Pantulan Cawan Menjadi Isu: Gadis Pelatih Kumpulan Idol Ditamatkan Kontrak

JEPUN – Seorang remaja berusia 17 tahun yang merupakan pelatih dalam dunia idol Jepun telah diumumkan meninggalkan kumpulannya dengan serta-merta selepas terlibat dalam kontroversi yang dianggap sebagai satu pelanggaran kontrak serius. Remaja tersebut ialah Fujisaki Azu iaitu pelatih daripada kumpulan HEROINES Kenkyusei di bawah syarikat pengurusan Imaginate Inc.
Menurut pengumuman rasmi pihak pengurusan pada 4 November 2025, Fujisaki Azu didapati melakukan satu pelanggaran peraturan kontrak yang digambarkan sebagai serius. Pihak syarikat menegaskan bahawa atas sebab tersebut, dia akan keluar daripada kumpulan berkuat kuasa serta-merta.
Beberapa hari sebelum pengumuman rasmi, satu gambar yang dimuat naik Fujisaki yang kemudian dipadam telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan peminat. Dalam gambar itu, dia dilihat memegang dulang dengan bertih jagung dan minuman di sebuah pawagam di mana terdapat pantulan seorang lelaki memegang telefon bimbit di permukaan cawan plastik minumannya. Ramai pengguna media sosial membuat spekulasi bahawa pantulan tersebut menunjukkan Fujisaki sedang bersama seorang lelaki yang dianggap melanggar peraturan larangan hubungan terbuka yang diamalkan dalam industri idol Jepun.

Dalam catatan di laman sosialnya yang kemudian dipadam, Fujisaki menulis,
"Saya dengan ikhlas memohon maaf atas tindakan saya yang kurang berfikir dan menyebabkan peminat, ahli kumpulan dan semua pihak berkaitan terluka. Terima kasih atas segalanya sehingga kini. Saya benar-benar memohon maaf.”
Pihak syarikat pengurusan pula dalam kenyataan rasmi menegaskan bahawa mereka telah mengesahkan pelanggaran kontrak dan meminta peminat agar tidak membuat sebarang spekulasi lanjut, menghubungi Fujisaki secara langsung atau menggangguny mahupun ahli kumpulan lain.
Mengenai HEROINES Kenkyusei, HEROINES adalah nama kumpulan utama manakala Kenkyusei bermaksud pelatih. Dengan kata lain, HEROINES Kenkyusei adalah pelatih atau calon ahli yang masih dalam latihan untuk menjadi ahli rasmi kumpulan HEROINES. Pelatih ini biasanya belajar menyanyi, menari dan menjalani latihan komunikasi dengan peminat. Mereka juga sering dinilai dari semasa ke semasa serta hanya akan dinaikkan menjadi ahli rasmi jika prestasi dan populariti mereka mencukupi.
Catat Ulasan for "Pantulan Cawan Menjadi Isu: Gadis Pelatih Kumpulan Idol Ditamatkan Kontrak"