KISAH PEMBUNUHAN KEJAM NIA GLASSIE

Kisah pembunuhan Nia Marie Glassie merupakan antara kes penderaan kanak-kanak paling menyayat hati yang pernah berlaku di New Zealand. Dilahirkan pada tahun 2004, Nia baru berusia tiga tahun ketika kejadian itu berlaku. Di sebalik wajah kecil yang tidak berdosa, tersembunyi penderitaan luar biasa yang menimpa dirinya. Nia didera bukan akibat perbuatan orang asing tetapi dilakukan oleh individu yang tinggal sebumbung dengannya termasuk teman lelaki ibunya sendiri.
Nia tinggal bersama ibunya iaitu Lisa Michelle Kuka dan teman lelaki ibunya, Wiremu Curtis di sebuah rumah di bandar Rotorua, New Zealand. Rumah itu turut dihuni oleh Michael Curtis (abang kepada Wiremu) dan beberapa ahli keluarga lain. Menurut laporan perbicaraan, penderaan terhadap Nia berlaku hampir setiap hari selama berminggu-minggu sebelum kematiannya. Tindakan kejam itu dilakukan atas alasan kononnya sebagai gurauan atau hukuman.

Antara bentuk penderaan yang dilakukan terhadap kanak-kanak malang itu termasuklah disepak, ditendang, dicubit dan dilompat di atas badannya oleh orang dewasa. Nia juga dilaporkan dipusing dalam mesin pengering pakaian yang berputar dengan suhu tinggi selama hampir 30 minit hingga menyebabkan kulitnya melecur teruk dan tubuhnya penuh lebam. Selain itu, dia digantung pada tali ampaian pakaian sebelum dijatuhkan, dan pada masa lain, dia diletakkan di atas api dapur serta diseterika pada bahagian tubuhnya. Kadang-kala Nia digulung dalam tilam atau sofa dan diguling ke lantai sebagai bentuk hiburan bagi mereka yang mendera.
Selain penderaan fizikal, Nia turut menjadi mangsa penghinaan. Dia dibiarkan telanjang di luar rumah dalam cuaca sejuk, dipaksa berdiri berjam-jam tanpa pakaian dan disuruh melakukan perkara yang tidak sesuai untuk usianya. Penderaan itu disaksikan oleh beberapa ahli keluarga dan jiran namun ramai memilih untuk berdiam diri. Saksi-saksi kemudian memberitahu mahkamah bahawa mereka mendengar tangisan dan jeritan Nia hampir setiap hari tetapi tidak berani campur tangan.

Kejadian memuncak pada bulan Julai 2007 apabila Nia mengalami kecederaan otak yang parah selepas dipukul dan dibaling ke dinding oleh Michael Curtis. Dia tidak sedarkan diri dan akhirnya koma. Namun apa yang lebih menyedihkan, Lisa sendiri tidak segera membawa anak kecil itu ke hospital. Dia sebaliknya menunggu hampir 36 jam sebelum mendapatkan bantuan perubatan. Apabila Nia akhirnya dibawa ke hospital Rotorua, doktor mengesahkan dia sudah mengalami kerosakan otak yang tidak dapat diselamatkan. Selepas lima hari dalam keadaan koma, Ni meninggal dunia pada 3 Ogos 2007.
Siasatan pihak polis kemudian mendedahkan penderaan yang amat mengerikan itu telah berlaku dalam tempoh yang panjang. Wiremu dan Michael Curtis akhirnya ditahan dan didakwa atas tuduhan pembunuhan. Sementara itu, ibu Nia, Lisa Kuka, dituduh atas pertuduhan pembunuhan tanpa niat kerana gagal melindungi anaknya serta menangguhkan rawatan perubatan. Beberapa individu lain yang turut tinggal di rumah itu juga disabitkan atas pertuduhan penderaan kanak-kanak. Semasa perbicaraan, mahkamah mendengar keterangan menyayat hati daripada saksi yang menggambarkan kehidupan Nia sebagai neraka di bumi.

Pada tahun 2008, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas Wiremu dan abangnya, Michael atas kesalahan membunuh Nia. Ibu kanak-kanak itu, Lisa pula dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun atas pertuduhan manslaughter. Hakim dalam penghakimannya menyatakan bahawa penderaan itu merupakan satu siri perbuatan yang amat menjijikkan dan tidak pernah sepatutnya berlaku terhadap mana-mana kanak-kanak.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM NIA GLASSIE"