Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

JUTAWAN KRIPTO RUSIA, ROMAN NOVAK DITEMUI MATI DIBUNUH DI PADANG PASIR DUBAI

     DUBAI - Seorang jutawan kripto warga Rusia iaitu Roman Novak, 41 tahun telah ditemui mati bersama isterinya, Anna Novak di kawasan padang pasir berhampiran Dubai selepas dilaporkan hilang lebih seminggu. Kes tersebut kini disiasat sebagai pembunuhan terancang yang berpunca daripada cubaan merampas akses terhadap aset digital milik mangsa.

    Menurut laporan The Moscow Times, pasangan itu dilaporkan hilang pada awal Oktober lalu selepas menghadiri satu pertemuan pelabur di wilayah Hatta yang berhampiran sempadan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Oman. Pemandu mereka memberitahu pihak polis bahawa kedua-dua mangsa telah menaiki sebuah kenderaan lain sebelum kehilangan mereka disedari.

     Beberapa hari kemudian, keluarga mangsa di Rusia memfailkan laporan kehilangan selepas gagal menghubungi mereka melalui telefon. Siasatan segera dilancarkan oleh pihak berkuasa UAE dengan kerjasama agensi penyiasatan Rusia dan Interpol. Pihak polis akhirnya menemui dua mayat yang ditanam secara rahsia di kawasan gurun sekitar Fujairah. Pemeriksaan awal mendapati kedua-dua mayat mengalami kecederaan parah, dipercayai akibat serangan fizikal sebelum dibunuh. Sumber penyiasatan memaklumkan anggota badan mangsa turut dipotong bagi menyukarkan pengecaman.

     Laporan media antarabangsa menyebut bahawa Roman Novak dan isterinya dipercayai menjadi mangsa kumpulan penculik yang mahu memaksa mereka menyerahkan kata laluan dan kunci digital kepada dompet kripto yang menyimpan aset bernilai lebih 30 juta dolar Amerika Syarikat. Apabila gagal, pasangan itu dipercayai dibunuh dan mayat mereka ditanam di padang pasir.


    Pihak berkuasa Rusia mengesahkan sekurang-kurangnya tujuh individu telah ditahan berhubung kes tersebut termasuk beberapa warga Rusia dan seorang lelaki Kazakhstan. Mereka disyaki ahli kumpulan penjenayah antarabangsa yang aktif dalam pemerasan berkaitan pelaburan kripto.

     Roman Novak sebelum ini merupakan pengasas aplikasi pelaburan kripto Fintopio dan pernah dijatuhkan hukuman penjara enam tahun pada tahun 2020 di St. Petersburg atas kesalahan menipu pelabur. Dia dibebaskan lebih awal sebelum berpindah ke UAE dan dilaporkan terus menjalankan aktiviti pelaburan kripto.

     Pihak berkuasa UAE kini bekerjasama rapat dengan kerajaan Rusia bagi menentukan bidang kuasa perbicaraan. Hingga setakat ini, lokasi sebenar aset digital milik Roman Novak masih belum dapat dikesan.

     Keluarga pasangan tersebut di Rusia dilaporkan masih dalam keadaan terkejut dan sedang menjaga dua anak mangsa yang kini menjadi yatim piatu.

Catat Ulasan for "JUTAWAN KRIPTO RUSIA, ROMAN NOVAK DITEMUI MATI DIBUNUH DI PADANG PASIR DUBAI"