Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH MIWA SADO YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN: Mati Akibat Kerja Berlebihan Masa

     Miwa Sado merupakan seorang wartawan politik berbakat yang berkhidmat di NHK, stesen penyiaran nasional Jepun. Dia dikenali oleh rakan-rakan sekerja sebagai seorang yang berdedikasi, rajin dan sentiasa menepati masa. Namun di sebalik sikap profesionalnya, Miwa berdepan tekanan kerja yang luar biasa tinggi yakni tekanan yang akhirnya meragut nyawanya pada usia muda.

     Miwa Sado bekerja di Biro Tokyo NHK dengan tugas utama meliputi hal ehwal politik dan liputan pilihan raya. Pada tahun 2013, Jepun mengadakan dua pilihan raya besar iaitu pilihan raya Dewan Kaunselor dan pilihan raya Dewan Perwakilan Tokyo. Kedua-dua acara ini berlangsung dalam tempoh yang hampir serentak dan Miwa merupakan antara wartawan yang diarahkan untuk membuat liputan secara intensif di lapangan serta di studio. Sejak awal bulan Jun sehingga penghujung Julai 2013, dia bekerja tanpa henti untuk menyiapkan laporan berita, menghadiri sidang akhbar, menemubual ahli politik serta menulis skrip berita untuk siaran harian.

     Menurut siasatan rasmi Jabatan Buruh Tokyo, Miwa telah bekerja sebanyak 159 jam lebih masa dalam tempoh 30 hari di mana dia hanya berehat dua hari sahaja sepanjang tempoh tersebut. Tekanan kerja yang berpanjangan, waktu tidur yang tidak mencukupi serta jadual kerja yang tidak menentu menyebabkan tubuhnya semakin lemah. Pada 24 Julai 2013 yakni hanya tiga hari selepas pilihan raya selesai, Miwa ditemui tidak sedarkan diri di apartmennya di Tokyo. Dia disahkan meninggal dunia akibat kegagalan jantung yang berpunca daripada keletihan melampau. Doktor forensik dan penyiasat buruh kemudian mengesahkan bahawa kematiannya diklasifikasikan sebagai karoshi, satu istilah Jepun yang bermaksud kematian akibat kerja berlebihan.

     Cuma apa yang menimbulkan kemarahan orang ramai ialah tindakan NHK yang menyembunyikan fakta kematian Miwa selama hampir empat tahun. Hanya pada Oktober 2017, NHK akhirnya mengeluarkan kenyataan rasmi kepada umum selepas laporan Jabatan Buruh Tokyo disiarkan. Dalam kenyataannya, NHK mengakui bahawa Miwa meninggal dunia akibat kerja berlebihan dan berjanji akan memperbaiki sistem kerja serta pengurusan masa kakitangannya. Pihak pengurusan juga memohon maaf kepada keluarga Miwa namun keluarga tersebut sudah lama hidup dalam kesedihan dan trauma kerana kehilangan anak mereka yang begitu komited terhadap kerjanya.

     Pendedahan ini mendedahkan mengenai budaya kerja ekstrem di Jepun yang telah lama menjadi norma sosial negara itu. Kebanyakan pekerja di syarikat Jepun sering menganggap pulang lewat malam sebagai tanda kesetiaan dan disiplin terhadap organisasi. Namun bagi ramai pemerhati dan aktivis buruh, budaya ini sebenarnya telah membentuk sistem kerja yang tidak sihat dan berisiko tinggi terhadap kesihatan mental serta fizikal pekerja. 

     Kes Miwa ini turut dibandingkan dengan kes Matsuri Takahashi, seorang pekerja muda di syarikat pengiklanan terkenal Dentsu yang membunuh diri pada tahun 2015 akibat tekanan kerja dan gangguan mental kerana beban kerja yang melampau. Kedua-dua kes ini membongkar sisi gelap kejayaan ekonomi Jepun yang sering dibina di atas pengorbanan individu yang terpaksa menanggung tekanan kerja berlebihan demi mengekalkan reputasi profesional.

     Susulan daripada kes Miwa, kerajaan Jepun memperkenalkan beberapa langkah reformasi di bawah inisiatif Work Style Reform. Undang-undang baru diperkenalkan untuk mengehadkan waktu kerja maksimum bulanan dan menggalakkan syarikat memberi cuti wajib kepada pekerja. Kerajaan juga meningkatkan pengawasan terhadap sektor yang berisiko tinggi termasuk media, teknologi, dan korporat besar. Pelbagai laporan dan kajian selepas itu bagaimanapun menunjukkan bahawa masalah karoshi masih belum dapat dihapuskan sepenuhnya. Hal ini kerana kebanyakan syarikat masih mengekalkan budaya kerja lama yang menilai prestasi berdasarkan jumlah masa yang dihabiskan di tempat kerja, bukan produktiviti sebenar.

Catat Ulasan for "KISAH MIWA SADO YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN: Mati Akibat Kerja Berlebihan Masa"