Siri Televisyen Hostel Arahan Eli Roth Kini Dalam Pembangunan di Peacock

Laporan rasmi mengesahkan bahawa francais filem seram terkenal Hostel bakal diangkat semula ke layar kecil dalam bentuk siri televisyen. Projek ini sedang dibangunkan oleh platform penstriman Peacock, milik NBCUniversal dan dijanjikan sebagai satu bentuk penafsiran moden yang lebih mendalam serta berbentuk thriller berlapis yakni berbeza daripada format asal filem yang menekankan elemen gore semata-mata.
Nama besar dalam dunia perfileman seram, Eli Roth yang sebelum ini menulis dan mengarahkan filem Hostel (2005) dan sekuelnya kembali memimpin projek ini. Roth bukan sahaja bertindak sebagai penulis malah turut mengarahkan dan menjadi penerbit eksekutif sekali gus memastikan kesinambungan visi asal francais tersebut dapat dikekalkan. Dia turut bekerjasama dengan penerbit asal iaitu Chris Briggs dan Mike Fleiss yang sebelum ini terlibat dalam trilogi filem berkenaan.

Antara perkembangan yang menarik perhatian ialah penglibatan pelakon Hollywood berprofil tinggi, Paul Giamatti yang baru-baru ini menerima pencalonan Oscar melalui lakonannya dalam The Holdovers. Walaupun watak yang bakal dibawakan oleh Giamatti masih dirahsiakan, pemilihannya dilihat mampu memberikan dimensi baharu kepada siri ini sekali gus menjadikannya lebih dramatik.
Buat masa ini, butiran mengenai jalan cerita masih dirahsiakan. Namun laporan awal menyatakan bahawa siri ini mungkin akan mengembangkan fokus kepada organisasi rahsia yang dikenali sebagai Elite Hunting Club iaitu kumpulan elit kaya yang membayar untuk menyeksa dan membunuh pelancong asing. Jika benar, siri televisyen ini dijangka akan menyingkap asal-usul organisasi tersebut, modus operandi mereka serta jaringan kuasa yang membolehkan kegiatan itu berjalan tanpa terhidu pihak berkuasa.
Francais Hostel mula mencetuskan fenomena pada tahun 2005 apabila filem pertamanya mencatat kejayaan besar di box office meskipun dikritik hebat kerana tahap keganasan dan adegan ngeri yang keterlaluan. Filem tersebut sering dikaitkan dengan subgenre torture porn bersama karya lain seperti Saw. Walau bagaimanapun, penerbitan siri televisyen ini dilihat sebagai peluang untuk menstruktur semula francais itu kepada naratif yang lebih luas dengan penekanan terhadap pembangunan watak serta konflik psikologi selain masih mengekalkan identiti seram ekstrem yang sinonim dengannya.

Setakat ini, tarikh tayangan rasmi masih belum diumumkan. Cuma memandangkan projek ini masih berada pada peringkat awal pembangunan, ramai pemerhati menjangkakan ia mungkin hanya akan menemui penonton pada tahun 2025 atau lebih lewat. Pengumuman penglibatan Eli Roth dan Paul Giamatti bagaimanapun sudah cukup untuk mencetuskan keterujaan dalam kalangan peminat filem seram khususnya mereka yang mengikuti francais Hostel sejak hampir dua dekad lalu.
Maka dengan gabungan pengarah asal, penerbit berpengalaman serta pelakon bertaraf Oscar, siri televisyen Hostel dijangka menjadi salah satu karya seram paling dinanti dalam dunia penstriman. Sama ada ia akan mengulangi kejayaan besar filem terdahulu atau membuka lembaran baharu yang lebih segar, hanya masa akan menentukan. Perkara paling jelas ialah Hostel kini bersedia untuk menakutkan penonton sekali lagi dalam bentuk yang lebih berani dan moden.
Catat Ulasan for "Siri Televisyen Hostel Arahan Eli Roth Kini Dalam Pembangunan di Peacock"