turun dipercayai lampu milik Plamberger. Gurtner pula kekal kaku di lokasi yang sama.

     Pada awal pagi keesokan harinya, pasukan penyelamat menemui Gurtner dalam keadaan tidak sedarkan diri. Ujian kemudian mengesahkan bahawa mangsa meninggal dunia akibat penurunan suhu badan secara mendadak. Pasukan penyelamat dan pakar gunung sependapat bahawa seseorang yang mengalami keadaan seperti itu tidak boleh ditinggalkan walaupun untuk seketika kerana berisiko tinggi mengalami kegagalan fungsi organ pada masa yang singkat.

     Lokasi mayat menunjukkan Gurtner tidak bergerak jauh dari tempat dipercayai ditinggalkan yang menandakannya tidak lagi mampu bergerak atau melindungi diri. Selepas kejadian tersebut, pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci. Pihak pendakwa menegaskan bahawa sebagai pendaki yang lebih berpengalaman, Plamberger mempunyai tanggungjawab sepenuhnya terhadap keselamatan pasangan terutama apabila mendaki dalam keadaan berbahaya. Mereka berpendapat bahawa tindakan meninggalkan Gurtner bukan sahaja tidak wajar malah melampaui batas munasabah seorang pendaki berpengalaman. Selepas hampir 11 bulan, pejabat pendakwa di Innsbruck mengumumkan bahawa mereka menuduh Plamberger atas kesalahan kematian kerana cuai akibat kecuaian yang serius.


     Jika disabitkan kesalahan, Plamberger boleh dikenakan hukuman sehingga tiga tahun penjara mengikut undang-undang Austria yang berkaitan dengan kematian berpunca daripada kecuaian. Peguam bela Plamberger pula menegaskan bahawa kejadian itu adalah kemalangan yang tidak dapat dielakkan dan tindakan turun untuk mencari bantuan adalah keputusan terbaik semasa kejadian. Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa Plamberger mungkin bertindak dalam tekanan ekstrem dan cuba menyelamatkan kedua-duanya dengan turun mencari bantuan. Hingga setakat laporan terakhir, kes ini dijadualkan dibicarakan pada awal tahun 2026. Tarikh rasmi masih menunggu pengesahan mahkamah namun dokumen pertuduhan telah lengkap.


Catat Ulasan for "KISAH KERSTIN GURTNER YANG MATI AKIBAT DIBIARKAN KESEJUKAN BERSENDIRIAN "