Disangkakan Tumor Berbahaya, Wanita Ini Rupanya Hamil Tanpa Disedari

AMERIKA SYARIKAT — Satu kes perubatan yang amat jarang dilaporkan berlaku di Bakersfield, California apabila seorang wanita bernama Suze Lopez, 41 tahun disahkan melahirkan seorang bayi lelaki yang sihat selepas doktor mendapati kehamilannya tersembunyi di sebalik ketumbuhan besar seberat hampir 10 kilogram yang selama ini disangka sebagai tumor.
Menurut laporan media, Suze telah bertahun-tahun mengalami masalah kesihatan termasuk perut membesar secara tidak normal, sakit pelvis serta haid tidak teratur. Keadaan tersebut mendorong Suze mendapatkan rawatan perubatan dan hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat ketumbuhan besar pada bahagian abdomen yang dipercayai sebagai tumor atau sista bersaiz luar biasa. Doktor kemudian menjadualkan pembedahan untuk membuang ketumbuhan tersebut bagi mengelakkan komplikasi lebih serius.

Namun sebelum pembedahan dilakukan, pihak hospital menjalankan ujian kehamilan rutin yakni satu prosedur standard sebelum sebarang pembedahan besar. Keputusan ujian itu mengejutkan pasukan perubatan apabila ia menunjukkan Suze sebenarnya hamil walaupun dia sendiri tidak menyedari kehamilan tersebut. Keadaan ini dianggap ganjil memandangkan usia kandungan disyaki sudah lanjut sedangkan simptom kehamilan langsung tidak jelas dan selama ini disangka berpunca daripada tumor.
Pemeriksaan lanjut menggunakan imbasan perubatan mendedahkan satu penemuan yang hampir tidak pernah berlaku di mana rahim Suze didapati kosong manakala janin berkembang di luar rahim di dalam rongga abdomen berhampiran organ dalaman seperti hati. Lebih mengejutkan, janin tersebut dilindungi secara tidak langsung oleh ketumbuhan besar itu seolah-olah tersembunyi di belakang tumor. Keadaan ini dikenali sebagai kehamilan ektopik abdomen, satu bentuk kehamilan yang sangat jarang berlaku dan biasanya berisiko tinggi kepada nyawa ibu dan bayi.

Pada hari pembedahan, pasukan perubatan yang terdiri daripada hampir 30 orang pakar daripada pelbagai bidang terlibat dalam prosedur berisiko tinggi itu. Ketumbuhan yang disangka tumor terlebih dahulu dikeluarkan dan ditimbang dengan berat dianggarkan sekitar 22 paun atau lebih 10 kilogram. Selepas itu, doktor berjaya mengeluarkan seorang bayi lelaki yang hampir cukup bulan, hidup dan dalam keadaan stabil. Bayi tersebut kemudian dinamakan Ryu Lopez.
Walaupun pembedahan berjalan lancar, Suze dilaporkan mengalami pendarahan teruk selepas kelahiran bayi akibat komplikasi kehamilan luar rahim. Walau bagaimanapun, tindakan pantas pasukan perubatan berjaya menyelamatkan nyawanya. Dia ditempatkan di unit rawatan rapi untuk pemantauan lanjut sebelum disahkan stabil. Bayi Ryu pula tidak menunjukkan sebarang kecacatan serius dan dipantau rapi oleh pakar pediatrik.
Pakar perubatan menyifatkan kes ini sebagai amat luar biasa dan hampir mustahil memandangkan kebanyakan kehamilan ektopik tidak mampu bertahan lama dan lazimnya berakhir pada peringkat awal kandungan. Kehamilan ektopik abdomen yang mampu berkembang sehingga hampir cukup bulan dan menghasilkan kelahiran bayi hidup adalah fenomena yang sangat jarang dilaporkan di dunia.
Catat Ulasan for "Disangkakan Tumor Berbahaya, Wanita Ini Rupanya Hamil Tanpa Disedari"