Kisah Allison Mack: Rahsia Di Sebalik Kultus Pemerdagangan Seks NXIVM

Allison Mack suatu ketika dahulu disanjung sebagai bintang muda yang bersinar. Namanya melonjak selepas membintangi watak Chloe Sullivan dalam siri televisyen terkenal Smallville yang menceritakan kisah awal kehidupan Superman. Namun di luar layar, kehidupan Mack berubah 180 darjah apabila dia terjerat dalam kumpulan sesat NXIVM, sebuah organisasi yang memperhambakan wanita atas nama pembangunan diri.
Kumpulan NXIVM (disebut Nexium) ditubuhkan pada tahun 1998 oleh seorang lelaki bernama Keith Raniere. Dia memperkenalkan NXIVM sebagai organisasi latihan motivasi dan pembangunan diri. Melalui program yang dinamakan Program Kejayaan Eksekutif, peserta dijanjikan perubahan hidup, peningkatan keyakinan dan kejayaan luar biasa dalam kerjaya.
Peserta sanggup membayar ribuan dolar untuk menghadiri bengkel motivasi itu. Dari luar, NXIVM kelihatan profesional dan dihormati. Namun di sebalik imej bersih itu, wujud satu sistem rahsia dan berbahaya yang dikendalikan oleh Raniere iaitu sebuah kumpulan dalaman bernama DOS, singkatan daripada frasa Latin bermaksud "Tuan kepada hamba wanita. Dalam sistem ini, wanita digelar sebagai hamba, manakala tuan adalah mereka yang terdiri daripada wanita berpangkat lebih tinggi. Di puncak tertinggi struktur ini ialah Keith Raniere sendiri, yang disembah oleh pengikutnya sebagai guru agung.

Selepas Smallville tamat pada tahun 2011, Mack mencari arah baharu dalam hidupnya. Ketika itulah dia bertemu Raniere dan mula menghadiri kelas NXIVM. Pada awalnya, Mack percaya NXIVM benar-benar membantu dirinya menjadi lebih yakin dan matang. Namun lama-kelamaan, Raniere mula mengawal cara pemikiran dan kehidupan Mack.
Mack akhirnya menjadi antara pengikut paling setia Raniere. Dia dilantik sebagai salah seorang tuan dalam kumpulan DOS dan ditugaskan mencari serta merekrut wanita baharu untuk menyertai sistem tersebut. Wanita yang direkrut oleh Mack diminta menyerahkan jaminan peribadi seperti gambar tidak senonoh, surat pengakuan palsu atau rahsia memalukan. Bahan itu dikatakan sebagai jaminan kesetiaan tetapi hakikatnya digunakan untuk memeras ugut supaya mangsa tidak berani keluar.

Lebih mengerikan, wanita-wanita ini kemudian dicap pada kulit menggunakan besi panas dengan lambang gabungan huruf KR serta AM yang mewakili nama Keith Raniere dan Allison Mack. Mereka diarahkan menurunkan berat badan, tidak tidur lama dan menurut segala arahan tanpa soal. Sebahagian daripada mereka turut dipaksa menyerahkan tubuh kepada Raniere kononnya sebagai ujian penyerahan diri.
Selama bertahun-tahun, NXIVM beroperasi tanpa disedari umum. Pada tahun 2017, segalanya terbongkar apabila beberapa bekas ahli tampil menceritakan pengalaman mereka kepada akhbar The New York Times. Mereka menggambarkan NXIVM sebagai kumpulan pemujaan seks yang menyamar sebagai organisasi motivasi. Pendedahan itu mencetuskan penyiasatan besar-besaran oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI). Pada Mac 2018, Raniere ditahan di Mexico selepas melarikan diri apabila siasatan bermula. Sebulan kemudian, Mack turut ditangkap di New York atas tuduhan pengedaran manusia, kerja paksa dan pemerasan. Dokumen mahkamah menunjukkan bahawa Mack merupakan pengurus kanan dalam sistem DOS di mana dia mengatur hierarki, mengurus latihan disiplin dan memastikan para wanita patuh kepada arahan Raniere.

Pada awalnya, Mack menafikan tuduhan terhadapnya. Apabila bukti semakin kukuh, dia akhirnya mengaku bersalah pada April 2019 terhadap dua pertuduhan konspirasi iaitu pemerasan dan membantu kegiatan jenayah NXIVM. Di mahkamah, Mack menangis dan memohon maaf. Dia berkata bahawa dirinya benar-benar percaya Raniere ingin membantu orang lain tetapi akhirnya menyedari bahawa dirinya hanyalah alat dalam sistem manipulasi yang merosakkan ramai wanita.
Sementara itu,Raniere dibicarakan secara berasingan. Pada tahun 2020, dia dijatuhi hukuman penjara 120 tahun atas kesalahan termasuk pengedaran manusia, eksploitasi seksual dan pemerasan. Pada Jun 2021, Allison Mack dijatuhi hukuman tiga tahun penjara dan denda sebanyak USD 20 000 Dia mula menjalani hukuman di penjara wanita di California pada September 2021 dan dibebaskan lebih awal pada Julai 2023 kerana berkelakuan baik. Selepas dibebaskan pada 2023, Mack menjauhkan diri daripada dunia hiburan. Menurut laporan, dia kini menjalani kehidupan sederhana dan cuba menebus kesilapan lalu.
Catat Ulasan for "Kisah Allison Mack: Rahsia Di Sebalik Kultus Pemerdagangan Seks NXIVM"