KISAH FRANCS ARSENTIEV : Sleeping Beauty of Everest

Francys Yarbro Arsentiev dilahirkan pada 18 Januari 1958 di Honolulu, Hawaii, Amerika Syarikat. Dia merupakan seorang wanita yang berpendidikan tinggi dan aktif dalam aktiviti luar. Sebelum bergiat aktif dalam pendakian, Francys bekerja sebagai akauntan dan mempunyai seorang anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu. Dia kemudiannya berkahwin dengan Sergei Arsentiev iaitu seorang pendaki gunung berpengalaman dari Rusia. Pasangan ini dikenali dalam kalangan pendaki sebagai pasangan yang sering melakukan pendakian bersama di gunung-gunung tinggi Asia Tengah dan Himalaya.
Pada tahun 1998, Francys dan suaminya membuat keputusan untuk menyertai ekspedisi mendaki Gunung Everest, gunung tertinggi di dunia dengan ketinggian 8848 meter. Matlamat utama mereka ialah untuk menjadi pasangan pertama yang berjaya mendaki Everest tanpa menggunakan oksigen tambahan. Pada masa yang sama menjadikan Francys sebagai wanita Amerika pertama yang mencapai puncak tanpa bantuan oksigen.
Mereka memilih laluan North Face melalui Tibet yang dianggap lebih sukar dan lebih terdedah kepada angin kuat berbanding laluan selatan dari Nepal. Ekspedisi mereka bermula dengan persiapan di kem asas utara di mana mereka menyesuaikan diri dengan altitud tinggi sebelum bergerak ke kem-kem berikutnya di atas gunung.

Pendakian utama ke arah puncak bermula pada 19 Mei 1998. Disebabkan keadaan cuaca yang tidak stabil dan kadar oksigen yang rendah, mereka perlu berhenti di beberapa tempat untuk menyesuaikan diri. Menurut catatan pendaki lain, mereka bergerak perlahan tetapi konsisten. Selepas beberapa hari, mereka berjaya mencapai puncak Everest pada 22 Mei 1998. Maka dengan kejayaan itu, Francys mencatat sejarah sebagai wanita Amerika pertama mendaki Everest tanpa oksigen tambahan.
Selepas berada di puncak, pasangan itu perlu segera turun ke kem yang lebih rendah kerana tubuh manusia tidak mampu bertahan lama di kawasan yang digelar zon maut yakni kawasan melebihi ketinggian 8,000 meter dari aras laut. Di zon ini, udara amat nipis, suhu boleh jatuh di bawah -30 darjah Celsius dan tubuh manusia kehilangan tenaga dengan cepat.
Francys mula menunjukkan tanda-tanda hipoksia iaitu kekurangan oksigen dalam badan. Dia menjadi lemah, sukar berjalan dan bercakap dengan tidak jelas. Sergei cuba membantunya turun. Walau bagaimanapun, keadaan menjadi semakin sukar apabila malam tiba dan angin semakin kuat. Mereka akhirnya terpaksa bermalam di kawasan terbuka berhampiran puncak, sesuatu yang sangat berbahaya di altitud setinggi itu.

Keesokan paginya, keadaan Francys bertambah buruk. Sergei kemudian memutuskan untuk turun ke kem bawah bagi mendapatkan bantuan dan oksigen tambahan untuk menyelamatkan isterinya. Namun apabila dia kembali semula ke tempat mereka berhenti, Francys sudah tiada.
Beberapa kumpulan pendaki lain yang melalui laluan sama melaporkan bahawa mereka menemui Francys masih hidup. Dia bagaimanapun berada dalam keadaan sangat lemah dan hampir beku. Salah satu kumpulan itu ialah kumpulan pendaki dari Uzbekistan yang menemui Francys terbaring di salji masih bernafas tetapi tidak mampu bergerak.
Mereka cuba memberikan oksigen dan air. Susulan keadaan cuaca yang semakin buruk dan risiko kepada nyawa mereka sendiri, mereka terpaksa meninggalkannya di situ. Francys tidak mampu diselamatkan dan akhirnya meninggal dunia di lereng Everest, tidak jauh dari puncak.bBeberapa hari selepas itu, pendaki lain pula menemui mayat Sergei yang dipercayai terjatuh ketika cuba mencari isterinya.

Selama bertahun-tahun selepas kejadian itu, tubuh Francys kekal di tempat dia meninggal dunia. Tubuhnya membeku dan tidak dapat dibawa turun kerana kedudukan yang berbahaya serta kos dan risiko yang tinggi. Pendaki yang melalui laluan tersebut sering menemui mayatnya dan menggunakan lokasi itu sebagai penanda arah di laluan utara Everest. Disebabkan wajahnya kelihatan tenang walaupun sudah membeku, pendaki memberi gelaran Sleeping Beauty of Everest kepadanya.
Pada tahun 2007 yakni hampir sedekad selepas kejadian tu, seorang pendaki British bernama Ian Woodall yang pernah berada di Everest ketika kejadian berlaku kembali ke gunung itu dalam misi khas untuk memberi penghormatan terakhir kepada Francys. Dia bersama beberapa pendaki lain memindahkan jasad Francys ke lokasi yang lebih terlindung daripada pandangan umum dan menutupnya dengan bendera Amerika Syarikat. Langkah itu dilakukan bagi menghormati maruah mendiang dan bagi mengelakkan tubuhnya terus menjadi tontonan umum oleh pendaki yang lalu-lalang di laluan tersebut.
Catat Ulasan for "KISAH FRANCS ARSENTIEV : Sleeping Beauty of Everest"