Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

WANITA DITEMBAK MATI AKIBAT TERSALAH MASUK RUMAH


      AMERIKA SYARIKAT— Seorang wanita warga Guatemala yang bekerja sebagai pembersih rumah di Amerika Syarikat maut ditembak selepas secara tidak sengaja tiba di rumah yang salah di bandar kecil Whitestown, berhampiran Indianapolis, negeri Indiana. Mangsa dikenali sebagai Maria Florinda RIos Perez, berusia 32 tahun dan merupakan ibu kepada empat orang anak.

     Menurut laporan pihak berkuasa tempatan, kejadian berlaku pada pagi Rabu, 5 November 2025 yakni kira-kira jam 6.45 pagi waktu tempatan. Maria dan suaminya, Mauricio Velasquez yang bekerja sebagai kru pembersihan dilaporkan sedang menuju ke rumah pelanggan untuk melakukan kerja rutin mereka. Pasangan itu bagaimanapun tersilap alamat dan berhenti di hadapan sebuah rumah lain yang terletak di kawasan kejiranan yang sama.

     Siasatan awal mendapati pasangan tersebut mempunyai anak kunci yang diberikan oleh pelanggan sebenar tetapi kunci itu digunakan pada rumah yang salah akibat kekeliruan alamat. Ketika Maria berdiri di beranda hadapan dan cuba memasukkan kunci ke dalam tombol pintu, pemilik rumah yang berada di dalam dikatakan menyangka terdapat penceroboh. Lelaki tersebut kemudian melepaskan tembakan dari dalam rumah melalui pintu utama dan peluru berkenaan mengenai kepala Maria.

     Polis Whitestown Metropolitan yang tiba di lokasi mendapati Maria telah meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. Suaminya, Mauricio yang berada berdekatan dilaporkan tidak cedera tetapi mengalami trauma berat selepas menyaksikan insiden tersebut.

     Pihak berkuasa mengesahkan bahawa tiada tanda-tanda mangsa cuba memecah masuk ke dalam rumah dan kejadian berlaku sepenuhnya di luar pintu utama. Satu lubang peluru jelas kelihatan pada permukaan pintu depan rumah berkenaan.

     Dalam kenyataan media, jurucakap polis menyebut bahawa siasatan telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Daerah Boone County yang diketuai oleh Kent Eastwood untuk menilai sama ada penembak akan dikenakan pertuduhan jenayah. Walau bagaimanapun, keputusan itu dianggap rumit kerana negeri Indiana mempunyai undang-undang Castle Doctrine iaitu peruntukan yang membenarkan pemilik rumah menggunakan kekerasan, termasuk daya maut jika mereka percaya kediaman mereka sedang diceroboh atau terancam.

     Menurut sumber undang-undang, penilaian utama yang akan dibuat oleh pihak pendakwa ialah sama ada tindakan menembak itu dianggap munasabah di bawah konteks undang-undang tersebut. Sekiranya pihak pendakwa berpendapat bahawa penembak mempunyai kepercayaan yang munasabah bahawa rumahnya sedang diceroboh, kemungkinan besar tiada pertuduhan akan difailkan. Namun jika tindakan itu dilihat tidak wajar, penembak boleh didakwa atas kesalahan pembunuhan tanpa niat atau pembunuhan.

     Identiti penembak tidak didedahkan kepada umum kerana tiada sebarang pertuduhan rasmi difailkan setakat ini. Menurut pihak polis, lelaki tersebut merupakan pemilik rumah yang sah dan berada di dalam bersama ahli keluarganya sewaktu kejadian berlaku. Dia dilaporkan bekerjasama penuh dengan siasatan dan senjata api yang digunakan telah dirampas bagi tujuan forensik.

     Keluarga mangsa kini menuntut agar keadilan ditegakkan. Dalam satu kenyataan kepada media tempatan, suaminya, Mauricio berkata mereka tidak mempunyai sebarang niat jahat dan hanya tersilap alamat ketika cuba memulakan kerja harian. “Kami hanya mahu bekerja seperti biasa. Kami tidak tahu rumah itu bukan alamat yang betul,” katanya dalam keadaan sebak.

    Laporan bedah siasat oleh pejabat koroner Boone County mengesahkan bahawa punca kematian Maria adalah akibat tembakan ke kepala dan kes diklasifikasikan sebagai pembunuhan dari segi forensik. Namun klasifikasi itu tidak semestinya membawa kepada pendakwaan jenayah sehingga keputusan rasmi dibuat oleh pejabat pendakwa daerah.

    Sementara menunggu hasil keputusan siasatan, keluarga mangsa telah melancarkan kempen pengumpulan dana GoFundMe untuk menampung kos penghantaran jenazah pulang ke kampung halaman di Guatemala di mana Maria akan dikebumikan. Dana itu turut digunakan untuk menyara empat orang anak mangsa yang kini kehilangan ibu mereka.

Catat Ulasan for "WANITA DITEMBAK MATI AKIBAT TERSALAH MASUK RUMAH"