Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH KEJATUHAN EDISON CHEN

     Edison Chen ialah seorang selebriti kelahiran Vancouver, Kanada yang membina kerjayanya di Hong Kong sebagai pelakon, penyanyi, model dan ikon budaya pop. Dia lahir pada 7 Oktober 1980 dan membesar dalam keluarga berketurunan Cina-Kanada. Sejak usia remaja, Edison mula mendapat perhatian kerana penampilannya yang tampan, imej budak jahat serta bakat semula jadinya dalam muzik hip hop dan lakonan. Pada akhir 1990-an dan awal 2000-an, Edison melonjak naik sebagai antara wajah paling popular dalam industri hiburan Hong Kong.

     Kariernya berkembang pesat setelah membintangi beberapa filem terkenal seperti Infernal Affairs, Initial D, Dog Bite Dog, dan Gen-Y Cops. Selain digilai peminat wanita, Edison dianggap sebagai generasi muda Asia yang moden dan berani. Dalam industri muzik pula, Edison aktif menghasilkan lagu beraliran hip hop dan R&B sekali gus menjadikannya antara artis awal yang membawa pengaruh budaya jalanan ke Hong Kong. Selain itu, dia turut mengembangkan empayar fesyen melalui jenama streetwear CLOT yang mendapat sambutan luas sehingga dikenali di peringkat antarabangsa.


     Walau bagaimanapun, kegemilangan itu berakhir secara mendadak apabila Edison terpalit dalam satu skandal yang dianggap antara paling besar dan paling memalukan Skandal tersebut yang tercetus pada tahun 2008 bukan sahaja meruntuhkan kerjayanya tetapi turut melibatkan beberapa selebriti wanita terkemuka Hong Kong hingga menyebabkan reputasi mereka terjejas teruk dalam sekelip mata.

     Benih kontroversi ini bermula lebih awal daripada yang disangka. Edison Chen pernah menyimpan ratusan foto peribadi bersifat intim bersama beberapa wanita terkenal yang pernah rapat dengannya sekitar tahun 2003 hingga 2006. Foto-foto ini disimpan dalam komputer riba peribadinya dan tidak pernah dimaksudkan untuk dilihat oleh sesiapa. Namun pada penghujung 2007, komputer riba itu dibawa ke sebuah kedai komputer untuk dibaiki. Di situlah kejadian bermula. Seorang pekerja kedai komputer tersebut menemui foto-foto berkenaan, menyalinnya secara haram sebelum menyebarkannya kepada pihak lain. Perkara ini pada mulanya tersebar dalam kumpulan kecil tetapi pada awal tahun 2008, foto-foto tersebut mula tular secara besar-besaran di internet.


     Apa yang menjadikan skandal ini lebih besar ialah jumlah foto yang bocor yakni dilaporkan lebih seribu kepingserta identiti wanita terkenal yang terlibat. Ramai daripada mereka ialah artis teratas Hong Kong yang selama ini menjaga imej bersih. Kebocoran foto itu bukan sahaja memusnahkan privasi Edison tetapi juga menyeret ramai wanita ke dalam kemurungan, kecaman peminat dan kejatuhan kerjaya.

     Ketika foto-foto tersebut mula tersebar di internet dan laman perkongsian fail, industri hiburan Hong Kong gempar. Media menggambarkan skandal itu sebagai ribut besar yang menggegarkan Hong Kong dan seluruh Asia. Lebih memburukkan keadaan, sesetengah pihak menuding jari kepada wanita-wanita terlibat walaupun hakikatnya mereka adalah mangsa kebocoran privasi. 

     Menyedari bahawa skandal semakin besar dan tidak terkawal, Edison tampil mengadakan sidang media terbuka. Dalam kenyataannya, Edison memohon maaf kepada peminat, wanita yang terlibat serta menyatakan rasa kesal mendalam atas kejadian yang berlaku. Dia menegaskan bahawa foto-foto itu adalah urusan peribadinya yang sepatutnya tidak disebarkan namun tetap bertanggungjawab atas kesan yang timbul.

     Dalam sidang media tersebut, Edison juga mengumumkan keputusan mengejutkan di mana dia membuat pengakuan akan menjauhkan diri tanpa tempoh tertentu daripada dunia hiburan. Ini bermakna Edison mengundurkan diri sepenuhnya daripada lakonan dan nyanyian, satu tindakan yang jarang berlaku bagi seorang selebriti sepopularnya.


     Polis Hong Kong menjalankan siasatan besar-besaran. Lebih 1300 foto dirampas dan beberapa individu ditangkap kerana menyebarkan imej tersebut secara haram. Salah seorang juruteknik komputer yang menyalin imej itu akhirnya didakwa di mahkamah.

     Walaupun kerjayanya di layar perak tidak pernah pulih sepenuhnya, Edison tidak hilang begitu sahaja. Dia menumpukan perhatian kepada dunia perniagaan khususnya jenama pakaian CLOT yang berkembang pesat hingga mendapat tempat dalam pasaran global. Edison muncul sesekali dalam acara fesyen antarabangsa dan kehidupan peribadinya lebih tertutup berbanding dahulu. Dia telah pun berkahwin dengan model China, Qin Shupei dan kini lebih aktif sebagai ahli perniagaan serta personaliti media sosial. 

Catat Ulasan for "KISAH KEJATUHAN EDISON CHEN "