Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Remaja Lelaki 16 Tahun Didakwa Bunuh dan Cabul Kanak-kanak Perempuan 12 Tahun

     INDONESIA — Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun ditemui mati dalam keadaan menyayat hati di rumah seorang remaja lelaki yang juga jiran kepada keluarga mangsa. Kejadian dilaporkan berlaku di kawasan Cilincing, Jakarta Utara.

     Mangsa yang dikenali dengan inisial VI dilaporkan hilang pada Isnin petang setelah keluar bermain berhampiran rumahnya di kawasan Rorotan, Cilincing. Keluarga mula risau apabila mangsa tidak pulang menjelang malam. Selepas pencarian dilakukan bersama penduduk kampung, seorang jiran menyedari sesuatu yang ganjil yakni bau busuk dari rumah seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang dikenali dengan inisial MR. Apabila rumah itu diperiksa, mereka menemui jasad VI dalam keadaan tidak bernyawa di salah satu sudut rumah.

     Menurut siasatan awal Polres Metro Jakarta Utara, pelaku MR mengaku membawa mangsa ke rumahnya dengan mengumpan mangsa untuk dibelikan pakaian baharu. Kanak-kanak itu yang tidak menyangka apa-apa hanya mengikut ajakan tersebut. Sebaik tiba di rumah, MR kemudian bertindak ganas di mana dia menekup muka mangsa menggunakan bantal dan melilit lehernya dengan kabel elektrik sehingga mangsa tidak lagi bernafas.

     Lebih memilukan yakni selepas memastikan mangsa telah meninggal dunia, pelaku melakukan kekerasan seksual terhadap tubuh mangsa. Perbuatan tersebut disahkan hasil pemeriksaan forensik yang mendapati adanya tanda-tanda penderaan seksual. Antara barang bukti yang ditemui ialah seutas kabel, sehelai bantal dan pakaian mangsa yang kini dalam simpanan pihak polis untuk dianalisis lanjut.

     Ketua Polis Jakarta Utara, Kombes Pol Gidion Arif Setyawan mengesahkan bahawa pelaku sudah merancang perbuatan itu terlebih dahulu. Berdasarkan keterangan saksi dan bukti yang dikumpul, pelaku dipercayai menyimpan dendam terhadap ibu mangsa. “Pelaku berasa sering dihina dan dipermalukan oleh ibu mangsa akibat masalah hutang. Ia menyebabkan dia menyimpan rasa marah dan akhirnya melampiaskan dendam itu kepada anak perempuan wanita berkenaan,” ujar beliau dalam sidang media rasmi di Balai Polis Cilincing.

     Siasatan lanjut mendapati MR dan ibu mangsa sebelum ini mempunyai urusan hutang-piutang kecil. Wanita itu dikatakan beberapa kali menegur pelaku secara kasar di hadapan jiran-jiran. Rasa malu dan terhina dipercayai menjadi punca utama pelaku bertindak di luar kewarasan. Menurut keterangan polis, MR mengaku sudah lama berniat mahu mengajar keluarga itu pengajaran.

     Selepas kejadian, MR cuba menyembunyikan mayat mangsa di dalam rumahnya. Walau bagaimanapun, bau busuk yang timbul dan kelakuannya yang mencurigakan membuatkan jiran melaporkan kepada pihak berkuasa. Polis tiba di lokasi tidak lama kemudian dan menahan MR tanpa tentangan. Dalam siasatan, pelaku mengaku melakukan pembunuhan tersebut seorang diri.

     Berdasarkan laporan rasmi, MR kini ditahan oleh Unit Perlindungan Perempuan dan Anak (PPA) untuk membantu siasatan. Dia disiasat atas dua kesalahan utama iaitu membunuh dengan niat dan melakukan kekerasan seksual terhadap kanak-kanak. Walaupun MR masih berusia 16 tahun, pihak polis menegaskan bahawa tindakan undang-undang tetap akan diambil mengikut saluran kehakiman khas bagi pesalah bawah umur. Ini bermakna pelaku akan dibicarakan di mahkamah yang mengendalikan kes melibatkan remaja namun tetap boleh dikenakan hukuman berat sekiranya didapati bersalah.

     “Perbuatan pelaku amat kejam dan menunjukkan unsur sengaja. Kami akan memastikan proses hukum dijalankan dengan tegas,” kata Ketua Unit PPA Polres Jakarta Utara.



Catat Ulasan for "Remaja Lelaki 16 Tahun Didakwa Bunuh dan Cabul Kanak-kanak Perempuan 12 Tahun"