Kisah Youtuber Korea Selatan yang Diganggu Secara Seksual Semasa Live Streaming di India

Hyojeong Park yang lebih dikenali sebagai Mhyochi di media sosial, ialah seorang pencipta kandungan dari Korea Selatan yang aktif membuat vlog, penstriman langsung, meneroka tempat baharu dan berkongsi pengalamannya mencuba makanan. Dia telah mengembara sejak dari remaja dan negara India merupakan salah satu destinasi impiannya. Pada akhir November 2022, Park berada di Mumbai khususnya di kawasan Khar selama kira-kira tiga minggu dengan niat tinggal lebih lam bagi menunjukkan keindahan India kepada penonton.
Pada malam 29 November 2022, kira-kira jam 11.50 malam yakni ketika Park sedang berjalan pulang ke hotel sambil melakukan penstriman langsung, dua lelaki dilihat berada di tepi jalan. Park sempat menegur mereka dengan ucapan “Hai” sebelum salah seorang daripada lelaki itu menjerit “I love you” bagi menarik perhatiannya. Park membalas gurauan tersebut dengan berkata, “I love you too.” Tidak lama kemudian, lelaki berkenaan menghampiri Park, memegang tangannya dan cuba menariknya ke arah motosikal. Apabila Park menolak, suspek dilaporkan melilitkan tangannya di leher Park dan cuba menciumnya di pipi.

Suspek turut menawarkan tumpangan motosikal dan pada masa yang sama meminta nombor telefon Park. Bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih rumit, Park memberikan nombor telefon palsu. Menyedari situasi semakin tidak selamat, Park cuba meninggalkan kawasan tersebut. Mujurlah seorang penonton penstriman langsung yang kebetulan berada berhampiran iaitu Atharvaa Tikkha datang membantu. Dia menegur suspek dalam bahasa Hindi supaya berhenti mengganggu. Suspek akhirnya menjauh, dan Park berjaya kembali ke hotel dengan selamat.
Video kejadian itu kemudiannya tular di media sosial. Susulan penularan tersebut, Polis Khar di Mumbai segera mengambil tindakan dengan mendaftarkan laporan polis (FIR) di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan India yang berkaitan dengan gangguan terhadap wanita serta penggunaan kekerasan jenayah yang mencalar maruah. Dua suspek yang bernama Mobeen Chand Mohammad Shaikh dan Mohammad Naqeeb Sadrealam Ansari itu ditahan selama 24 jam dan kemudian dibawa ke mahkamah. Mahkamah di Bandra membenarkan mereka dilepaskan dengan ikatan tunai sebanyak ₹15 000 (sekitar RM825) setiap seorang dengan syarat memberi kerjasama kepada siasatan polis.
Selepas kejadian tersebut, Park menyatakan bahawa beliau berasa takut untuk melakukan penstriman langsung lagi. Dalam ciapannya di Twitter (kini X), dia menulis, “Scared to go live today. Will I be okay?” yang menunjukkan bahawa kejadian itu mempunyai impak psikologi kepadanya. Park juga menyatakan bahawa walaupun kejadian ini menjadi pengalaman pahitnya di India, dia tetap menyayangi negara itu kerana tindak balas pantas pihak berkuasa dan sokongan orang ramai.

Park turut mengucapkan terima kasih kepada dua lelaki Aditya dan Atharvaa Tikkha yang membantu menyebarkan video kejadian serta tampil mempertahankannya di tempat kejadian dengan menegur suspek agar berhenti mengganggu. Sebagai tanda penghargaan, Park berkongsi gambar mereka bertiga sedang menikmati makan tengah hari bersama. Video kejadian Park diganggu itu boleh ditonton di sini : https://youtu.be/70BrQaJZLRk?si=f6qI1xSd0n-SK2QO
Catat Ulasan for "Kisah Youtuber Korea Selatan yang Diganggu Secara Seksual Semasa Live Streaming di India"