Kisah Misty Loman: Dari Kehilangan, Ketagihan, Pemulihan dan Harapan

Misty Loman ialah seorang wanita dari Bowling Green, Kentucky, Amerika Syarikat yang menjadi perhatian ramai selepas gambarnya ketika ditahan pihak berkuasa tersebar luas di internet. Gambar tersebut pada asalnya dikongsikan oleh seorang pegawai keselamatan di Wisconsin sebagai peringatan tentang bahaya penyalahgunaan dadah. Walau bagaimanapun, kebanyakan orang tidak mengetahui kisah sebenar di sebalik wajahnya yang berubah dengan begitu ketara lalu membuat pelbagai andaian dan kecaman tanpa memahami keadaan hidup yang dilaluinya.
Kisah hidup Misty dipenuhi tragedi, kesakitan serta tekanan emosi yang berat. Pada awalnya, dia menjalani kehidupan biasa sebagai seorang isteri dan ibu. Namun kehidupan Mistyberubah sepenuhnya apabila dia mengalami kehilangan tiga orang anaknya dalam tempoh yang singkat. Peristiwa paling menyayat hati ialah ketika dia mengandung anak kembar di mana salah seorang meninggal dunia di dalam kandungan manakala seorang lagi hanya sempat hidup selama 28 hari. Kehilangan berturut-turut ini memberi kesan mendalam dan amat mengganggu ketenangan jiwanya.
Bukan sahaja diuji dengan kehilangan anak, Misty turut disahkan menghidap pelbagai penyakit kronik yang jarang berlaku. Antara penyakit yang dialaminya termasuk gangguan autoimun yang menyebabkan lapisan lemak di bawah kulit merosot, pengerasan kulit serta tisu badan dan kanser tulang. Penyakit-penyakit ini menjadikan kulitnya semakin menipis dan mengecut, rambutnya gugur serta keseluruhan rupa fizikalnya berubah. Rawatan kimoterapi bagi kanser yang ditanggungnya pula mengakibatkan tubuhnya semakin susut dan lemah hingga menjadikan keadaannya lebih parah.

Disebabkan tekanan hidup yang amat berat, Misty akhirnya terjebak dengan penggunaan dadah jenis kuat serta minuman memabukkan sebagai cara untuk meredakan kesakitan jiwa yang membelenggunya. Dia sendiri mengakui bahawa penggunaan dadah tersebut hanya memburukkan lagi kesihatannya namun ia bukanlah punca tunggal perubahan fizikalnya. Penyakit kronik yang dideritainya turut memainkan peranan besar dalam merosakkan tubuhnya.
Ketika berada pada kemuncak kejatuhannya, Misty kerap keluar masuk penjara dianggarkan lebih daripada lima belas kali akibat kesalahan berkaitan dadah. Pada waktu itu, dia kehilangan rumah, kenderaan dan hubungannya dengan keluarga turut renggang. Misty berada dalam keadaan mental yang rapuh, sering merasa hancur dan tidak berdaya. Dia sendiri pernah mengaku bahawa pada satu ketika berasa tidak mahu meneruskan hidup dan hilang sepenuhnya harapan untuk bangkit semula.

Pada tahun 2019 yakni ketika Misty ditahan kerana memiliki bahan terlarang, gambarnya sekali lagi dirakam pihak berkuasa. Gambar itu kemudian dikongsi oleh pegawai keselamatan dan akhirnya menjadi viral di internet. Ramai mengecam bentuk fizikalnya tanpa menyedari bahawa perubahan pada wajah dan tubuhnya bukan hanya disebabkan dadah tetapi juga akibat penyakit yang dihidapinya serta trauma hidup yang bertahun-tahun membebani dirinya.
Walaupun pada awalnya gambar Misty tersebar tanpa belas kasihan, semakin ramai orang mula memahami kisahnya dan menunjukkan simpati. Keluarga Misty terutama dua orang anak lelakinya iaitu Corey dan Jacob berusaha sedaya upaya membantunya mendapatkan rawatan pemulihan jangka panjang di sebuah pusat rawatan di kampung halamannya. Di sana, dia memulakan proses membina semula kehidupannya.
Sepanjang tempoh pemulihan, Misty kembali menemukan keyakinan diri, kekuatan rohani serta makna kehidupan. Dia menegaskan bahawa doa dan kepercayaan kepada Tuhan menjadi kekuatan terbesar yang membantunya kembali bangkit. Menjelang akhir tahun 2020 hingga 2021, Misty dilaporkan berjaya bebas daripada penggunaan dadah selama lebih setahun, kembali menjalinkan hubungan yang baik dengan keluarganya dan aktif berkongsi pengalaman hidupnya untuk memberi kekuatan kepada orang lain yang sedang berdepan ketagihan dan ujian hidup.
Catat Ulasan for "Kisah Misty Loman: Dari Kehilangan, Ketagihan, Pemulihan dan Harapan"