Model Belarus Didakwa Jadi Mangsa Pemerdagangan Manusia di Myanmar

MINSK — Seorang wanita warga Belarus dilaporkan menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia selepas menerima tawaran kerja palsu sebagai model di Asia Tenggara.
Menurut laporan media antarabangsa, Vera Kraftsova yang berusia 26 tahun berangkat dari Minsk ke Bangkok pada pertengahan September 2025 selepas menerima tawaran kerja sebagai model dengan bayaran lumayan. Tawaran itu diperoleh menerusi iklan dalam talian yang kelihatan sahih. Namun sebaik tiba di Thailand, Vera dikatakan telah diculik dan diseludup ke sempadan Myanmar–Thailand dipercayai ke kawasan Myawaddy yang terkenal sebagai lokasi pusat operasi scam park iaitu kawasan penipuan siber yang dikendalikan sindiket antarabangsa.
Di pusat tersebut, Vera dikatakan kehilangan pasport serta telefon bimbitnya sebelum dipaksa menyertai kegiatan penipuan dalam talian termasuk romance scam yang menyasarkan mangsa di luar negara melalui aplikasi temu janji dan pelaburan kripto palsu. Setiap pekerja di pusat itu dikatakan diwajibkan mencapai sasaran tertentu. Kegagalan berbuat demikian akan mengundang hukuman berat seperti penderaan, pengurungan dan lebih dahsyat adalah penjualan organ.
Sumber media Belarus melaporkan bahawa Vera gagal memenuhi sasaran hasil penipuan yang ditetapkan sindiket tersebut. Kali terakhir dia menghubungi keluarganya ialah pada 4 Oktober 2025 sebelum semua komunikasi terputus. Tidak lama selepas itu, keluarganya mendakwa menerima mesej misteri yang menuntut tebusan sebanyak AS$500 000 (sekitar RM2.4 juta) jika mereka mahu mendapatkan mayat atau abu Vera semula.

Lebih mengejutkan, beberapa portal berita melaporkan bahawa pihak sindiket telah menjual organ-organ dalaman Vera sebelum mayatnya dibakar bagi menghapuskan bukti. Walau bagaimanapun, dakwaan ini masih belum dapat disahkan secara rasmi oleh pihak berkuasa antarabangsa mahupun agensi perubatan.
Jurucakap Kementerian Luar Belarus mengesahkan bahawa Vera memang berlepas ke Bangkok pada 20 September 2025 dan menyeberangi sempadan ke Myanmar tidak lama kemudian. Pihak kedutaan kini bekerjasama dengan kerajaan Thailand dan Myanmar bagi menelusuri lokasi sebenar kejadian serta mengenal pasti sama ada laporan mengenai kematian Vera adalah benar.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Kementerian Luar Belarus turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati terhadap tawaran kerja di luar negara yang mencurigakan terutama yang melibatkan industri permodelan dan hiburan. Menurut kementerian itu, sindiket pemerdagangan manusia kini semakin aktif menggunakan iklan media sosial untuk memerangkap individu muda khususnya wanita yang mencari peluang pekerjaan.
Beberapa pihak termasuk Interpol dilaporkan telah diminta membantu siasatan namun setakat ini belum ada pengesahan rasmi mengenai keberadaan atau kematian Vera. Laporan mengenai pemotongan organ dan pembakaran mayat masih dianggap sebagai dakwaan tidak disahkan sehingga bukti forensik diperolehi.
Catat Ulasan for "Model Belarus Didakwa Jadi Mangsa Pemerdagangan Manusia di Myanmar"