KISAH KEMATIAN TRAGIS WU YONGNING : Ketika Populariti Lebih Mahal Daripada Nyawa

Wu Yongning ialah seorang anak muda dari wilayah Hunan, China yang pernah mencuri perhatian seluruh dunia kerana keberaniannya melakukan aksi-aksi di puncak bangunan tinggi tanpa sebarang alat keselamatan. Walau bagaimanapun, keberanian yang pada mulanya menjadi sumber kemasyhuran itu akhirnya membawa kepada tragedi apabila dia maut selepas terjatuh dari bangunan setinggi 62 tingkat di bandar Changsha pada November 2017.
Bercerita tentang latar belakang Wu Yongning, dia dilahirkan dalam keluarga sederhana di wilayah Hunan. Sebelum terkenal dengan aksi beraninya, Wu pernah bekerja sebagai pelakon tambahan dalam beberapa rancangan televisyen dan filem tempatan. Walau bagaimanapun, kariernya dalam bidang lakonan tidak menentu dan dia pun mula mencari cara lain untuk menyerlah. Pada tahun-tahun berikutnya, Wu mula aktif melakukan apa yang disebut sebagai aktiviti mendaki bangunan tinggi tanpa perlindungan. Tujuannya adalah untuk merakam gambar dan video di tempat-tempat berbahaya kemudian dimuat naik ke laman sosialnya sebagai bahan tontonan awam.
Setiap rakaman yang dimuat naik memperlihatkan keberanian luar biasa. Dia berdiri di tepi bangunan pencakar langit, bergantung menggunakan satu tangan di hujung bumbung dan kadang-kadang melakukan gerakan seperti akrobat di tempat yang hanya beberapa inci daripada bahaya maut. Ketika pengikutnya semakin bertambah, Wu dilihat sebagai lambang keberanian dan keyakinan. Bahkan ada yang menganggapnya sebagai wira moden. Cuma di sebalik keberanian itu, terdapat tekanan besar untuk terus menghasilkan rakaman yang lebih mencabar demi mengekalkan perhatian orang ramai.

Pada 8 November 2017, Wu memanjat bangunan Huayuan Hua Centre setinggi 62 tingkat di bandar Changsha. Tujuannya ialah untuk melakukan satu lagi rakaman aksi berbahaya yang didakwa menawarkan ganjaran wang tunai bernilai 100 000 yuan (sekitar RM65 000). Menurut keluarganya, wang tersebut dirancang untuk menampung perbelanjaan rawatan ibunya yang sakit dan juga persiapan untuk majlis pertunangannya. Namun nasib tidak menyebelahi Wu. Semasa sedang melakukan aksi di tepi bangunan, dia telah tergelincir lalu terjatuh dari ketinggian yang sangat luar biasa.
Kematian Wu tidak diketahui umum pada mulanya. Pengikutnya mula berasa hairan apabila dia berhenti memuat naik rakaman baharu selepas beberapa hari. Hanya pada bulan Disember, berita kematiannya disahkan oleh keluarganya. Rakaman terakhir yang diambil menunjukkan detik-detik sebelum Wu tergelincir. Selepas kejadian tersebut, pihak berkuasa China mula mengeluarkan amaran keras terhadap kegiatan berisiko seumpama itu.
Catat Ulasan for "KISAH KEMATIAN TRAGIS WU YONGNING : Ketika Populariti Lebih Mahal Daripada Nyawa"