Brooke Hogan Dakwa Rakaman Polis Mampu Ubah Naratif Kematian Hulk Hogan

AMERIKA SYARIKAT – Dunia hiburan dan sukan antarabangsa telah dikejutkan dengan berita kematian legenda gusti WWE, Hulk Hogan pada 24 Julai lalu. Namun perkembangan terbaharu menambahkan lagi tanda tanya apabila anak sulungnya iaitu Brooke Hogan tampil membuat kenyataan bahawa rakaman kamera badan polis serta panggilan kecemasan 911 pada hari kejadian dipercayai mampu mengubah sepenuhnya naratif mengenai punca sebenar kematian ayahnya.
Menurut laporan media, Brooke mendedahkan bahawa beberapa pihak profesional yang berada di lokasi termasuk anggota polis dan petugas perubatan telah menghubunginya secara peribadi dan menasihatinya untuk mendapatkan rakaman berkenaan. Mereka mendakwa rakaman itu mengandungi butiran penting yang tidak pernah didedahkan kepada umum. Malah ada yang sanggup mempertaruhkan kerjaya demi memastikan maklumat itu sampai kepada pihak keluarga.
Hulk Hogan atau nama sebenarnya Terry Gene Bollea disahkan meninggal dunia pada usia 71 tahun akibat serangan jantung akut. Laporan rasmi perubatan turut menyebut dia menghidap beberapa penyakit kronik seperti leukemia limfositik kronik serta masalah fibrilasi atrium. Walaupun laporan awal menyatakan kematian berpunca daripada faktor kesihatan, pihak berkuasa masih meneruskan siasatan kerana wujud beberapa keadaan luar jangka yang menimbulkan persoalan.
Dalam satu hantaran di media sosial, Brooke menegaskan dia tidak mempunyai kuasa undang-undang terhadap pengurusan kes atau harta peninggalan bapanya kerana hak tersebut kini dipegang oleh balu Hulk Hogan, Sky Daily. Brooke juga sebelum ini mendedahkan bahawa dirinya menarik diri daripada wasiat keluarga dan tidak menghadiri majlis pengebumian. Walau bagaimanapun, dia tetap lantang bersuara menuntut ketelusan dan keadilan terhadap apa yang berlaku.

Rakaman yang dimaksudkan kini tidak boleh diakses secara umum kerana masih berada di bawah siasatan rasmi polis Clearwater. Permohonan melalui Akta Kebebasan Maklumat (Freedom of Information Act) juga ditolak atas alasan kes masih berjalan. Brooke bagaimanapun menyatakan kesediaannya untuk membiayai proses bedah siasat tambahan sekiranya perlu selain menegaskan dia hanya mahukan jawapan yang jelas bagi merungkai segala spekulasi.
Lebih menghangatkan keadaan, laporan daripada beberapa media hiburan menyebut kemungkinan berlaku kecuaian perubatan sebelum kematian. Seorang pakar terapi pekerjaan mendakwa bahawa prosedur pembedahan yang dijalani Hulk Hogan tidak lama sebelum kematiannya mungkin telah menjejaskan saraf frenik iaitu saraf penting yang mengawal fungsi pernafasan. Dakwaan ini sekali gus menimbulkan persoalan sama ada punca sebenar kematian hanya disebabkan serangan jantung semata-mata atau turut melibatkan komplikasi rawatan perubatan.
Hingga setakat ini, pihak berkuasa menegaskan tiada unsur jenayah dikesan dalam kes tersebut. Namun siasatan masih diteruskan berikutan desakan keluarga serta tekanan daripada masyarakat yang mahukan penjelasan telus. Pihak polis turut mengesahkan bahawa hasil siasatan penuh hanya akan diumumkan setelah semua bukti termasuk rakaman kamera badan dan panggilan kecemasan dianalisis sepenuhnya.
Catat Ulasan for "Brooke Hogan Dakwa Rakaman Polis Mampu Ubah Naratif Kematian Hulk Hogan"