KISAH DANTA R. WRIGHT: Remaja Lelaki yang Angkuh Sebelum Hukuman Dijatuhkan

Kes pembunuhan yang melibatkan remaja lelaki berusia 17 tahun, Danta R. Wright menjadi antara kes jenayah yang paling mendapat perhatianpads tahun 2016 di Ann Arbor, Michigan. Mangsa iaitu Jordan Klee, 18 tahun, merupakan pelajar sekolah menengah yang aktif dan dikenali ramai sebagai remaja yang baik, rajin selain memiliki masa depan yang cerah.
Pada 4 Oktober 2016, Klee ditemui mati akibat tembakan di kepala di kawasan kondominium Pine Lake Village. Penemuan itu mengejutkan penduduk setempat kerana mangsa tidak pernah terbabit dalam masalah disiplin atau berkawan dengan individu bermasalah. Siasatan polis mendapati pembunuhan tersebut berpunca daripada cubaan rompakan oleh sekumpulan tiga remaja termasuk Danta Wright. Mereka mengenali Klee dan percaya mangsa membawa barangan berharga. Namun rompakan yang dirancang itu berlangsung secara tidak terkawal dan bertukar menjadi kejadian pembunuhan apabila Wright melepaskan tembakan yang mengenai bahagian atas kepala mangsa. Mangsa mati serta-merta manakala kumpulan remaja itu melarikan diri dari tempat kejadian. Polis bagaimanapun berjaya menjejak mereka melalui maklumat saksi dan bukti forensik lalu menahan semua suspek termasuk Wright.

Apabila dibawa ke mahkamah, Wright mengaku dialah individu yang melepaskan tembakan tersebut. Namun apa yang paling menimbulkan kemarahan orang ramai ialah tingkah laku Wright sepanjang proses perbicaraan dan penghakiman. Ketika keluarga Jordan Klee menyampaikan ucapan impak mangsa yakni satu sesi yang biasanya penuh emosi kerana ia menceritakan kesedihan, trauma serta kehilangan, Wright dilaporkan tersenyum, ketawa kecil dan menggeleng kepala seolah-olah apa yang berlaku tidak memberi sebarang makna kepadanya. Tingkah laku itu menyebabkan suasana mahkamah menjadi tegang dan ramai hadirin berasa tersinggung.
Hakim yang mengendalikan kes tersebut, Judge David Swartz tidak dapat menyembunyikan rasa kecewanya terhadap sikap Wright. Dia menegur Wright secara terbuka menyatakan bahawa reaksi remaja itu menunjukkan ketidakmatangan dan ketiadaan rasa empati terhadap keluarga mangsa. Hakim Swartz bahkan berkata bahawa tingkah laku Wright itu memberi gambaran bahawa dia tidak memahami keseriusan jenayah yang dilakukan.

Sebelum hukuman dibacakan, Wright diberi peluang untuk menyampaikan kenyataan peribadinya kepada mahkamah. Pada saat inilah Wright mengucapkan kata-kata yang kemudian menjadi salah satu detik paling kontroversi dalam kes ini. Tanpa permohonan maaf kepada keluarga mangsa dan tanpa menunjukkan rasa kesal, Wright berkata dengan nada ringkas, “I just wanna say to my family, I’ll be home soon.” (Saya cuma nak beritahu keluarga saya, saya akan balik rumah tak lama lagi.)
Kenyataan itu membuatkan keluarga mangsa semakin tersinggung kerana ia seolah-olah menggambarkan bahawa Wright menganggap hukuman yang bakal diterimanya ringan atau tidak membawa apa-apa kesan besar. Ia juga dilihat seakan-akan meremehkan kehidupan Jordan Klee yang telah diragut olehnya.

Namun perubahan ketara berlaku selepas itu iaitu ketika hakim akhirnya menjatuhkan hukuman. Wright dijatuhi 23 hingga 50 tahun penjara atas kesalahan membunuh darjah kedua serta hukuman tambahan berkaitan kesalahan rompakan bersenjata. Sewaktu angka hukuman itu dibacakan, ekspresi wajah Wright berubah mendadak. Jika sebelum itu dia tersenyum dan kelihatan seolah-olah tidak ambil peduli, perubahan ini menunjukkan bahawa hukuman panjang tersebut benar-benar memberi kesan kepadanya. Buat pertama kali sejak sesi bermula, Wright tampak seperti baru menyedari betapa besar akibat yang perlu ditanggung sepanjang hidupnya. Dia kemudian dibawa keluar dari mahkamah dalam keadaan lebih senyap dan serius, berbeza dengan tingkah lakunya sebelumnya.
Keluarga Jordan Klee menyatakan rasa lega dengan keputusan tersebut walaupun mereka sedar tiada hukuman yang mampu mengembalikan nyawa anak mereka. Video perbicaraan tersebut boleh ditonton di bawah :
Catat Ulasan for "KISAH DANTA R. WRIGHT: Remaja Lelaki yang Angkuh Sebelum Hukuman Dijatuhkan"