Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Hakim Terkenal Dunia, Frank Caprio Meninggal Dunia pada Usia 88 Tahun

     PROVIDENCE, RHODE ISLAND – Bekas hakim terkenal Amerika Syarikat iaitu Frank Caprio meninggal dunia pada usia 88 tahun akibat komplikasi kanser pankreas. Berita duka itu disahkan oleh pihak keluarga melalui satu kenyataan rasmi di laman Instagram beliau. 

     Caprio mula mengumumkan tentang penyakitnya pada Disember 2023 apabila dia mendedahkan kepada umum bahawa dirinya disahkan menghidap kanser pankreas tahap serius. Sejak itu, dia menjalani rawatan intensif dan sering berkongsi perkembangan kesihatannya dengan umum. Walaupun berdepan kesakitan yang hebat, Caprio tetap menunjukkan semangat juang dan ketabahan selain menerima sokongan padu daripada peminat di seluruh dunia yang menghargai sikap belas kasihannya sepanjang bergelar hakim.

     Sepanjang kerjayanya, nama Frank Caprio melonjak ke persada dunia melalui rancangan televisyen realiti Caught in Providence yang disiarkan antara tahun 2018 hingga 2020. Dalam rancangan tersebut, Caprio sering mempamerkan sisi berbeza dunia kehakiman iaitu dengan pendekatan penuh empati dan keprihatinan terhadap masyarakat. Dia mendapat perhatian apabila pelbagai klip perbicaraan yang menampilkan caranya menilai kes dengan adil namun penuh perikemanusiaan tular di media sosial. Gaya penghakiman yang sederhana tetapi menyentuh hati menyebabkannya mendapat gelaran sebagai Hakim Paling Baik di Dunia.

     Kepimpinan negeri Rhode Island turut memberikan penghormatan terakhir kepadanya. Gabenor Dan McKee dalam satu kenyataan menyifatkan Caprio sebagai seorang permata berharga negeri yang telah mengubah persepsi orang ramai terhadap sistem perundangan. Sebagai tanda penghormatan, bendera negeri dikibarkan separuh tiang. "Hakim Caprio bukan sahaja seorang pengamal undang-undang tetapi dia adalah lambang nilai murni dan kemanusiaan. Dia meletakkan hati dalam setiap keputusan yang dibuat,” kata McKee.

     Sifat rendah diri serta kebaikan Caprio membuatkan dirinya dicintai ramai. Walaupun dikenali melalui televisyen, pengaruh Caprio jauh melangkaui layar kaca kerana pendekatannya yang penuh belas kasihan telah memberikan inspirasi kepada jutaan orang di seluruh dunia. Pemergian Frank Caprio meninggalkan satu legasi besar dalam bidang kehakiman dan media.

Catat Ulasan for "Hakim Terkenal Dunia, Frank Caprio Meninggal Dunia pada Usia 88 Tahun"