KISAH PEMBUNUHAN KEJAM KRISTINA JOKSIMOVIC

Kristina Joksimovic pernah dikenali sebagai seorang wanita anggun, berkarisma dan berjiwa penyayang. Sebagai finalis Miss Switzerland, dia menjadi inspirasi dalam dunia kecantikan, dan selepas itu menumpukan perhatian sebagai jurulatih peragaan yang membimbing ramai wanita muda. Selepas meninggalkan pentas ratu cantik, Kristina memilih laluan hidup yang lebih tenang iaitu menjadi jurulatih catwalk serta membesarkan dua orang anak. Dia digambarkan sebagai ibu yang penuh kasih sayang, sentiasa ceria dan tidak pernah menunjukkan tanda-tanda tekanan dalam rumah tangganya. Ramai menyangka keluarga kecil ini hidup bahagia tanpa sebarang masalah besar.
Cuma seperti yang sering berlaku dalam jenayah rumah tangga, apa yang tersurat tidak semestinya menyamai keadaan sebenar. Segala-galanya berubah pada awal Februari 2024. Kristina dilaporkan hilang oleh keluarganya selepas beberapa hari tidak dapat dihubungi. Suaminya yang dirujuk sebagai Thomas oleh media Switzerland kerana undang-undang privasi negara tersebut, mendakwa bahawa dia tidak tahu ke mana isterinya pergi. Namun sikapnya yang tenang dan tidak membantu dalam pencarian menyebabkan keluarga mangsa berasa pelik. Beberapa hari kemudian, bapanya sendiri berkunjung ke rumah Kristina di Binningen, Basel dan inilah titik bermulanya pendedahan mengerikan.

Ketika polis menjalankan pemeriksaan terperinci, mereka menemui beberapa bahagian tubuh manusia dalam keadaan amat memilukan. Kepala Kristina ditemui di dalam beg plastik hitam. Bahagian tubuh lain pula ditemui dalam keadaan dipotong menggunakan peralatan seperti gergaji elektrik dan gunting taman. Selain itu, pihak forensik turut menemui kesan penggunaan mesin kisar yang dipercayai digunakan untuk menghancurkan sebahagian anggota tubuh mangsa. Terdapat juga kesan bahan kimia di beberapa bahagian rumah, menunjukkan usaha suspek untuk melupuskan bukti jenayah.
Hasil bedah siasat kemudian mengesahkan bahawa punca kematian Kristina adalah cekikan. Tindakan memotong tubuh dilakukan selepas dia meninggal dunia. Ini membuktikan bahawa suspek menggunakan masa yang panjang untuk menghapuskan bukti setelah membunuh isterinya. Maklumat ini sekaligus menolak andaian awal bahawa kematian berlaku akibat kecederaan dari senjata atau pergelutan fizikal..

Satu lagi aspek yang menimbulkan kemarahan ramai pihak ialah pendedahan laporan pendakwa raya. Menerusi rekod digital telefon suspek, penyiasat mendapati bahawa beberapa video YouTube telah dimainkan sepanjang tempoh suspek melakukan perbuatan memotong tubuh isterinya. Walaupun kandungan video itu tidak didedahkan, maklumat tersebut membayangkan bahawa suspek langsung tidak menunjukkan rasa bersalah atau gentar ketika melakukan tindakan tersebut. Pihak pendakwa raya menyifatkan perbuatan itu sebagai antara jenayah paling mengganggu ketenteraman awam dalam sejarah Switzerland.
Selepas semua bukti dikumpulkan, suami Kristina ditahan dan didakwa atas beberapa pertuduhan berat termasuk membunuh, memotong serta melupuskan tubuh mangsa, melakukan perbuatan yang mengganggu ketenteraman awam dan cubaan menghapuskan bukti jenayah. Identiti penuh suspek tidak didedahkan kepada umum, mengikut undang-undang Switzerland tetapi bukti kukuh menjadikan beliau terus ditahan tanpa ikat jamin.

Kes Kristina kini sudah memasuki fasa pendakwaan rasmi di mahkamah Switzerland. Dakwaan ke atas Thomas difailkan pada 10 Disember 2025 di Mahkamah Jenayah Basel-Landschaft. Suspek masih berada dalam tahanan dan tidak dibenarkan ikat jamin. Tarikh perbicaraan penuh belum diumumkan namun pihak pendakwaan telah menyerahkan segala bukti termasuk hasil forensik, rakaman telefon dan dokumen bedah siasat. Hingga setakat ini, tiada hukuman dijatuhkan lagi kerana proses mahkamah masih berjalan. Switzerland terkenal dengan proses kehakiman yang teliti. Kes seberat ini dijangka mengambil masa panjang sebelum diputuskan.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM KRISTINA JOKSIMOVIC "