Kes Charles E. Peck: Misteri Panggilan Telefon Selepas Kematian

Pada petang 12 September 2008, Amerika Syarikat dikejutkan dengan satu kemalangan kereta api yang meragut puluhan nyawa di kawasan Chatsworth, Los Angeles, California. Kemalangan itu melibatkan Metrolink Train 111, sebuah tren penumpang yang sedang dalam perjalanan dari Union Station, Los Angeles menuju ke Moorpark dan sebuah tren kargo milik Union Pacific Railroad. Perlanggaran secara berdepan antara kedua-dua tren itu mengakibatkan 25 orang maut dan lebih 130 penumpang cedera sekali gus menjadikannya antara nahas kereta api paling buruk dalam sejarah negeri California.
Antara mangsa yang terkorban ialah Charles E. Peck, seorang lelaki berusia 49 tahun yang berasal dari Salt Lake City, Utah. Dia bekerja sebagai kakitangan Delta Air Lines di Lapangan Terbang Antarabangsa Salt Lake City. Pada hari kejadian, Charles menaiki tren berkenaan menuju ke California untuk menghadiri temuduga kerja di Lapangan Terbang Van Nuys. Dia ingin berpindah ke Los Angeles bagi memulakan kehidupan baharu bersama tunangnya iaitu Andrea Katz yang menetap di sana. Walau bagaimanapun, hasrat itu tidak pernah kesampaian.

Menurut laporan penyiasatan rasmi daripada National Transportation Safety Board (NTSB), kemalangan itu berlaku pada sekitar jam 4:22 petang waktu tempatan. Pemandu Metrolink ketika itu iaitu Robert Sanchez disahkan gagal mematuhi isyarat merah kerana didakwa sedang menaip mesej teks di telefon bimbit beberapa saat sebelum perlanggaran berlaku. Tindakan itu menyebabkan tren penumpang yang membawa lebih 220 orang bertembung secara terus dengan tren kargo yang datang dari arah bertentangan pada kelajuan hampir 70 kilometer sejam.
Kesan pertembungan tersebut amat dahsyat. Beberapa gerabak depan remuk sepenuhnya. Sebahagian besar penumpang terperangkap di dalam timbunan logam, kaca dan serpihan. Pasukan penyelamat terdiri daripada bomba, polis dan paramedik segera dikerahkan ke lokasi kejadian. Namun keadaan lokasi yang sempit dan struktur tren yang musnah menyukarkan usaha mencari serta menyelamat.
Beberapa jam selepas berita nahas disiarkan, keluarga dan tunang Charles di Utah dan California mula berasa bimbang kerana tidak menerima sebarang khabar daripadanya. Namun sekitar malam hari yang sama, sesuatu yang ganjil mula berlaku. Ahli keluarga Charles termasuk tunangnya Andrea Katz, ibunya, anak lelakinya serta beberapa adik-beradiknya mula menerima panggilan daripada nombor telefon bimbit milik Charles. Dalam tempoh kira-kira 12 jam selepas kemalangan, keluarga mendakwa menerima lebih daripada 35 panggilan daripada nombor yang sama.

Apabila panggilan dijawab, tiada suara di hujung talian. Apa yang kedengaran hanyalah heningan sunyi yang kadang-kadang diselangi bunyi statik halus. Setiap kali mereka cuba menghubungi semula, panggilan tersebut bagaimanapun hanya masuk ke peti mel suara. Panggilan itu datang secara rawak dengan ada yang diterima pada waktu malam dan ada juga pada awal pagi keesokan harinya. Bagi keluarga yang sedang cemas menunggu berita, deretan panggilan tersebut memberi harapan besar bahawa Charles masih hidup dan sedang cuba meminta pertolongan. Mereka segera memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa yang sedang menjalankan misi mencari dan menyelamat di lokasi kejadian.
Berdasarkan maklumat daripada keluarga, pasukan penyelamat berusaha menjejak kedudukan isyarat telefon bimbit Charles bagi membantu pencarian. Harapan untuk menemuinya hidup meningkat apabila panggilan-panggilan itu terus diterima sehingga keesokan paginya. Namun selepas lebih 12 jam operasi berterusan, pasukan penyelamat akhirnya menemui mayat Charles E. Peck di dalam serpihan gerabak yang paling teruk rosak. Menurut laporan forensik rasmi, pemeriksaan mendapati Charles meninggal dunia sejurus perlanggaran berlaku akibat kecederaan parah di kepala dan dada. Berdasarkan masa kematian yang dianggarkan, dia tidak mungkin masih hidup ketika panggilan telefon itu dibuat. Telefon bimbitnya turut ditemui berdekatan dengan tubuhnya dalam keadaan rosak teruk akibat hentakan tetapi masih dikenalpasti sebagai miliknya.

Pihak penyiasat telekomunikasi dan forensik menjelaskan bahawa tiada bukti menunjukkan panggilan tersebut dibuat secara sedar oleh manusia. Mereka percaya bahawa kerosakan sistem dalaman telefon bimbit akibat impak kuat, tekanan haba dan gangguan rangkaian boleh menyebabkan telefon mengeluarkan isyarat automatik yang kelihatan seperti panggilan keluar. Selain itu, sistem menara telekomunikasi di kawasan nahas dilaporkan mengalami gangguan isyarat akibat peningkatan mendadak trafik komunikasi selepas kemalangan yang berpotensi menyebabkan panggilan tertunda atau berulang secara automatik tanpa tindakan pengguna. Cumanya banyak pihak termasuk ahli keluarga masih sukar menerima penjelasan teknikal tersebut. Mereka melihat kejadian itu sebagai sesuatu yang lebih daripada sekadar kebetulan.
Dalam temu bual media selepas kejadian, Andrea Katz menyatakan bahawa dia percaya panggilan itu mempunyai makna tersendiri. Menurutnya, walaupun tiada suara kedengaran, panggilan itu seolah-olah cara terakhir Charles untuk menenangkan hati mereka bahawa dia telah pergi dalam keadaan tenang. Keluarga Charles turut berkongsi perasaan yang sama. Mereka tidak melihatnya sebagai kejadian menyeramkan tetapi sebagai bentuk perpisahan terakhir antara si mati dan insan yang disayangi. Panggilan terakhir itu berhenti sepenuhnya sebaik sahaja mayat Charles ditemui, sesuatu yang menambah keanehan kepada peristiwa ini.
Walaupun penyiasat dan pakar teknologi komunikasi menegaskan bahawa panggilan itu boleh dijelaskan melalui kerosakan sistem elektronik, masih terdapat mereka yang percaya ia merupakan satu bentuk komunikasi terakhir antara roh dan keluarga. Hingga kini, tiada bukti saintifik yang kukuh untuk mengesahkan salah satu teori secara mutlak.
Catat Ulasan for "Kes Charles E. Peck: Misteri Panggilan Telefon Selepas Kematian"