Kisah Dennis Depue : Pembunuhan yang Menjadi Inspirasi Kepada Filem Jeeper Creepers

Dennis Henry DePue merupakan seorang penilai hartanah di negeri Michigan, Amerika Syarikat. Dia dilahirkan pada tahun 1943 dan menjalani kehidupan yang kelihatan stabil dari luar. Isterinya iaitu Marilynn DePue ialah seorang kaunselor sekolah yang dihormati di Coldwater High School. Pasangan ini mempunyai tiga orang anak. Pada pandangan masyarakat sekeliling, mereka tampak seperti keluarga bahagia kelas pertengahan di Amerika.
Namun di sebalik ketenangan itu, hubungan mereka sudah lama tegang. Marilynn dikatakan semakin tidak tahan dengan sikap suaminya yang mengawal dan mudah marah. Dennis pula berasa tidak dihormati dan sering menganggap isterinya memperlekehkan peranannya sebagai suami dan bapa. Menurut beberapa laporan, Marilynn sering berkongsi kepada rakan-rakan bahawa dia berasa terperangkap dalam perkahwinan yang sudah tidak ada cinta. Akhirnya, pada tahun 1989, Marilynn memfailkan perceraian. Perceraian mereka disahkan secara rasmi pada Disember 1989. Hak penjagaan anak diberikan kepada Marilynn manakala Dennis hanya dibenarkan melawat pada waktu tertentu.

Pada 15 April 1990 bersamaan hari Easter Sunday, Dennis datang ke rumah bekas isterinya untuk mengambil anak-anak seperti yang dibenarkan dalam perjanjian penjagaan. Pada awalnya, keadaan kelihatan biasa. Anak-anak Marilyn sedang bersiap dan Marilynn sendiri berada di ruang tamu. Keadaan bagaimanapun berubah apabila berlaku pertengkaran besar antara mereka. Dennis yang dalam keadaan marah telah menolak Marilynn hingga jatuh tangga lalu memukulnya dengan teruk di kepala di bahagian bawah tangga. Serangan itu disaksikan oleh dua anak mereka yang ketakutan.
Anak-anak cuba menolong tetapi Dennis mengarahkan mereka masuk ke dalam bilik masing-masing. Dia kemudian mengangkat tubuh Marilynn yang tidak sedarkan diri dengan dakwaan konon akan membawa bekas isterinya itu ke hospital. Walau bagaimanapun, Marilyn itu tidak pernah tiba di mana-mana hospital. Sejak saat itu, Marilynn terus hilang tanpa jejak.
Pada petang yang sama, sepasang suami isteri bernama Ray dan Marie Thornton sedang memandu di jalan sunyi berhampiran daerah Coldwater. Mereka terlihat sebuah van Chevrolet berwarna krim dengan nombor pendaftaran yang pelik. Mereka menjadi curiga apabila melihat van itu berhenti di tepi bangunan sekolah lama yang telah ditinggalkan. Tidak lama kemudian, mereka melihat seorang lelaki keluar dari van tersebut sambil membawa sehelai kain besar yang berlumuran darah. Lelaki itu kemudian membuang sesuatu ke kawasan semak berhampiran.
![]() |
Ray Thornton |
Ray dan Marie yang ketakutan terus memandu meninggalkan tempat itu. Namun mereka menyedari bahawa van tersebut mula mengekori mereka secara agresif seperti cuba menakutkan mereka. Episod mengejar itu berlangsung selama beberapa kilometer sebelum akhirnya van itu membelok dan hilang dari pandangan. Pasangan Thornton segera melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.
Keesokan harinya, pihak berkuasa menemui mayat Marilynn DePue di kawasan terpencil berhampiran Niles, Michigan. Pemeriksaan forensik mengesahkan bahawa dia mati akibat tembakan di bahagian belakang kepala. Segala bukti forensik dan keterangan saksi menghala kepada satu nama tidak lain tidak bukan Dennis Henry DePue.
Selepas pembunuhan itu, Dennis menghilangkan diri sepenuhnya. Pihak berkuasa mengeluarkan waran tangkap terhadapnya dan menyebarkan gambarnya secara meluas. Kes ini menjadi salah satu episod terkenal dalam rancangan televisyen Unsolved Mysteries pada tahun 1990. Dalam episod tersebut, pihak produksi menyiarkan lakonan semula kejadian serta imej sebenar Dennis DePue. Tayangan itu menarik jutaan penonton di seluruh Amerika.

Setahun kemudian, pada April 1991, laporan daripada orang awam di Texas membawa polis ke lokasi di mana Dennis bersembunyi menggunakan identiti palsu. Apabila pihak berkuasa cuba menahannya selepas satu kejar-mengejar di lebuh raya Louisiana, Dennis menembak dirinya sendiri di dalam van yang digunakannya untuk melarikan diri. Dia meninggal dunia di tempat kejadian sekali gus menamatkan episod buruan selama setahun.
Satu aspek menarik yang membuatkan kes ini terus dikenang ialah persamaan luar biasa antara kisah sebenar ini dengan filem Jeepers Creepers (2001) arahan Victor Salva. Dalam adegan pembukaan filem itu, dua adik-beradik melihat seorang lelaki misteri memunggah sesuatu yang berlumuran darah dari van di hadapan sebuah bangunan lama yakni hampir sama dengan insiden yang disaksikan oleh Ray dan Marie Thornton pada tahun 1990. Walaupun pengarah filem tidak pernah secara rasmi mengesahkan bahawa kisah DePue menjadi inspirasi langsung, ramai peminat filem seram percaya bahawa ia sekurang-kurangnya berdasarkan elemen sebenar daripada kes ini.
Catat Ulasan for "Kisah Dennis Depue : Pembunuhan yang Menjadi Inspirasi Kepada Filem Jeeper Creepers"